Monday, September 23, 2013

Mesyuarat Retreat Pelaksanaan Projek Azam Tani & Taklimat Pengurusan Kewangan Secara Berhemah

Mesyuarat Retreat Pelaksanaan Projek Azam Tani telah diadakan pada 19 sehingga 20 September 2013. Seramai 12 pegawai MADA mengikuti mesyuarat yang diadakan di Selesa Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Turut hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Mohd Hashim bin Abdullah dan Setiausaha Bahagian Industri Asas Tani Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Encik Muez bin Abdul Aziz. Mesyuarat ini diadakan adalah bertujuan untuk membincangkan isu-isu pelaksanaan Projek Azam Tani di masa depan dan juga membincangkan keberkesanan pelaksaan Projek Azam Tani dari tahun 2010 sehingga 2013. Dalam masa dan tempat yang sama juga, Taklimat Pengurusan Kewangan Berhemah turut diadakan kepada pegawai yang hadir. Taklimat yang disampaikan oleh pegawai dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bertujuan untuk memberi maklumat dan penerangan dalam menguruskan kewangan yang akan diberikan kepada penerima Projek Azam Tani.

Ahli Kelab MADA daki Gunung Jerai untuk sertai Pendakian Gunung Kinabalu

Ahli Kelab MADA telah berjaya melakukan ekspedisi mendaki Gunung Jerai yang telah diadakan selama dua hari bermula pada 19 September 2013 sempena Misi Menawan Gunung Kinabalu Siri II. Pendakian Gunung Jerai ini bertujuan untuk membuat pemilihan peserta yang menyertai program ini bagi mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini. Selain itu, ia juga merupakan salah satu aktiviti rekreasi kepada ahli selain mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Pemilihan peserta yang terpilih bagi mengikuti ekspedisi Program Mendaki Gunung Kinabalu berdasarkan kekuatan fizikal dan mental selain daya ketahanan individu dalam mengharungi cabaran yang sukar serta mempunyai disiplin yang teratur.

Program ‘Resurfacing Humans In MADA Through Embracing Human Governance’ beri motivasi kepada Pegawai MADA

Program Resurfacing Humans In MADA Through Embracing Human Governance telah diadakan selama tiga hari bermula pada 19 sehingga 21 September 2013 di Eagle Ranch Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Seramai 35 peserta dan 19 pegawai profesional MADA menyertai program ini yang diusahakan oleh Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Serdang dan diketuai oleh Dr Saiful Amin Jalun. Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan kepada peserta yang program ini antaranya ialah pembentangan kumpulan, explorace dan jungle tracking. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menanam nilai-nilai murni kepada pegawai MADA dalam melaksanakan tugasan dengan penuh dedikasi dan cekap. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan silaturahim dan memberi motivasi kerja kumpulan kepada semua pegawai yang akan mendokong dalam pengurusan PPK. Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Mohd Hashim bin Abdullah dan turut hadir sama ialah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md. Zuki bin Ismail.

128 Pegawai MADA Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MoA 2013

Seramai 128 pegawai dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2012 bagi sesi kedua yang diadakan di Dewan D, MAEPS, Serdang pada 19 September 2013. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan majlis ini diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada warga kementerian atas sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas rasmi disamping penglibatan aktif di dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan. “Pegawai yang layak dipertimbangkan pemberian APC adalah dengan memperolehi markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85% dan ke atas dan bebas dari tindakan tatatertib dalam tahun penilaian” kata beliau dalam majlis tersebut. Pegawai yang menerima anugerah ini akan membawa pulang sijil perkhidmatan cemerlang, Sijil Simpanan Premium bernilai RM1000, peluang mengikuti program latihan bagi meningkatkan tahap kopetensi masing-masing dan peluang dalam pencalonan untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Persekutuan atau Negeri. Diakhir ucapan beliau dalam majlis tersebut, beliau berharap pihak pengurusan MADA khususnya kakitangan MADA sentiasa turun padang bagi membantu menyelesai masalah golongan sasar dan juga mencapai matlamat kerajaan. Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sesi kedua ini menggabungkan empat agensi iaitu MADA, MARDI, TEKUN dan LKIM manakala sesi ketiga akan diadakan pada 3 Oktober 2013.

EPP 10 bantu Pengukuhan dan Peningkatan Produktiviti Tanaman Padi di Kawasan Muda

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah diberi tanggungjawab ke atas EPP 10 iaitu Pengukuhan dan Peningkatan Produktiviti Tanaman Padi di Kawasan Muda. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin bin Abdul Rahman berkata kerajaan telah memperakui peruntukan pembangunan bagi tahun 2011 hingga 2020 iaitu sebanyak RM2.7 billion bagi menjayakan EPP 10. Beliau berkata, antara tujuan bagi menjayakan EPP 10 adalah peningkatan kepadatan infrastruktur teiser pengairan, mewujudkan estet padi seluas 50 ribu hektar menjelang tahun 2020 dan penglibatan dalam keseluruhan rantaian nilai industri padi. Dalam lawatan itu juga, beliau berkata penglibatan anak muda dalam pertanian khususnya dalam penanaman padi amatlah diperlukan kerana negeri Kedah dan Perlis merupakan pengeluaran utama hasil padi kepada negara. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan tapak di Estet Padi, NKEA, Padang Sejana, Kawasan PPK H-II, Kepala Batas, Kedah pada 15 September 2013. Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Dr Baharom bin Jani, Ketua Pengarah FAMA, Dato` Ahmad bin Ishak, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Aziz dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke MADA

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin bin Abdul Rahman melakukan lawatan rasminya ke MADA pada 15 September 2013. Dalam lawatan tersebut, beliau menerima taklimat mengenai MADA di Bilik Langkasuka, Ibu Pejabat MADA dan kemudiannya melawat Bilik Telemetri, Bahagian Pengairan dan Saliran. Selepas melawat Bilik Telemetri, beliau membuat lawatan tapak di Estet Padi NKEA, Padang Sejana, Kawasan PPK H-II, Kepala Batas, Kedah. Turut hadir dalam lawatannya ke MADA adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Dr Baharom bin Jani, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Aziz dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh. Lawatan ini merupakan lawatan pertama kali beliau ke MADA selepas memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.