Wednesday, August 5, 2015

MRTC alukan kehadiran pelatih baru sesi Julai 2015

MADA Rice Training Centre (MRTC) mengalu-alukan kehadiran seramai 45 orang sebagai pelatih baru bagi sesi Julai 2015.

Pelatih-pelatih tersebut telah menerima taklimat dan ucapan perasmian dari Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Syed Zainuddin bin Syed Zain di MRTC, Jalan Langgar pada 27 Julai 2015.

MRTC memberi peluang kepada pelatih-pelatih yang kurang bernasib baik dalam melanjutkan pengajian ke universiti-universiti tempatan dengan menawarkan Program SKM bagi NOSS Pengeluaran Padi memandangkan aktiviti dan fungsi utama MADA adalah berkaitan Industri Padi.

Antara tawaran program-program SKM yang adalah Pekerja Am Ladang Padi selama enam bulan, Pekerja Kanan Ladang Padi selama enam bulan dan Penyelia Ladang Padi selama 12 bulan.

Sekiranya pelatih-pelatih menunjukkan prestasi dan terampil cemerlang semasa Latihan Industri mempunyai peluang untuk diambil bekerja di Latihan Industri tersebut kerana ada diantara pelatih-pelatih bagi sesi sebelum ini telah berjaya mendapat tawaran pekerjaan sebelum tamah tempoh pengajian mereka.

Objektif MRTC diwujudkan adalah bertujuan bagi melahirkan peladang-peladang yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam teknologi dan sistem pengurusan pertanian moden, melengkapkan golongan sasar dengan kemahiran mengendali dan menyelenggarakan jentera-jentera pertanian moden dan canggih selain membentuk sikap dan sahsiah golongan sasar yang berjati diri luhur fan kental, berfikiran positif, berdaya saing dan progresif serta melahirkan usahawan tani di dalam rantaian nilai industri padi dan menjana pertumbuhan sumber ekonomi yang menguntungkan.

Para pelajar MRTC juga mendapat keistimewaan yang telah disediakan antaranya ialah menerima imbuhan sebanyak RM 200 sebulan, makan dan minum serta penginapan disediakan sepanjang pengajian selain menerima kursus motivasi, keusahawanan dan kerohanian.







MADA Perlu Hasil Produk Jenama Sendiri

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) perlu menghasilkan jenama sendiri bagi setiap produk yang dikeluarkan sekiranya mahu terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato` Seri Dr. Shahidan bin Kassim menyuarakan cadangan tersebut di mana identiti sendiri itu boleh diwujudkan dengan menjenamakan semula produk keluaran yang memaparkan nama MADA.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan banjir RM368,000 kepada 418 peladang Kawasan Muda di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau di Kubang Gajah pada 12 Julai 2015.

Setiap penerima memperoleh antara RM300 hingga RM3,000 sebagai wang ehsan akibat daripada bencana banjir pada November dan Disember pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki Ismail berkata pihak MADA menyambut baik saranan yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut dalam menjenamakan semula produk keluaran MADA.

Katanya, MADA akan memberi fokus kepada soal penjenamaan semula melalui sebahagian peruntukan sebanyak RM 175 juta dalam Rancangan Malaysia Ke- 11 (RMK11).

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Wilayah I, Encik Hussin bin Yusoff dan wakil dari jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.


2,966 Petani Terima RM3.46 juta Bantuan Wang Ehsan Banjir Bulan November/Disember 2014

Seramai 2,966 petani yang terlibat bencana banjir pada November dan Disember tahun 2014 lalu telah diluluskan untuk menerima bantuan wang ehsan sebanyak RM 3.46 juta.

Menteri Besar Kedah, Dato` Seri Haji Mukhriz bin Tun Mahathir berkata, daripada jumlah tersebut seramai 2,948 petani daripada sektor padi, 9 orang dari sektor buah-buahan dan sayur-sayuran, 8 orang daripada akuakultur dan seorang daripada ternakan yang melibatkan seluas 3824 hektar merangkumi kawasan MADA dan luar kawasan MADA.

Katanya, bantuan tersebut merupakan sumbangan ikhlas daripada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa memikirkan keperluan rakyat Malaysia khususnya petani mengusahakan pertanian yang terlibat dengan bencana banjir.

Tambah beliau, sejak kebelakangan ini kejadian banjir di Kedah bukanlah perkara asing lagi kerana saban tahun terdapat sahaja kawasan-kawasan dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan hasil pertanian sekaligus merencatkan pertumbuhan sektor pertanian serta sumbangannya kepada pendapatan negeri dan negara.

Beliau berharap dengan bantuan yang diberikan kepada petani yang terlibat dapat menggunakan bantuan tersebut dengan sewajarnya di dalam memastikan kelestarian pertanian di negeri Kedah dan kelestarian pengeluaran agromakanan negara.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan Bencana November/Disember 2014 di Kolej Universiti Insaniah, pada 6 Julai 2015.

Turut bersama beliau dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah, YB Dato` Suraya binti Yaakob, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Pengarah-pengarah bahagian MADA, wakil daripada jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, serta hampir 1,500 orang peladang dan penternak.

