Thursday, May 30, 2013

MADA di Akhbar

Akhbar : News Straits Times

Tarikh   : 30 Mei 2013






Tuesday, May 28, 2013

Festival Belia Putrajaya 2013 (MAHA Youth)

Festival Belia Putrajaya 2013 telah diadakan selama tiga (3) hari bermula pada 23 Mei sehingga 26 Mei 2013 bertempat di Putrajaya. Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut mengambil bahagian dalam menjayakan karnival ini.
















Karnival Kahwin-Kahwin dan Majlis Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah

Karnival Kahwin-Kahwin dan Majlis Pesta Makanan Tradisional telah diadakan selama dua hari berturut-turut bermula pada 24 Mei 2013 bertempat di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang, Kedah.

Tujuan karnival ini diadakan adalah untuk memperkenalkan perkahwinan moden dan memperlihatkan kembali adat atau tradisi perkahwinan tradisional di samping mempromosikan Perkampungan Tradisional Gunung Keriang seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat serta aktiviti perlancongan di negeri ini.

Pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung antaranya ialah pertandingan memasak, demonstrasi masakan dari Chef terkemuka, persembahan dari artis terkenal Jay Jay, Black, kumpulan Jambu, persembahan tarian tradisional, wayang pacak, pertandingan mewarna, fotografi dan banyak lagi.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut mengambil bahagian dengan menyediakan pameran yang menampilkan peralatan tradisional yang digunakan dalam kegiatan penanaman padi.

MADA juga turut menghidangkan makanan tradisional kampung negeri Kedah iaitu ubi kayu bersama isi kelapa dan minuman kopi ‘o’ secara percuma kepada pengunjung.

Karnival ini disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah Brigediar Jeneral Dato` Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mua`adzam Shah.








KARNIVAL SUKAN ANTARA WILAYAH MADA 2013

Ibu Pejabat MADA telah menjadi juara keseluruhan bagi Karnival Sukan Antara Wilayah MADA 2013 yang diadakan pada 18 April 2013 bertempat di Pavilion Ibu Pejabat MADA dengan kutipan sebanyak 47 mata.

Walaubagaimanapun, Ibu Pejabat MADA yang hanya menang tipis dengan persaingan terdekatnya iaitu Wilayah IV dengan perbezaan kutipan sebanyak lapan (8) mata.

Karnival sukan pada tahun ini menyediakan 15 acara sukan iaitu badminton, batu seremban, bola jaring, bola sepak, bola tampar, congkak, dart, futsal, karom, petanque, ping pong, bowling, tarik tali, sepak raga bulatan dan larian merentas desa.

Seramai 720 peserta menyertai karnival sukan pada tahun ini termasuklah acara merentas desa yang diwakili oleh lapan (8) kumpulan iaitu Ibu Pejabat, Wilayah I, Wilayah II, Wilayah III, Wilayah IV, Workshop, SPPM dan RPM.  

Timbalan Pengerusi Sukan MADA, Encik Md Zahir bin Shariff berkata, tujuan karnival sukan ini diadakan adalah untuk mewujudkan hubungan silaturahim sesama kakitangan MADA selain dapat menyihatkan tubuh badan dengan aktiviti bersukan.

Beliau berkata, karnival yang dijalankan dua tahun sekali ini mendapat sambutan meriah pada tahun ini dan ia merupakan pertama kali dijalankan secara karnival di mana banyak acara sukan di langsungkan dalam satu masa.

Tambah beliau,  karnival pada tahun ini telah dijalankan selama tiga bulan bagi acara saringan setiap kategori dan acara akhir bagi setiap kategori dilangsungkan pada hari tersebut.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa karnival sukan tidak akan berhenti begitu saja pada tahun ini kerana setiap peserta yang menyertai karnival ini akan di buat pemilihan semula bagi menyertai sukan peringkat kementerian iaitu Sukan Badan Berkanun  yang akan diadakan pada 24 Jun hingga 2 Julai 2013 di Perlis dan Sukan MOA pada 4 Julai hingga 8 Julai 2013 di Selangor.

