Wednesday, November 20, 2013

Usaha Tarik Golongan Muda Minat Dalam Pertanian

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa berusaha dalam pelbagai cara untuk menarik minat golongan muda dalam sektor pertanian. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata salah satu cara untuk menarik minat golongan belia dalam sektor pertanian ialah menyediakan dana yang secukupnya kepada golongan tersebut untuk mencapai kejayaan dan meningkatkan pendapatan. Tambah beliau, dana tersebut bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi merangkumi pelbagai aspek seperti menyediakan latihan dan bimbingan, kemudahan bantuan dari segi mesin dan lain-lain kepada golongan tersebut sehingga berjaya. Selain itu, pihak kementerian mensasarkan pendapatan golongan tersebut palin kurang RM 5,000 dan menjangkakan lebih banyak lagi pendapatan bersesuaian kehendak golongan muda di dalam agro premium muda yang telah diputuskan di mana pendapatan agro premium muda tidak kurang dari jangkaan oleh kementerian. Beliau harap dengan usaha yang dirancangkan oleh pihak kementerian dapat menarik golongan muda dan mahu melihat pada lima hingga sepuluh tahun ke hadapan usahawan-usahawan tani yang dibimbing oleh pihak kementerian khususnya golongan orang muda berbangsa Melayu berjaya memasarkan produk kepada negara seterusnya ke negara luar. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 di Hotel Sri Manja, Kuantan, Pahang pada 8 November 2013. Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Pembangunan) Dato` Dr Baharom bin Jani, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Haji Raihan bin Sharif, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Aziz dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.

Agro – Tekonologi Pemangkin Transformasi Agropreneur

Agro – Tekonologi Pemangkin Transformasi Agropreneur merupakan tajuk pembentangan yang dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Inudstri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim bin Abdullah dalam Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 pada 8 November 2013 di Hotel Sri Manja, Kuantan, Pahang. Dalam pembentangan tersebut, Datuk Mohd Hashim bin Abdullah memaklumkan kepada peserta konvensyen mengenai sumbangan agroteknologi sebagai pemangkin transformasi agropreneur. Selain itu, beliau juga memaklumkan cabaran-cabran yang dihadapai olek sektor pertanian antaranya ialah pertambahan penduduk, perubahan iklim global dan juga kemasukkan tenaga buruh asing. Oleh yang demikian, beliau menyeru ahli konvesyen meningkatkan daya saing menuju ke pertanian baru yang mempunyai beberapa faktor yang memboleh ubah serta meningkatkan hasil pertanian dan pendapatan peladang, peternak dan juga nelayan. Fator-faktor tersebut adalah tanah, infrastruktur, kewangan, insentif, teknologi, sumber manusia dan sistem penyampaian. Di samping itu, beliau juga menyatakan ciri-ciri bagi seorang agropreneur yang berjaya seperti mempunyai kemahiran teknikal dan bukan teknikal dalam perniagaan, komitmen yang tinggi terhadap pelanggan, mempunyai sikap tidak berputus asa, dedikasi dan melakukan perniagaan dengan bersungguh-sungguh, dan sentiasa bermotivasidan tidak jemu untuk meningkatkan kemahiran serta sentiasa melakukan perubahan dalam perniagaan. Di akhir pembentangan tersebut, sesi dialog bersama ahli konvensyen diadakan bertujuan mendengar sendiri dan membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh golongan tersebut. Kovensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 diadakan selama tiga hari bermula pada 7 November dan berakhir pada 9 November 2013.

Peladang, peternak dan nelayan perlu progresif

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Razak mahu golongan peladang, penternak dan nelayan lebih inovatif dan progresif bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Beliau berkata, dalam pembentangan Bajet 2014, kerajaan memperuntukkan RM6 bilion untuk pelaksanaan pelbagai program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersial, selain mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memainkan peranan lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran eksport. Tambah beliau, golongan tersebut tidak tak boleh lagi guna cara lama, kaedah guna pakai pemikiran statik serta penggunaan dan aplikasi yang tidak berubah, ia akan membawa kita kepada keadaan yang sentiasa di takuk lama. Beliau berkata, apabila berada di takuk lama sebenarnya bukan bertahan tetapi berada dalam keadaan terkebelakang. Selain itu, beliau berkata keupayaan melakukan inovatif bukanlah hak mutlak saintis sahaja, namun sebagai peladang, penternak dan nelayan, mereka juga mampu berbuat demikian untuk menjadi lebih progresif. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 9 November 2013. Turut hadir sama adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, Datuk Suraya binti Yaacob, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim bin Abdullah, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Aziz dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.