MADA Sasar RM300,000 Hasil Jualan Bazaar IAT Aidilfitri

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan sebanyak RM300 000 bagi hasil jualan dari Bazaar IAT sempena Aidilfitri 2015.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata seramai 16 usahawan terlibat secara langsung tetapi seramai 120 orang di bawah program ini juga akan menerima manfaatnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Bazaar IAT Sempena Jualan Produk Kuih Raya Usahawan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 5 Julai 2015 bertempat di perkarangan Star Parade, Alor Setar.

Tambah Dato` Othman, Bazaar IAT MADA turut juga diadakan di empat tempat berlainan iaitu di Alor Setar Mall, Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun, Pasaraya Yawata Jitra, dan Taman Sena Indah Perlis bermula pada 1 Julai sehingga 16 Julai 2015 yang bertujuan menjual kuih-kuih raya tradisional dan moden sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya lagi, ia merupakan sebahagian daripada usaha MADA bersama jabatan & agensi berkaitan seperti FAMA, MARDI, Jabatan Pertanian dan juga Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), yang mempunyai misi yang sama dalam membantu dan memberi peluang kepada usahawan-usahawan untuk mencari ruang dan peluang dalam mempromosi dan memasarkan produk masing-masing.

Dato` Othman berharap dengan adanya program sebegini, semua usahawan yang terlibat dapat mengorak langkah dalam mengembangkan pasaran produk mereka dengan seluas-luasnya selain berjaya menapak sendiri dalam promosi pemasaran kelak.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Tuan Haji Mustafa bin Murat, Pengarah Pembangunan Wilayah MADA, Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA, Encik Ruslan Abdul Ghani bin Ahmad, Pengurus-pengurus Wilayah MADA serta wakil daripada KEDA, FAMA, MARDI dan Jabatan Pertanian.


Selamat Ulang Tahun MADA Ke 45

30 Jun 2015 genaplah 45 tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) beroperasi membangunkan Kawasan Muda yang meliputi dataran tanaman padi seluas 126,155 hektar dengan kawasan sawah seluas 96,558 hektar.

Majlis sambutan ulang tahun penubuhan yang ke 45 tahun telah diadakan pada 1 Julai 2015 bertempat di Ibu Pejabat MADA.

Majlis ulang tahun MADA tersebut di mulakan dengan bacaan Yasin bagi mensyukuri dan memohon keberkatan dari Allah S.W.T dan kemudiannya diikuti majlis berbuka puasa dan seterusnya acara memotong pulut kuning sebagai gimik pelancaran sambutan ulang tahun MADA ke 45

Di samping itu, majlis juga diserikan dengan penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada anggota-anggota MADA dan urusetia Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) oleh Pengerusi MADA. YB Dato’ Othman Aziz selepas itu mengimamkan Solat Isyak dan Solat Tarawih di Dewan Syed Nahar.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata dalam usia yang hampir menjangkau lima dekat ini sudah tentu MADA semakin matang dan telah membuahkan beberapa kejayaan dan sumbangan yang amat bermakna kepada peladang, Negeri Kedah dan negara kita Malaysia.

Antara kejayaan MADA adalah berjaya mengeluarkan keluarga peladang di kawasan Muda dari kumpulan miskin tegar sehingga hanya tinggal ke tahap 2%, menyumbang sebanyak 37% keperluan beras kepada negara kita dan menyumbang membangunkan sektor industri asas tani sehingga mencapai hasil melebihi RM100 juta setahun serta banyak lagi.

Tambah Dato` Othman, bagi perancangan masa depan untuk MADA beliau berharap semua kakitangan MADA terus memberi perkhidmatan yang terbaik bagi mencapai sasaran YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk meningkatkan hasil padi sebanyak 8 tan sehektar dan juga pendapatan peladang sebanyak RM48,000 setahun menjelang tahun 2020.

Dalam memastikan mencapai sasaran Kementerian, pelbagai perancangan telah disusun atur seperti meningkatkan kepadatan taliair selain mengamalkan amalan pertanian baik dan juga memperluaskan lagi kempen-kempen pengembangan seperti penggunaan benih padi sah, penggunaan racun padi sah dan juga kawalan penyakit dan perosak.

Menyelusuri sejarah penubuhannya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah ditubuhkan pada 30 Jun 1970 di bawah satu Dekri Darurat dengan nama asalnya ialah Pehak Berkuasa Kemajuan Pertanian Muda dan perasmiannya telah dilakukan oleh Allahyarham Tun Hj. Abdul Razak Hussein selaku Pemangku Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengarah Gerakan di dalam satu upacara di Bangunan Balai Besar, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Ia kemudian telah ditukarkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diluluskan oleh Parlimen di bawah akta 70, Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, 1972.

Peranan utama yang dimainkan oleh MADA ialah mendorong, menggerak dan menyatukan petani-petani ke dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif yang akan mencetuskan pembangunan pertanian, ekonomi dan sosial adalah satu proses yang sentiasa menubuhkan keperluan-keperluan serta peluang-peluang baru, struktur organisasi MADA telah dibentuk menggabung perkhidmatan-perkhidmatan pentadbiran, kejuruteraan, pertanian dan latihan ke dalam satu pengurusan yang fleksibel.