Para pengunjung yang menghadiri karnival ini disajikan dengan perlawanan akhir bola sepak antara Ibu Pejabat dan Wilayah IV selain persembahan pancaragam dari Askar Wataniah Kepala Batas.


Pengurus Besar MADA, Y.Bhg Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh turut hadir di karnival sukan ini dan juga menyampaikan hadiah kepada pemenang.












Ketua Setiausaha Negara Turun Padang Dekati Rakyat di Utara Semenanjung

Ketua Setiausaha Negara, Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa telah berkampung di utara semenanjung negeri Kedah Darul Aman selama dua hari bagi mengikuti Program Ramah Mesra Bersama Rakyat di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bermula pada 3 Mei 2013.

Tujuan program ramah mesra yang dilaksanakan oleh kementerian adalah untuk memberi bantuan berbentuk input-input pertanian dalam usaha menggalakkan masyarakat menceburi industri agromakanan yang akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran bahan makanan selain mampu meningkatkan pendapatan rakyat.

Pada 3 Mei 2013, Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa telah menghadiri program ramah mesra bersama rakyat di Dataran Pauh, Arau, Perlis dan sekaligus merasmikan program ramah mesra tersebut.
Dalam program tersebut, beliau juga menyatakan pertanian merupakan agen ketiga terpenting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Hal ini terbukti dengan peningkatan peruntukan sebanyak 20 % telah diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013 iaitu RM 5.86 billion berbanding tahun 2012 hanya RM 4.85 billion sahaja.

Seterusnya, Dato` Sri KSN beramah mesra bersama anggota jabatan / agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Gemilang, Darulaman Golf, Jitra, Kedah pada malam hari yang sama.

Dalam majlis makan malam tersebut, beliau telah melancarkan konsep pentadbiran bagi merakyatkan perkhidmatan awam untuk mengeratkan hubungan di antara penjawat awam dan gologan sasar. Di antara aktiviti yang boleh diamalkan  ialah dengan mempraktikkan aktiviti turun padang bagi mendengar secara langsung permasalahan rakyat dan mencari penyelesaian terbaik yang memberi manfaat kepada golongan tersebut.

Pada 4 Mei 2013 , Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa meneruskan aktiviti turun padang di Program Ramah Mesra bersama Rakyat peringkat Dun Kubang Rotan di mana beliau melawati Pasar Nelayan untuk beramah mesra bersama penduduk setempat, nelayan, penjual dan pembeli di situ dan beliau kemudiannya menikmati “Gulai Ikan Termenung” panas di kawasan tersebut sebelum mengumumkan peruntukan sebanyak RM 100 ribu bagi penambahbaikan pasar di situ.

Beliau juga menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM 5.086 juta telah diagihkan oleh Kementerian bagi majlis ramah mesra tersebut dan ia merupakan peruntukan yang paling tinggi setakat ini bagi program tersebut.

Seterusnya beliau ke Dataran Sena, Pokok Sena, bagi menyempurnakan Majlis Program Ramah Mesra bersama rakyat peringkat Parlimen Pokok Sena yang mensasarkan pengunjung seramai 3000 orang.

Setiap penerima insentif yang disampaikan oleh Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa akan menerima bantuan berupa Projek NKEA EPP 10 : Penskalaan dan Pengukuhan Ke Atas Produktiviti Tanaman Padi Di Kawasan Muda, bantuan input pertanian dan peralatan bagi Program Touch Point MADA 2013, bantuan Program Azam Tani tahun 2013, serta bantuan dan insentif jabatan-jabatan dan agensi di bawah Kementerian, manakala pengunjung yang hadir menerima sepuluh (10) ekor anak ayam kampung, satu set alatan memancing, anak pokok kelapa dan jambu madu serta buah nenas secara percuma.


