Wednesday, February 26, 2014

Kedah Tidak Perlu Catu Air Dalam Tempoh Terdekat – Exco Kedah

ALOR SETAR, 26 Feb (Bernama) — Kedah tidak perlu mencatu air dalam tempoh terdekat kerana bekalan di beberapa empangan utama masih mencukupi untuk menampung keperluan domestik, industri dan aktiviti pertanian.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, YB Badrulhisham Hashim berkata jika keadaan kering dan kemarau sekarang berterusan, empangan di Kedah dijangka masih mampu menampung keperluan air untuk tempoh 10 bulan lagi. “Kerajaan Kedah belum timbang buat catuan air. Kita dapat maklumat daripada Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah, air di Kedah di tahap boleh bertahan. Kerajaan Kedah tak pernah bincang untuk buat catuan,” katanya di sini Rabu. Sehubungan itu, para pesawah tidak perlu bimbang bakal berhadapan masalah pengairan kerana Mada akan membuat pelepasan akhir seperti yang dijadualkan hujung bulan Mac untuk musim pertama 2014. “Isu air di Kedah tidak rumit sangat ketika ini. Bagaimanapun, kita rasa bimbang juga jika kemarau berlarutan dan berpanjangan, kita mungkin tak dapat bertahan. “Semuanya bergantung kepada keadaan kemarau. Kalau berterusan baru pertimbang untuk catuan. Kalau ikut ramalan cuaca, pertengahan Mac hujan turun, harap jadi kenyataan,” katanya. Badrulhisham berkata mengikut laporan Mada, penggunaan domestik hanya sekitar 10 hingga 15 peratus daripada air yang dibekalkan, manakala kebanyakannya untuk pengairan. Sementara itu, Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah Dr Fadzil Abdul Kadir berkata paras air di empangan utama iaitu empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris masih berada pada tahap normal. “Oleh itu tidak perlu untuk kita mencatu air atau menjalankan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan kerana empangan utama mempunyai air yang mencukupi,” katanya. Paras air di Empangan Pedu hari ini berada pada paras 100 meter (tahap minimum 61.5 meter), Empangan Muda pada paras 93.84 meter (tahap minimum 82.2 meter), Empangan Ahning pada paras 103.98 meter (tahap minimum 72.8 meter) dan Empangan Beris pada paras 81.26 meter (minimum 68 meter). Namun Fadzil berkata Empangan Padang Saga di Langkawi mencatat penurunan paras air yang ketara iaitu 18.05 meter berbanding paras minimum 18.50 meter namun Empangan Malut, iaitu empangan tadahan juga di Langkawi dapat menampung bekalan air kepada penduduk.
SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1017634

Tuesday, February 25, 2014

Kumpulan Kerja China-Malaysia Tingkatkan Eksport Produk Pertanian

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) — Satu kumpulan kerja bersama China-Malaysia akan dibentuk April depan bagi membincangkan perhubungan dua hala mengenai produk pertanian. Menyatakan demikian, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin Abdul Rahman berkata perkara utama yang akan dibincangkan ialah kelulusan kerajaan China terhadap beberapa produk Malaysia untuk dieksport ke sana. “Kumpulan tersebut (pihak Malaysia) akan pergi ke China sempena lawatan kerja menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan perkara lain yang akan dibincangkan ialah pelaburan serta perkongsian kepakaran,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pertanian China, Yu Xinrong di pejabatnya di sini Selasa. Antara produk yang masih sukar untuk mendapat kelulusan ialah sarang burung walit, nangka dan nenas. Beliau berkata bagi produk sarang burung walit, pada penghujung tahun lepas sebanyak lapan loji telah diluluskan oleh China dan kini pihaknya sedang menunggu kelulusan untuk 15 lagi loji. Tajuddin berkata dalam perbincangan tersebut juga dilihat kerajaan China begitu berminat dengan produk Malaysia dan serius untuk menyelesaikan isu produk yang masih tidak diluluskan. “Diharap selepas masalah ‘pending’ ini selesai ia dapat meningkatkan nilai eksport ke China kerana pasaran mereka begitu besar iaitu hampir 1.9 bilion populasi penduduk,” katanya. Pihak kerajaan China juga ingin memperbanyakkan lagi kerjasama dengan sektor swasta yang mengeluarkan produk-produk pertanian untuk dipasarkan di negara itu, kata Tajuddin.
SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1017247

