Sunday, March 30, 2014

Anggota MADA Disaran Tingkatkan Prestasi Kerja

Semua anggota Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah diseru untuk meningkatkan prestasi dalam kerja yang telah diamanahkan, selain mempunyai sifat integriti yang tinggi, berdisiplin, amanah dan tanggungjawab serta menjaga reputasi dan maruah agar agensi yang dibawa dilihat sebagai agensi yang lebih cemerlang. Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata integriti berkait rapat dengan kekuatan prinsip dan keutuhan moral , prinsip beretika, kekuatan jati diri dan amanah seseorang individu dalam menjalankan sesuatu kerja yang menjadi ukuran dan menimbulkan tanggapan daripada orang lain. Tambahnya, MADA merupakan agensi yang berwibawa, bertanggungjawab dan boleh dipercayai dalam menyampaikan perkhidmatan sebaik mungkin terhadap rakyat khususnya golongan petani di bawah bimbingannya. Dato` Othman bin Haji Aziz berkata sifat integriti sememangnya harus ditekankan selaras dengan kehendak kerajaan yang kini giat membentuk perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berinovasi kerana rakyat Malaysia semakin peka, berpendidikan tinggi dan mengharapkan yang terbaik kepada sistem perkhidmatan awam. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya kepada hampir 420 pegawai MADA yang hadir dalam Seminar Integriti dan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti MADA Bersama Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 30 Mac 2014 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Katanya, penganjuran seminar dan menandatangani ikrar integriti adalah sebagai bukti yang jelas akan pengurusan agensi MADA yang sentiasa memberi perhatian serius dalam usaha menerap, memberi kesedaran, memperkemaskan dan menambah pengetahuan serta meningkatkan integriti di kalangan pegawai-pegawai MADA. Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Malaysia, Dato` Hajah Sutinah bt Sutan, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia, Dr Abu Bakar bin Sarpon dan Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.

Parlimen: Perjanjian Konsesi Melindungi Pesawah Tidak Terbatal Dengan Penyahsenaraian Bernas

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) terutama dalam melindungi kepentingan pesawah tidak akan terbatal dengan penyahsenaraian Bernas dari Bursa Malaysia. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat lima perkara dalam perjanjian berkenaan bagi melindungi kepentingan pesawah dan ia tidak akan terjejas dengan penyahsenaraian itu. “Perkara tersebut ialah mengurus dan mengekalkan stok penimbal negara pada setiap masa, menguruskan semua pusat belian padi dan menjadi pembeli terakhir padi pada harga minimum terjamim iaitu RM750 bagi satu tan metrik. “Perkara lain termasuk menguruskan skim subsidi harga padi dan menguruskan skim kilang-kilang bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari. Dato` Seri Ismail Sabri berkata walaupun mungkin akan berlaku perubahan dalam struktur pengurusan dan operasi Bernas ekoran penyahsenaraian itu, lima perkara dalam perjanjian konsesi itu tetap kekal. “Beberapa Anggota Parlimen dari pihak pembangkang bimbang apabila penyahsenaraian ini, kerajaan akan biarkan nasib pesawah ini terumbang-ambing. Ianya tidak benar, malah Bernas telah memberikan janji semua dalam perjanjian masih kekal dan tiada perubahan,” katanya. Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa Bernas akan mengendali semua perkara berkaitan pembangunan petani termasuk membangunkan sawah dan insfrasruktur sawah selepas penyahsenaraian itu. Katanya, perkara itu tidak akan berlaku kerana tugas membangunkan sawah dan infrastrukturnya adalah tanggungjawab agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). “Jadi tidak timbul isu apabila Bernas sudah dinyahsenarai nanti maka kebajikan pesawah tidak dijamin kerana perjanjian masih lagi kekal seperti yang lalu,” katanya. SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1025141