Program Ramah Mesra ini telah menunjukkan impak yang positif dari masyarakat berikutan program ini telah dijalankan dibeberapa negeri dan akan diteruskan sehingga tahun 2020.





















Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Turun Padang Dekati Rakyat Negeri Kedah dan Perlis

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dato` Seri Mohd Hashim bin Abdullah telah turun padang di negeri Kedah bagi menjayakan Program Ramah Mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berlangsung selama empat (4) hari bermula pada 30 April 2013.


Antara destinasi yang dilawati oleh Dato` Seri Mohd Hashim bin Abdullah ialah Tapak Pasar Tani FAMA, Guar Chempedak peringkat Parlimen Jerai, Watt Titi Akar di Sungai Tiang,Perkarangan RTC Kedah, Pekan Napoh peringkat Parlimen Kubang Pasu, dan Sekolah Kebangsaan Panglima Awang, Nako Nambua peringkat Parlimen Padang Terap.



Destinasi seterusnya ialah beliau mengiringi Ketua Setiausaha Negara, Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa bagi Program Ramah Mesra Bersama Rakyat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dataran Pauh peringkat Parlimen Arau, Darulaman Golf Resort, Penempatan Nelayan Kuala Kedah peringkat Parlimen Kuala Kedah dan Dataran Sena peringkat Parlimen Pokok Sena.



Antara intipati yang dimaklumkan oleh Dato` Seri Mohd Hashim bin Abdullah kepada rakyat dan pengunjung yang menghadiri program tersebut ialah kerajaan tidak berkompromi kepada lima (5) perkara utama iaitu pendidikan, keselamatan, makanan, kesihatan dan keharmonian.
 
Selain itu, beliau juga memaklumkan kepada pengunjung bahawa negeri Kedah pernah menghadapi cabaran besar pada tahun 2010 di mana pada ketika itu bencana banjir besar yang telah memusnahkan hampir 90% kawasan pertanian. Kejadian ini telah menyebabkan pengeluaran hasilan pertanian di negeri Kedah dan negara amnya terjejas.



Tambah beliau, pihak kementerian telah berusaha membangunkan semula kawasan-kawasan yang terjejas akibat kejadian banjir melalui peruntukan khas berjumlah RM 60 juta dalam usaha memastikan pengeluaran hasilan pertanian di Kedah dapat dipulihkan. Keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan adalah tepat kerana peruntukan tersebut berjaya memulihkan kawasan pertanian yang terjejas akibat banjir dan hasil pengeluaran pertanian di negeri Kedah dapat ditingkatkan semula.



Di samping itu, dengan pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan di dalam bidang pertanian seperti pelaksanaan Projek NKEA EPP 10: Penskalaan dan Pengukuhan ke Atas Produktiviti Tanaman Padi di Kawasan Muda,  beliau menjangkakan pesawah akan memperolehi pendapatan sebanyak RM 2400 sebulan menjelang tahun 2020.



Beliau juga menyarankan para petani di negeri Kedah supaya mengembeling tenaga sepenuhnya bagi memastikan pengeluaran padi sentiasa konsisten untuk mengelakkan berlakunya masalah ketidakcukupan makanan yang dijangka pada tahun 2050.


Dalam program-program ramah mesra tersebut, beliau menyampaikan bantuan kepada peserta berupa Projek NKEA EPP 10 : Penskalaan dan Pengukuhan Ke Atas Produktiviti Tanaman Padi Di Kawasan Muda, bantuan input pertanian dan peralatan bagi Program Touch Point MADA 2013, bantuan Program Azam Tani tahun 2013, serta bantuan dan insentif jabatan-jabatan dan agensi di bawah Kementerian.


Setiap pengunjung yang hadir ke Program Ramah Mesra Kementerian Pertanian dan Industri Tani ini menerima sepuluh (10) ekor anak ayam kampung, satu set alatan memancing, anak pokok kelapa dan jambu madu serta buah nenas secara percuma.