Kemarau: Bantuan Untuk Petani, Penternak, Nelayan Dikenal Pasti

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menunggu laporan terperinci daripada Jawatankuasa Khas Bencana berhubung jenis bantuan perlu disalurkan kepada petani, penternak dan nelayan terjejas akibat cuaca panas dan kering akhir-akhir ini. Menterinya Dato` Seri Ismail Sabri bin Yaacob berkata jawatankuasa dipengerusikan ketua setiausaha kementerian Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sedang mendapatkan maklum balas dari negeri-negeri terjejas. Selain petani, penternak dan nelayan di Kelantan, Kedah dan Perlis, beliau berkata laporan awal mendapati golongan itu di Melaka dan Negeri Sembilan turut terjejas. “Kita sedang menunggu laporan terperinci dan menyeluruh daripada jawatankuasa tersebut agar dapat menilai jumlah kerugian. Selain itu, kita dapat mengenal pasti masalah dihadapi para petani, penternak dan nelayan serta mencari jalan untuk mengatasinya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini. Semalam, kementerian menyalurkan RM39.2 juta kepada 5,447 pesawah yang mengalami kerugian akibat kemarau dan tanah jerlus di Kedah dan Perlis. Sementara itu, Ismail Sabri mahu pegawai kementerian mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering ini. “Jangan sampai media laporkan baru nak memaklumkan kepada saya. Saya tidak salahkan media yang melaporkan masalah yang dihadapi golongan itu tetapi media harus dijadikan penandaaras kepada pegawai kementerian, jabatan dan agensi. “Kalau media tahu lebih awal bermakna mereka (pegawai) tidak bekerja,” katanya. Pada majlis itu, Ismail Sabri juga menerima Aku Janji Petunjuk Prestasi Utama oleh Setiausaha Bahagian, Ketua Pengarah dan Pengurus Besar dari jabatan dan agensi di bawah kementerian.
SUMBER : BERITA HARIAN / BERNAMA http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kemarau_Bantuanuntukpetani_penternak_nelayandiken

Monday, February 24, 2014

Telaga Tiub Atasi Masalah Petani Di Musim Kemarau

PENDANG, 24 Feb (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membina telaga tiub sebagai penyelesaian kepada masalah pengairan yang dihadapi segelintir petani di beberapa kawasan di Kedah setiap kali tiba musim kemarau. Menterinya Dato` Sri Ismail Sabri Yaakob berkata telaga tiub yang menggunakan kaedah menyedut air daripada bawah tanah adalah langkah terbaik dan boleh dibina segera untuk menyalirkan air ke kawasan sawah setiap kali tiba musim kering. “Saya dah maklumkan kepada BPSP (Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian) supaya buat kajian mengenai telaga tiub ini. Ia boleh menyedut air bawah tanah waktu musim biasa atau kemarau, sepanjang tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang ehsan kepada petani yang terjejas akibat kemarau di Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang dekat sini Isnin. Beliau berkata bagi kampung tersebut yang kawasan sawahnya terjejas teruk hingga menyebabkan petani hilang pendapatan musim ini, kajian segera akan dijalankan untuk mengetahui sama ada tanah di kawasan itu sesuai atau tidak dibina telaga tiub. “Untuk (penyelesaian) jangka panjang yang lebih baik ialah membawa air daripada Sungai Padang Terap, 25 km daripada sini melalui paip dan sebagainya dan disalirkan ke Sungai Lampam (untuk disalirkan ke sawah). “Tapi projek ini memerlukan belanja besar, mungkin mencecah RM100 juta dan perlu dapat kelulusan, untuk cepat ialah telaga tiub. Kalau ada (sumber air bawah tanah) boleh bina segera, yang lain perlukan paip dan sebagainya dan perlu jangka masa panjang,” kata Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Sementara itu, beliau berkata pihak kementerian juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menangani bencana baru-baru ini untuk mendapatkan laporan berkaitan isu berkenaan dari kawasan-kawasan lain. “Sekarang hanya dapat laporan di Kedah, mungkin lepas ini di Melaka dan sebagainya. Kemungkinan kawasan lain tak timbul isu ini (terjejas akibat kemarau) sebab dah selesai menuai,” katanya. Terdahulu pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan sumbangan bernilai lebih RM2.393 juta kepada 1,570 pesawah yang kehilangan punca pendapatan akibat kemarau pada musim ini. Setiap petani menerima RM1,400 bagi setiap hektar sawah mereka yang rosak akibat kemarau berpunca daripada perubahan iklim tidak menentu iaitu negara berada pada fasa pertengahan monsun timur laut. Lembaga Pertubuhan Peladang Kedah telah mengenal pasti kawasan sawah seluas 1,661.84 hektar yang terjejas, membabitkan 42 kawasan di bawah pengendalian 10 Pertubuhan Peladang Kawasan. – BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1016936

