Monday, September 1, 2014

MADA turut rai jamuan Hari Raya MOA

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menganjurkan Majlis Jamuan Raya Aidilfitri yang diadakan pada 21 Ogos 2014 di Dewan Serbaguna, Wisma Tani, Putrajaya.

Sebanyak 10 agensi dan jabatan di bawah kementerian mengambil bahagian dalam majlis jamuan kementerian pada tahun ini dengan menyediakan pelbagai juadah kepada pengunjung seperti kambing panggang, cendol, sate, nasi dagang, kebab, kuih-muih dan banyak lagi.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam majlis jamuan raya anjuran Kementerian itu dengan menyediakan hidangan wajib bagi MADA iaitu iaitu Laksa Kedah, Laksa Perlis bersama Pulut Udang dan Tepung Talam Gedik serta minuman Tobiar Gold yang menjadi tumpuan utama pengunjung yang hadir.

Seramai 50 anggota-anggota MADA hadir dalam majlis jamuan raya itu.

MADA dinobatkan sebagai naib johan dalam kategori Gerai Terbaik sempena Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata majlis jamuan raya pada tahun ini diadakan secara tertutup hanya kepada anggota-anggota jabatan dan agensi Kementerian kerana bagi menghormati dan bersama-sama merasai kesedihan yang dialami oleh Malaysia dalam kejadian nahas penerbangan komersial Malaysia MH17 dan kehilangan MH370 serta serangan Israel terhadap Gaza.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan yassin dan kemudiannya Dato` Sri Ismail Sabri menyampaikan sumbangan sebanyak RM 112 645 dimana kutipan dikumpul dari jabatan dan agensi Kementerian kepada wakil Aman Palestin yang akan disalurkan kepada rakyat di Gaza dan juga sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang hadir.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Haji Tajuddin bin Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Mohd Arif bin Ab Rahman.

Kupon RM200 sehektar subsidi pembelian racun melalui Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) kepada petani - YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata sebanyak RM200 subsidi pembelian racun akan diberikan kepada peladang yang mengusahakan industri pertanian bagi memilih & membeli sendiri jenis racun bersubsidi mengikut jenis kesesuaian tanah dan padi mulai musim penanaman yang akan datang.

Kata beliau, hanya peladang sahaja yang tahu jenis racun yang terbaik untuk digunakan terhadap penanaman yang mereka usahakan dan kupon tersebut hanya boleh digunakan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sahaja.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Memerangi Orang Tengah yang melibatkan Perasmian Pusat Belian Padi PPK H-II Kepala Batas, Kempen Peningkatan Hasil Padi dan Pelancaran Pembiayaan Jentera dan Mesin (MAEF-i) Agrobank pada 16 Ogos 2014 bertempat di Kampung Baru, Telok Malik, Jitra.

Dato' Ismail Sabri berkata pihak Kementerian bercadang akan mengujudkan beberapa buah kilang padi pada masa akan datang selepas melihat kejayaan MADA yang kini telah mempunyai tiga buah Pusat Belian Padi yang bertujuan bagi meningkatkan hasil padi dan menolong golongan peladang di bawah bimbingan MADA meningkatkan pendapatan selain mengelakkan permasalahan pemotongan padi yang tidak menentu oleh pengilang-pengilang swasta.

Beliau berkata, sebanyak lapan Pusat Belian Padi akan dibina lagi dalam Kawasan MADA yang dijangka siap hujung tahun ini dan menampung 4,000 tan hasil padi dalam satu musim di setiap pusat.

Dalam majlis yang sama, beliau turut memberi amaran kepada pengilang-pengilang tempatan yang melibatkan diri dalam operasi penyeledupan beras Thailand, dimana mereka mencampurkan beras tempatan dengan beras dari Thailand. Sekiranya mereka didapati terlibat dalam aktiviti lesen mereka akan ditarik balik oleh Kementerian.

Tambahnya, pihak Kementerian ada menerima aduan di mana beberapa pengilang tempatan telah melakukan aktiviti tersebut dan tindakan pengilang tersebut sebenarnya akan merugikan peladang-peladang tempatan dan seterusnya pihak Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan aktiviti tersebut terus berleluasa.

Dalam majlis ini, Dato' Sri Ismail telah melihat dan mengalami sendiri proses penjualan dan pemutuan padi yang dilakukan di pusat belian tersebut, di samping melawat ke gerai-gerai pameran yang disediakan sempena majlis ini.

Lebih 1,000 orang telah menghadiri majlis tersebut.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, YB Datuk Suraya binti Yaacob, Pengerusi MADA, YB Dato' Othman bin Haji Aziz, Pengerusi NAFAS, Dato' Seri Saiful Bahari bin Haji Shuib, Setiusaha Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Naimah binti Ramli dan Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.


SAMBUTAN AIDILFITRI MADA DISAMBUT SEDERHANA TETAPI MERIAH

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2014 peringkat Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diadakan di Konkos, Ibu Pejabat MADA pada 16 Ogos 2014 telah disambut secara sederhana namun meriah.

Majlis tersebut diadakan secara sederhana bagi bersama-sama merasai kesedihan dan menghormati mangsa dan ahli keluarga dalam kejadian nahas penerbangan komersial Malaysia MH17 dan kehilangan MH370.

Sebanyak 15 gerai makanan dengan pelbagai juadah tradisional dan moden disediakan kepada
anggota MADA dan keluarga antaranya ialah nasi arab, laksa, bihun sup, ketupat dan lemang, cendol, rojak buah. satay, char kueh teow Abu Nawas dan banyak lagi.

Sambutan tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Pengerusi MADA, Dato’ Othman bin Aziz serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, YB Datuk Suraya binti Yaacob, Pengerusi NAFAS, Dato' Seri Saiful Bahari bin Haji Shuib dan Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Naimah binti Ramli serta wakil-wakil dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.