Pembenihan Awan di Kedah, Selangor

Melaka Tengah: Pembenihan awan akan dilakukan di Kedah dan Selangor berikutan dua empangan di negeri itu berada di bawah paras kritikal. Empangan berkenaan ialah Empangan Muda, Kedah dan Empangan Klang Gate, Selangor. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata pembenihan awan perlu dilakukan segera bagi mengelak bekalan air ke beberapa kawasan di negeri berkenaan terjejas jika tiada hujan dalam tempoh terdekat. “Bagi mengatasi masalah empangan itu yang berada di bawah paras kritikal, kita akan melakukan pembenihan awan khas berdasarkan kepada permintaan. “Ia akan dilakukan jika ada awan kumulus, selain ada 85 peratus peluang untuk hujan. Operasi itu akan terus dilakukan sehingga air melebihi paras kritikal,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau mengulas permintaan Kerajaan Kedah supaya pembenihan awan dilakukan di negeri itu berikutan cuaca yang baik ketika ini seterusnya membantu mengatasi masalah kemarau sejak Januari lalu. Di Kuala Lumpur, Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Azhar Ishak, berkata pihaknya merancang melakukan pembenihan awan di Utara Semenanjung pada Jumaat dan Sabtu ini bergantung kepada keadaan atmosfera. Atmosfera tak stabil “Bagaimanapun, ketika ini keadaan atmosfera di Utara Semenanjung masih tidak stabil kerana kurang pembentukan awan yang sesuai,” katanya. Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) belum memutuskan sama ada catuan air berjadual akan dihentikan berikutan paras empangan di Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Johor dan Negeri Sembilan masih di paras membimbangkan. Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua, berkata operator air di semua negeri di Semenanjung dan Labuan masih memantau paras sungai dan empangan di negeri masing-masing. “Kami akan terus melaksanakan catuan air berjadual jika keadaan masih kritikal. “Hujan sejak minggu lalu meningkatkan paras sungai yang membekalkan air mentah ke loji rawatan air di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. Berikutan itu, operator air menarik balik pengagihan bekalan air berjadual di beberapa kawasan di negeri berkenaan,” katanya. SUMBER : BERITA HARIAN http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembenihanawandiKedah_Selangor/Article/

Monday, March 24, 2014

Akuakultur jana ekonomi Pasir Salak

PASIR SALAK 24 Mac - Ternakan ikan dalam sangkar atau akuakultur bakal menjadi sumber ekonomi utama di Pasir Salak selain padi dan sawit, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, aktiviti eko-pelancongan juga akan menjadi antara sumber ekonomi baharu di kawasan itu. Menurut beliau, kedua-dua aktiviti ekonomi itu adalah antara cadangan yang terkandung di dalam Pelan Induk Pembangunan Ekonomi dan Sosial Pasir Salak yang sedang disediakan. "Walaupun pelan induk itu masih belum siap sepenuhnya, kita sudah ada idea apa sektor yang sesuai untuk dibangunkan di kawasan ini," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja pegawai tertinggi Kementerian Pertanian dan Asas Tani ke kawasan Parlimen itu semalam. Lawatan kerja sehari itu yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah antara lain melawat projek naik taraf pengairan Sungai Manik, ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Perak dan pusat pengumpulan FAMA di Changkat Lada. Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, walaupun banyak program pembangunan dilaksanakan di kawasannya, sudah sampai masanya untuk kerajaan mengadakan lebih banyak program yang boleh meningkatkan lagi pendapatan rakyat. Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan akuakultur dan eko-pelancongan. "Bagaimanapun keputusan akhir mengenai lokasi itu akan diputuskan selepas mendapat nasihat pakar dari kementerian," katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di Pasir Salak supaya menyambut baik program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan. "Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan moral tetapi perlu sama-sama menjadi peserta yang aktif," ujar beliau. Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan tambahan RM44 juta untuk projek menaik taraf pengairan Sungai Manik. Beliau berkata, RM7.3 juta akan dibelanjakan tahun ini dan tahun depan, manakala bakinya akan dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bermula 2016. SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140325/wu_01/Akuakultur-jana-ekonomi-Pasir-Salak#ixzz2wwLJ2im3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Penerbangan MH370 Berakhir Di Lautan Hindi Selatan