Masalah Sawah Jerlus Diatasi – Dato` Sri Ismail Sabri

PENDANG 24 Feb. – Pembatalan tanaman padi selama dua musim melibatkan 3,877 pesawah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan tanah jerlus dijalankan di kawasan diusahakan. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, DatO` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata, kawasan sawah itu melibatkan 29 blok pengairan di bawah 12 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kedah dan dan Perlis bermula hujung Mac ini sehingga Februari tahun depan. “Apabila kerja-kerja penambahbaikan itu siap, kerajaan juga akan memastikan petak sawah tersebut turut dibersihkan sebelum diserahkan kembali kepada para pesawah terlibat,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ( Pembangunan), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang , Datuk Zainal Dahlan dan Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz. Tambah beliau, dalam usaha membantu petani tersebut, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM36.8 juta pemberian wang ihsan. Katanya, peruntukan itu bagi membolehkan para pesawah terbabit menyara kehidupan sementara menanti kerajaan melakukan penambahbaikan terhadap tanah sawah milik mereka. “Bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan di kawasan sawah seluas 8,107 hektar yang menghadapi masalah, kesemua mereka diminta membatalkan dua musim penanaman padi. “Untuk itu, mereka akan diberikan wang ihsan pada kadar RM2,645.50 sehektar untuk setiap musim tanaman yang dibatalkan. Kadar tersebut berasaskan kepada nilai subsidi yang sepatutnya diterima oleh peladang pada setiap musim penanaman,” katanya. Mengulas mengenai mekanisme digunakan untuk mengatasi masalah itu, beliau memberitahu, pihak kementerian memperuntukkan sebanyak RM25.02 juta melalui peruntukan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan ‘Rolling Plan 3′ untuk pembinaan dan pemulihan infrastruktur saliran, meninggikan ban sungai, pembinaan sistem pam saliran dan pelbagai perkara lagi. SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140225/dn_13/Masalah-sawah-jerlus-diatasi—Ismail-Sabri#ixzz2uHxgKAUC

Lawatan Kerja YB Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani ke Kg Bendang Raja dan Kg Alor Pudak

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato` Sri Ismail Sabri Yaakob telah melakukan lawatan kerja ke Kg. Bendang Raja, Kubur Panjang dan Kg. Alor Pudak, Pendang pada 24 Februari 2014. Tujuan lawatan kerja itu diadakan adalah bagi meninjau keadaan semasa sawah padi yang kini sedang mengalami krisis musim kemarau. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob mengumumkan bantuan sebanyak RM 2.39 juta kepada 1,570 pesawah di Pendang yang mengalami kerugian akibat musim kemarau yang kritikal pada ketika ini. Setiap petani menerima RM1,400 bagi setiap hektar sawah mereka yang rosak akibat kemarau yang berpunca daripada perubahan iklim yang tidak menentu dimana negara kini berada pada fasa pertengahan monsun timur laut. Beliau berkata agensi di bawah kementeriannya telah mengenal pasti seluas 1,661.84 hektar sawah yang terjejas dan membabitkan 42 kawasan di bawah pengendalian 10 Pertubuhan Peladang Kawasan. Beliau yang turut menyampaikan bantuan wang ehsan sebanyak RM 36.8 juta bagi pembatalan 2 musim penanaman padi di kawasan tanah jerlus MADA berkata kawasan tanah jerlus di kawasan tersebut tidak mempunyai galas atau bearing capacity yang mencukupi bagi menampung penggunaan jentera pertanian untuk aktiviti ladang seperti penyediaan tanah iaitu putaran kering atau putaran basah , menanam dan menuai padi di kawasan Muda. Turut sama dalam lawatan tersebut adalah Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz, Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Dato` Haji Roslee bin Baharom dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip.