Keistimewaan Seri Mahawangsa Houseboat

Menyusuri kedamaian Tasik Pedu dengan Seri Mahawangsa Houseboat pasti menjanjikan pengalaman yang sangat bermakna kepada penghuni yang menginap di situ. Seri Mahawangsa Houseboat merupakan rumah terapung di Tasik Pedu yang boleh menampung kapasiti sehingga 15 orang dalam satu masa dan dilengkapi dengan pelbagai kemudajan seperti elektrik (generator), bilik tidur, dapur, bilik mandi serta ruang santai. Pemilik Seri Mahawangsa Houseboat, Encik Amir bin Wahab berkata, tujuan beliau membina rumah bot ini adalah perasaan cinta beliau akan alam sekitar di kawasan tersebut dan ini berkongsi bersama orang ramai. Tambah beliau, para pelancong boleh menginap di rumah bot ini dengan pelbagai pakej yang disediakan dengan harga serendah RM 450 bagi dua hari satu malam. Kebanyakkan pelancong yang menginap di Seri Mahawangsa Houseboat merupakan pelancong dari negara Malaysia, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea. Selain itu, beliau berkata para penghuni di rumah bot ini akan turut menikmati pelbagai aktiviti rekreasi antaranya ialah aktitivi memancing dan juga dapat merasai sendiri dengan merendamkan kaki dalam air Tasik Pedu tersebut sambil rumah bot bergerak. Di samping itu, konsep Seri Mahawangsa Houseboat yang dibawa olehnya adalah merupakan konsep kekeluargaan dimana ahli keluarga boleh berkumpul bersama-sama dengan menikmati keindahan alam.

Homestay Pantai Jamai paling bongsu di Kedah dan MADA

Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Encik Roslan bin Othman berkata Homestay Pantai Jamai di Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah merupakan homestay yang paling muda atau bongsu di negeri Kedah Darul Aman dan juga bagi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Homestay Pantai Jamai ini mula dirasmikan pada 30 Ogos 2013 dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelancong dari dalam dan juga negara luar. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai Program Fishing Safari 2013 kepada peserta pada 25 Oktober 2013di homestay tersebut. Para peserta yang mengikuti program ini dihidangkan dengan sarapan pagi tradisional kampung iaitu pulut ikan masin, ikan perkasam, ubi kayu rebus, isi kelapa, nasi lemak dan minuman kopi “o”. Homestay Pantai Jamai terletak sembilan (9) kilometer dari pusat bandar dan berdekatan dengan tempat-tempat bersejarah seperti Makam Diraja Langgar, Pusat Pemeliharaan Tuntung, Istana Anak Bukit, Taman Jubli Emas, Muzium Padi dan banyak lagi.

Majlis Ramah Mesra bersama Penghuni Anak-Anak Yatim Darul Aitam

Majlis Ramah Mesra dan Bantuan Persekolahan Sesi 2014 untuk Penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Darul Aitam telah diadakan pada 24 Oktober 2013 di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Aitam, Alor Setar, Kedah. Ketua Seksyen Latihan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Encik Mukhlis bin Zainol Abidin berkata majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara ahli Kor Tani dengan penghuni rumah Anak-Anak Yatim Darul Aitam. Selain itu, ia juga merupakan program pertama kali diadakan seperti ini bersama anak-anak yatim dan berharap program sebegini sentiasa diadakan sepanjang masa. Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan bantuan berupa cek yang bernilai RM8700 kepada Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Kedah, Dato` Haji Salim bin Abdul Hamid. Di akhir majlis tersebut, ahli-ahli Kor Tani beramah mesra bersama penghuni Anak-Anak Yatim Darul Aitam yang berumur dari 7 tahun sehingga 17 tahun.