YAB Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi Selatan, di sebelah barat Perth, Australia. Ucapan Penuh YAB Perdana Menteri : “Petang ini saya telah diberikan taklimat oleh wakil daripada Badan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan, telah menjalankan perkiraan lanjut ke atas data berkenaan. Menggunakan satu bentuk analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberikan beberapa petunjuk yang lebih jelas mengenai laluan penerbangan pesawat MH370. Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa pesawat MH370 telah terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang lokasi pendaratan. Oleh itu dengan perasaan yang amat sedih dan terharu, menurut data terkini yang diperolehi, saya ingin memaklumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi. Kami akan mengadakan satu sidang media esok (Selasa) bagi memberikan butiran lanjut. Buat masa ini, kami akan terus memaklumkan tentang perkembangan baru ini secepat yang mungkin. Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada keterbukaan dan menghormati ahli keluarga yang terlibat, dua prinsip yang sentiasa menjadi panduan dalam siasatan ini. Malaysia Airlines sudah berhubung dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terbaru ini. Buat mereka, beberapa minggu lepas merupakan masa yang amat memilukan; saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media agar menghormati privasi mereka dan memberikan mereka sedikit ruang yang amat diperlukan di saat-saat sukar seperti ini.” SUMBER : MADATV http://www.madatv.my/penerbangan-mh370-berakhir-di-lautan-hindi-selatan/

Tiada Catuan Air di Kedah

ALOR SETAR – Keadaan cuaca yang baik di Kedah ketika ini disifatkan sebagai masa yang sesuai bagi melakukan pembenihan awan untuk membantu mengatasi masalah kemarau panjang di negeri ini sejak Januari lalu. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata antara faktor yang membolehkan pembenihan dilakukan adalah berdasarkan kepada keadaan langit yang mula berawan ketika ini. Justeru beliau berharap, pihak berkaitan supaya melaksanakan pembenihan awan sebagai salah satu langkah awal untuk menjamin bekalan air sebelum keadaan mendesak. Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan catuan air buat masa ini kerana paras air di empangan utama di Kedah ketika ini masih selamat dan mencukupi untuk memenuhi segala keperluan domestik dan pertanian. “Untuk buat pembenihan awan, syaratnya mesti ada awan juga di langit, macam keadaan sekarang, baru tindakan pembenihan awan ini boleh diambil. “Jika kita lihat sebelum ini langit di Kedah terang, tidak berawan, tetapi selepas semua pihak melakukan apa yang perlu, termasuk mengadakan solat sunat Istisqa keadaan cuaca kini menjadi semakin baik. “Langit kita mula berawan dan ada hujan selama tiga hari walaupun tidak cukup. Jadi saya berharap akan tindakan pembenihan awan ini diambil oleh pihak tertentu dan saya juga sarankan agar rakyat supaya tidak putus harap dan terus memperbanyakkan doa,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Besar Perlis, Azlan Man di Wisma negeri pada 24 Mac 2014. Kunjungan berkenaan adalah bagi meneruskan amalan tradisi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) mengunjungi ketua kerajaan negeri-negeri di seluruh negara bagi menyampaikan jemputan rasmi ke temasya sukan yang dianjurkan di Perlis pada tahun ini. Sementara itu, Azlan berkata bagi SUKMA ke 17 di Perlis yang akan berlangsung pada 24 Mei depan pihaknya mensasarkan sebanyak 14 pingat emas berdasarkan prestasi semasa kontinjen negeri Perlis ketika ini. Selain itu katanya, persiapan kerajaan negeri Perlis selaku tuan rumah sudah mencapai tahap lebih 95 peratus dan pihaknya percaya ia akan dilengkapkan sepenuhna pada 8 Mei ini. “Semua acara termasuk akuatik akan berlangsung di Perlis dan kita menyediakan prasarana bertaraf dunia bagi menghadapi SUKMA kali ini,” katanya. SUMBER : BERITA HARIAN