MADA Jamin Bekalan Air Untuk Tanaman Padi Cukup Sehingga April

ALOR SETAR 20 Feb. – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bekalan air untuk musim menanam padi yang dijangka bermula April ini mencukupi untuk semua pesawah di negeri ini. Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, ramai yang bimbang tentang bekalan air untuk sawah padi, namun sehingga hari ini paras bekalan air di tiga empangan utama di negeri ini iaitu Empangan Muda, Ahning dan Pedu masih dalam keadaan stabil walaupun mengalami penyusutan. “Pihak MADA beri jaminan bekalan air mencukupi untuk pesawah yang dijangka mula menanam semula padi mereka April ini. “Jadi semua pihak tidak perlu bimbang dan panik dengan keadaan musim kemarau yang melanda seluruh negara sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurutnya, MADA juga menerima laporan tentang segelintir kecil pesawah di negeri ini yang menghadapi masalah bekalan air di sawah mereka ketika ini ekoran kemarau dan panas sejak awal tahun. “Pesawah terlibat menghadapi masalah kekurangan air kerana mereka tidak mengikut jadual menanam padi yang diberikan oleh MADA. “Banyak pesawah di negeri ini yang sudah tuai padi, jadi mereka tidak perlukan air lagi ketika ini. Selepas ini, saya harap semua pesawah akan mengikut jadual yang telah diberikan oleh MADA,” jelasnya. Dalam pada itu, seorang pesawah dari Kampung Padang Terus di sini, Mohd. Zamzuri Md. Salleh, 44, berkata, MADA membekalkan air kepada pesawah di kawasan B3 Alor Senibong dengan secukupnya pada musim ini. “Padi saya hanya menunggu masa untuk dituai dan kami tidak mempunyai masalah kerana mengikut jadual menanam yang dibekalkan oleh MADA. “Sekarang kami tidak perlukan air lagi dan ada pesawah yang hadapi masalah bekalan air disebabkan mereka tidak mengikut jadual MADA,” katanya. Seorang lagi pesawah dari Jelai di sini, Ahmad Jiwa Awang, 56, berkata, tanaman padinya dituai seminggu yang lalu dan buat masa ini kebanyakan pesawah di kawasan tersebut tidak memerlukan air. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140221/wu_03/MADA-jamin-bekalan-air-untuk-tanaman-padi-cukup-sehingga-April#ixzz2uCLFGSEo

Kedah Belum Hadapi Krisis Air

Kedah tidak menghadapi krisis air yang kritikal kerana dua empangan di negeri itu cukup untuk kegunaan domestik dan pertanian. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri Kedah , YB Encik Badrul Hisham Hashim berkata Empangan Pedu di Padang Terap mempunyai kapasiti air sebanyak 71.57 peratus. Bagi Empangan Ahning di Padang Terap pula mencatatkan jumlah takungan sebanyak 67.43 peratus dan kedua-dua empangan cukup untuk menampung bekalan air bersih dan pertanian. Katanya, rakyat negeri ini dalam keadaan selamat dan jika hujan tidak turun dalam tempoh dua bulan, bekalan air ini mampu untuk menampung keperluan rakyat. Beliau berkata air kedua-dua empangan itu juga dapat disalurkan ke sawah padi yang akan memulakan proses tanaman awal Mac depan. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Empangan Padu pada 20 Februari 2014. Turut hadir sama dalam lawatan tersebut adalah Juruteknik Kanan, Empangan Muda (MADA) Encik Abdul Rahim bin Saad.

Empangan MADA Menunjukkan Kenaikan Paras Air

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda MADA (MADA) yang membekalkan air kepada beberapa negeri di utara menunjukkan kenaikan paras air daripada 94.50m kepada 94.53m walaupun cuaca panas dan kering yang berlarutan sepanjang minggu ini. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa empangan mengalami penyusutan air paling ketara seperti Empangan Langat daripada paras normal 220.96 meter (m) kepada 217.10m; Empangan Genting Klang menurun daripada 94.m kepada 90.26m; Empangan Sungai Selangor (220m kepada 199.65) dan Empangan Timah Tasoh, Perlis (29.10m kepada 27.69m). Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan tiada hujan dijangka turun di Kuala Lumpur sepanjang minggu ini manakala hujan di beberapa tempat di Selangor. Keadaan itu dijangka menyebabkan gangguan air yang sedang berlaku di Lembah Klang sejak hujung bulan lalu berlarutan. Cuaca kering serta penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi, Dengkil baru-baru ini turut menyebabkan bekalan air di 110,087 buah rumah di sekitar ibu negara, Hulu Langat, Kuala Langat dan Hulu Petaling terjejas. SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140220/dn_01/Air-semua-empangan-terus-susut#ixzz2tow11EPi

Tuesday, February 18, 2014

Kemarau: Kedah Akan Bantu pesawah

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan mencari alternatif untuk membantu pesawah yang mengalami kerugian kerana sawah tidak dapat diusahakan berikutan kemarau ketika ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata cadangan untuk memberikan bantuan khas itu akan dibincangkan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri melalui perjumpaan pada 3 Mac. "Kejadian seperti ini belum pernah berlaku di Kedah. Faktor cuaca yang sangat panas sekarang menyebabkan hasil tanaman padi menjadi kering sehingga menyebabkan pesawah tidak boleh mengusahakan tanaman mereka. "Memandangkan ia bukan bencana alam, memang tiada peruntukan yang disediakan tapi kami akan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan khas membantu golongan pesawah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Makmal Transformasi Wanita Negeri Kedah di sini hari ini. Suraya berkata, kejadian itu menyebabkan golongan pesawah mengalami kerugian lebih RM200,000 akibat tanaman mereka tidak dapat diusahakan kerana permukaan tanah sawah menjadi kering. "Saya sudah minta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menjalankan bancian bagi mengetahui bilangan pesawah yang terbabit dan jumlah kerugian sebenar. "Melalui bancian yang dibuat, kami akan bawa maklumat itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk dibincangkan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil," katanya. Kira-kira 100 pesawah dari tujuh kampung iaitu Kampung Bendang Raja, Kampung Celong, Kampung Nam Dam, Kampung Padang Durian, Kampung Tok Dam, Kampung Belat dan Kampung Rasau di daerah Pendang, tidak dapat mengusahakan sawah mereka yang kering-kontang seluas lebih 100 hektar akibat kemarau teruk yang melanda negeri ini sejak Januari. SUMBER : BERNAMA http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kemarau_Kedahakanbantupesawah/Article/

Monday, February 17, 2014

Air Di Empangan Ahning Kedah Di Paras Minimum

KUALA LUMPUR - Paras air di semua empangan di negara ini dilaporkan dalam keadaan normal kecuali Empangan Ahning di Kedah yang dilaporkan berada pada paras minimum setakat 4 petang ini. Menurut portal http://infokemarau.water.gov.my/drought_monitor.cfm Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), bacaan terakhir empangan itu pada pukul 4 petang menunjukkan penurunan kepada 89.93 meter berbanding catatan terendah sebelum ini pada 101.9 meter. Paras air empangan itu susut akibat cuaca panas dan kemarau yang melanda utara Semenanjung. Paras air normal empangan yang diselenggara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) itu ialah 105.7 meter dan membekalkan air ke tiga buah kawasan iaitu utara Kedah, selatan Perlis dan Pulau Langkawi. Jurucakap Mada ketika dihubungi berkata bagaimanapun paras air itu belum sampai di tahap kritikal dan bekalan air di kesemua kawasan terlibat tidak terjejas. Katanya paras air di empangan itu dijangka kembali normal menjelang April depan apabila musim kemarau berakhir. SUMBER – SINAR HARIAN/BERNAMA http://www.sinarharian.com.my/semasa/air-di-empangan-ahning-kedah-di-paras-minimum-1.251933