Sunday, March 23, 2014

Program Penanaman Semula Pokok Bantu Penduduk Kampung

RAUB, 23 Mac (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM28 juta bagi menjayakan ‘Program Penanaman Semula Buah-buahan Terpilih’ bagi tempoh tiga tahun dalam usaha melonjakkan pendapatan penduduk kampung dan pekebun kecil di negara ini. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menerusi program itu, juga ia mampu meningkatkan nilai eksport negara sekaligus mengurangkan defisit perdagangan buah-buahan yang melebihi RM1 bilion. “Pada masa kini keluasan tanaman buah-buahan negara ialah 205,467 hektar dengan jumlah pengeluaran 1.6 juga metrik tan. “Pada tahun 2012, kita mengimport RM1.8 bilion buah-buahan manakala eksport adalah RM615 bilion dan diharap dengan adanya program ini, ia mampu meningkatkan pengeluaran buah-buahan bermutu sekaligus mengurangkan nilai import,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program Bantuan Tanam Semula Pokok Buah-buahan Terpilih di Sekolah Kebangsaan Ulu Dong, Kampung Pamah Rawas, di sini Ahad. Menurutnya, program penanaman semula itu disasarkan kepada penduduk kampung yang mempunyai pokok buah-buahan di sekeliling rumah mereka dan petani yang mempunyai kebun buah-buahan kurang daripada lima hektar. Ismail berkata program itu dianggarkan disertai 6,000 pekebun dan penduduk kampung dengan keluasan kebun 4,666 hektar. Mereka yang memiliki kebun akan diberikan bantuan minimum RM1,000 hingga RM6,000 per hektar dalam tempoh tiga tahun bergantung kepada penilaian jawatankuasa pelaksana peringkat daerah. Bantuan juga akan meliputi benih berkualiti, input pertanian (baja dan racun), alatan pertanian dan infrastruktur asas seperti perparitan, jalan kebun dan pembersihan kawasan. Bagi penduduk kampung yang mempunyai pokok buah-buahan di sekeliling rumah, mereka juga akan diberikan sagu hati untuk setiap pokok yang ditebang sebelum teknik cantuman dewasa dengan benih bermutu tinggi dijalankan pada pokok-pokok itu. Mereka yang berminat boleh memohon menerusi pejabat pertanian di daerah masing-masing. Ismail berkata buah-buahan negara ini mempunyai potensi untuk dipasarkan hingga ke luar negara namun banyak hasil buah-buahan orang kampung tidak dapat dipasarkan kerana kualiti tidak menepati piawaian. “Sebab itu program penanaman semula ini dilaksanakan dan kementerian beri pampasan kepada penduduk kampung untuk tebang pokok lama dan tanam pokok baharu,” katanya Beliau berkata antara buah-buahan yang dipilih dan mempunyai potensi besar untuk dieksport ialah Durian Musang King (D99 dan D24); Cempedak Kuang (4 dan 5); Mangga Harumanis dan Chokanan, Rambutan Rong Rien dan Anak Sekolah; serta Duku Langsat Terengganu. Kesemua buah-buahan ini diberikan tumpuan oleh kementerian memandangkan ia mendapat laluan pasaran eksport dan dalam masa sama kementerian akan bekerja sama dengan Intelektual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) untuk mendaftarkan beberapa jenis buah-buahan itu, katanya.
SUMBER : BERNAMA & MOA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1024098

Saturday, March 22, 2014

Program ‘Road to MAHA 2014’ Peringkat Perak

MAHA merupakan satu program wajib oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia yang diadakan setiap dua tahun. MAHA sentiasa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari masyarakat, khususnya dari golongan peladang, penternak, dan nelayan. Sememangnya matlamat Kementerian adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan tersebut mengenai potensi yang ada dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani. Demi memastikan MAHA mencapai sasaran yang dikehendakki oleh Kementerian, satu program yang dinamakan “Road to MAHA 2014” telah diwujudkan; bertujuan untuk menghebah serta mempromosi penganjuran MAHA bagi tahun 2014 yang dijangka akan diadakan pada 20 sehingga 30 November 2014 bertempat di MAEPS Serdang, Selangor. Program ‘Road to MAHA 2014′ Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan telah diadakan pada 21 sehingga 23 Mac 2014 dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin bin Abdul Rahman di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak. Dato` Tajuddin dalam ucapan perasmiannya berkata, program MAHA 2014 yang bertemakan Agroteknologi Pemangkin Transformasi Agroprenuer ini merupakan salah satu program turun padang yang dianjurkan oleh Kementerian untuk bertemu secara langsung dengan golongan sasar seperti peladang, penternak, dan nelayan serta memberi khidmat nasihat dan bimbingan menerusi jabatan dan agensi di peringkat negeri. Tambahnya, program ini juga turut menyediakan peluang-peluang perniagaan dalam setiap sektor kepada penduduk dan juga untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat melalui pendekatan dari atas ke bawah atau top to bottom approach. Katanya, pihak Kementerian mensasarkan untuk memerangi peranan orang tengah dalam semua sub-sektor yang sentiasa menindas dan memanipulasi peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak ketinggalan dalam program “Road To MAHA 2014” Peringkat Negeri Perak; melibatkan dalam pameran dan juga jualan produk-produk yang diusahakan oleh usahawan di bawah bimbingan MADA kepada pengunjung yang hadir. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah, Ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, mewakili Pengurus Besar MADA.