Peruntukan RM400,000 Beli Pam Mudah Alih Bantu Pesawah Di Kelantan

KOTA BAHARU, 17 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi peruntukan segera RM400,000 bagi membeli lebih 300 pam mudah alih untuk membantu petani di Kelantan mengepam air ke sawah yang kekeringan akibat musim kemarau sekarang. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pam yang diagihkan kepada unit peladang Pertubuhan Peladang Kawasan itu akan digunakan untuk mengepam air dari tali air ke parit jejari sebelum memasuki sawah. Beliau berkata 8,000 petani di negeri itu yang mengusahakan tanaman padi berdepan dengan anggaran kerugian RM90 juta akibat kemarau jika tindakan segera tidak dilakukan untuk membekalkan air ke sawah. Dijangkakan dalam tempoh satu hingga dua minggu jika air tidak dibekalkan ke sawah, tanaman padi ini akan musnah, katanya kepada pemberita selepas berjumpa dengan petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini Isnin. "Dengan bantuan jangka pendek ini iaitu menggunakan pam mudah alih, kita berharap dapat menyelamatkan tanaman padi mereka," katanya. Menteri itu berkata Kada setakat ini tidak menghadapi masalah untuk mengepam air dari Sungai Kelantan ke tali air, namun wujud kebimbangan aktiviti menyedut pasir di beberapa kawasan di sungai berkenaan akan menurunkan paras air. Beliau berkata sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan sawah memperoleh bekalan air mencukupi, kerajaan sedang membina empangan rendah merentangi Sungai Kelantan di Kampung Kasar, Pasir Mas dengan kos RM38 juta yang dijangka siap pada September 2015. Sementara itu, Ismail Sabri meminta kerajaan Kelantan turut sama membantu petani yang menghadapi masalah termasuk menghapuskan cukai air sebanyak RM10 bagi setiap 0.4 hektar sawah setahun, yang dikenakan kepada petani di daerah Pasir Mas dan Tumpat. "Kita tahu kekangan kerajaan negeri, kita tidak jangka mereka keluarkan berpuluh-puluh juta ringgit untuk membina empangan. Tetapi kita minta kerjasama mereka untuk menghapuskan cukai air itu," katanya. SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1015099

Majlis Pelancaran Operasi Pemulihan Kualiti Air

Majlis Pelancaran Operasi Pemulihan Kualiti Air Sungai Kedah telah diadakan pada 16 Februari 2014 di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah. Majlis anjuran bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri Kedah dirasmikan oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz. Dato` Othman bin Haji Aziz berkata tujuan operasi pemulihan kualiti air sungai ini dilakukan adalah untuk mengembalikan keindahan dan kebersihan Sungai Kedah khususnya kualiti air Sungai Kedah dengan mengubah Prosedur Operasi Tandop Pasang Surut Ampang Jajar bagi membolehkan aliran air di Sungai Kedah kembali kepada keadaan semula jadi dengan kawalan yang minima. Katanya, kesan-kesan positif dapat diperolehi daripada perlaksanaan perubahan operasi tandop ini seperti keadaan Sungai Kedah bebas daripada pencemaran sampah sarap, indeks kualiti air bertambah baik, warna air sungai bertambah jernih dan air sungai tidak busuk, sehingga telah mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada aktiviti rekreasi seperti aktiviti memancing dan bersantai. Katanya, pihak MADA telah memulakan Program Pemulihan Kualiti Air Sungai Kedah pada 20 Februari sehingga 15 April 2013 dan ia memberi kesan postif terhadap kesihatan dan kualiti air sungai serta alam sekitarnya. Beliau menyeru kepada masyarakat setempat khususnya di Bandaraya Alor Setar bersama-sama memupuk kesedaran sivik dalam diri dengan menjaga kebersihan sungai seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai selaras dengan kempen “Cintai Sungai Kita” Dalam majlis yang sama, Datuk Bandar Bandaraya Alor Setar, Dato` Haji Mat Noh bin Ahmad berbangga dengan kualiti air sungai di Kedah dimana negeri Kedah antara negeri yang mencatatkan kualiti terbaik dalam negara. Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Pengarah Jabatan Kimia Negeri Kedah, Dr. Abdul Rahim bin Ahmad dan Jurutera Daerah Kota Setar, JPS Negeri Kedah, Encik Nazri bin Hamzah.