Wednesday, March 19, 2014

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara SPPM SDN BHD Bersama Syarikat Bayer Cropscience.

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara SPPM SDN BHD Bersama Syarikat Bayer Cropscience bertempat di Eastin Hotel, Petaling Jaya pada 19 Mac 2014.

Tuesday, March 18, 2014

Penswastaan Bernas Tak Jejas Industri Beras – Dato` Sri Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Penyahsenaraian syarikat PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) daripada Bursa Malaysia dan penswastaannya tidak akan memberi kesan kepada industri beras dan kebajikan golongan petani, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Di samping itu beliau berkata ia juga tidak akan menjejaskan tanggungjawab sosial kerajaan terhadap kepentingan rakyat. “Penswastaan ini tidak akan menjejaskan perjanjian dibuat kerajaan dengan syarikat Bernas iaitu apa juga penstrukturan semula, ia tidak akan sesekali mengabaikan kepentingan rakyat dan terus melindungi kepentingan petani dan pengedar Bumiputera di negara ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di ibu negara, Selasa. Dato` Sri Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa penyahsenaraian Bernas itu akan menjejaskan nasib petani kerana ia hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu. Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Isnin menolak usul dibawa Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) untuk membincangkan mengenai perkara itu kerana Gooi boleh membangkitkan isu Bernas ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja yang sedang berlangsung minggu ini. SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1022894

Sunday, March 16, 2014

Perhimpunan Bulanan MADA bersama Pengerusi MADA & Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air Dan Penanaman Padi MADA Musim 1/2014

Perhimpunan Bulanan MADA bersama Pengerusi MADA, YB Dato` Othman bin Haji Aziz telah diadakan pada 16 Mac 2014 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Perhimpunan bersama Pengerusi MADA yang merupakan kali ketiga untuk tahun ini diadakan bertujuan untuk mendekati dan menyampaikan amanat serta beramah mesra bersama kakitangan MADA khususnya kakitangan yang bertugas di bahagian pertanian. Dalam perhimpunan tersebut, YB Dato` Othman bin Haji Aziz menyeru kepada pegawai-pegawai MADA yang hadir dalam perhimpunan tersebut sentiasa proaktif, inovatif, komited, bertanggungjawab dan sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas agar organisasi MADA lebih cemerlang dari tahun sebelumnya selain memotivasikan diri dalam meminati kerjaya yang diceburi sekarang ini. Beliau berharap pegawai-pegawai MADA sentiasa peka dan sensitif akan perkembangan semasa dan mampu menyampaikan maklumat kepada petani-petani terutamanya dalam memerangi orang tengah dalam sektor padi selaras dengan hasrat dan harapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail. Sementara itu, Dato’ Othman bin Haji Aziz juga turut mempengerusikan Mensyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi MADA pada hari yang sama di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Mesyuarat yang dihadiri oleh Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan MADA, Pengerusi Biro Pengairan PPK dan pegawai-pegawai MADA bertujuan bagi menetapkan jadual Penanaman Padi Musim 1/2014 selain menyampikan maklumat mengenai prestasi Penanaman Padi Musim 2/2013. Dalam sidang media, beliau memohon peladang-peladang di kawasan Muda mengikut jadual yang diberikan oleh MADA , memudahkan bagi kedua belah pihak dalam memastikan pengurusan industri padi berjalan secara sistematik dan boleh mencapai sasaran pengeluaran padi dalam masa yang telah ditetapkan. Katanya lagi pencapaian yang dicapai oleh MADA secara purata bagi musim 2/2013 adalah sebanyak 98.2% Kawasan Muda berjaya ditanam dan sehingga 12 Mac 2014 sebanyak 91.3% padi yang telah masak dan tuaian padi telah mencapai 84.8%. Bagi hasil pengeluaran padi pula, purata hasil pengeluaran padi musim 2/2013, mengikut bancian CCS sehingga 10 Mac 2014 ialah 6.25 tan per hektar dan hasil tuaian bagi musim 2/2013 dijangka akan melebihi purata hasil musim 2/2012 iaitu 5.27 tan per hektar.