Sunday, February 15, 2015

Rake Power Tiller - Inovasi Pelatih MRTC untuk Tingkat Kualiti Tanah Sawah

Tiga pelatih MADA Rice Trainning Center (MRTC) telah mengambil langkah proaktif dengan menginovasikan ‘rake power tiller’ bagi meningkatkan kualiti tanah sawah dan seterusnya dapat menghasilkan tanaman padi yang berkualiti.

‘Rake Power Tiller’ adalah implemen yang dipasangkan pada jentera dua roda bagi menjalankan kerja putaran dan penyisiran tanah sawah serta digunakan untuk meratakan tanah sawah selepas kerja-kerja putaran dijalankan dengan menggunakan traktor empat roda.

Dengan menggunakan ‘rake power tiller’ ini, saiz kelumatan tanah sawah yang dikehendaki dapat dicapai pada saiz kurang dari 2.5 sentimeter selain menyisir segala bendasing yang tertinggal dalam petak sawah selepas kerja pembajakan dan putaran oleh traktor empat roda.

Antara kelebihan menggunakan ‘rake power tille’r ini adalah masa bekerja di sawah dapat dijimatkan dimana kerja menyisir dan meratakan tanah dijalankan serentak, pengurusan sawah yang lebih berkesan dengan tanah sawah yang rata, pengurusan bekalan air sawah yang optima, kecekapan pembajaan terhadap tanaman lebih efisyen apabila tanah sawah rata dan pengawalan rumpai lebih berkesan sekiranya kawasan sawah rata dan landai.

Selain itu, kelebihan menggunakan rake power tiller ini adalah mewujudkan pertapakan pokok padi yang seragam dan sekata, dapat mengawal secara menyeluruh terhadap serangan siput gondang emas bagi kawasan berlopak serta bebanan tanah akibat penggunaan jentera dapat dikurangkan.

Secara kesimpulannya, alat ini dapat membantu peladang dalam menangani masalah tanah sawah tidak rata, terutama sekali ketika musim basah selain ringan dan mudah untuk dikendalikan berbanding traktor 4-roda dan ini dapat meminimakan kemasukan jentera berat.

Ia juga mampu memberi peladang peluang mengawal paras air sawah secara optima dan ini akan meningkatkan kecekapan pembajaan apabila kawalan air sempurna.

Idea ‘rake power tiller’ dari inovasi pelatih MRTC ini sememangnya memberi kemudahan kepada peladang di mana ianya mampu mengurangkan bebanan kepada peladang dalam penggunaan jentera lain yang memberi permasalahan kepada tanah serta memberi peluang kepada peladang untuk meningkatkan hasil tanaman padi mereka.

Tuesday, February 10, 2015

Taklimat Kepada Media Berkaitan Perosak Dan Penyakit Utama Tanaman Padi Di Kawasan Muda Bagi Musim 2/2014

Keadaan cuaca yang lembab pada bulan November dan awal Disember 2014 telah menyebabkan berlakunya penyebaran penyakit padi iaitu karah daun, karah tangkai, jalur daun bakteria di Kawasan Muda.

Pengerusi MADA, Dato' Othman bin Haji Aziz berkata hampir 10 ribu hektar tanaman kawasan Muda menerima serangan penyakit karah daun dan karah tangkai manakala hampir 1400 hektar tanaman kawasan Muda menerima serangan penyakit jalur daun bakteria.

Katanya, serangan penyakit yang menyerang tanaman padi telah menyebabkan ramai pihak terutamanya peladang dan juga MADA sendiri menanggung kerugian dari segi hasil dan pendapatan.

Oleh yang demikian, MADA telah mengadakan satu taklimat kepada media dan juga kepada Pengerusi-Pengerusi 27 buah PPK MADA berkaitan perosak dan penyakit utama tanaman padi di Kawasan Muda bagi musim 2/2014 telah diadakan pada 25 Januari 2015 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Industri Padi MADA, Tuan Haji Kamaruddin bin Dahuli.

Dato' Othman berkata lagi taklimat tersebut diadakan bertujuan bagi menyampaikan maklumat berkaitan serangan perosak dan penyakit padi.

Beliau berharap, dengan adanya taklimat tersebut golongan yang hadir dapat memahami dan bersama-sama turut ambil serious bagi mengelakkan serangan perosak terhadap tanaman padi terus berleluasa.

Selain itu, beliau juga berharap semua peladang hendaklah menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cara mendisplinkan diri dalam mengamalkan amalan pertanian baik serta mengikut jadual tanaman padi yang telah disediakan oleh MADA.

Hadir sama dalam taklimat tersebut adalah Timbalan Pengurus Besar ( Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) IR Hor Tek Lip, dan Ketua Pegawai Eksekutif SPPM , Encik Shakir Jamil bin Fisal.


Jerami bakal beri pendapatan baru kepada peladang

Petani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah bimbingan MADA bakal menjana pendapatan baru dengan membekalkan jerami padi kepada Syarikat Perniagaan Peladang MADA (SPPM).

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata SPPM melalui kerjasama MADA akan mengadakan proses pengumpulan jerami terbuang ini sebelum diserahkan kepada Diyou Future Biomass Sdn Bhd sebagai pengilang pellet bahan api.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif SPPM berkata, dengan cara yang efisen tersebut ia berupaya mengelakkan terjadinya masalah pencemaran alam sekitar dan juga gangguan ekologi.

Tambah beliau, proses pegumpulan jerami tersebut juga akan menambah aktiviti-aktiviti petani serta penduduk sekitar dengan aktiviti ekonomi yang menambah hasil serta menambah peluang pekerjaan.

Katanya lagi, kilang bagi memproses Biomas Pellet Plant akan dibina di kawasan PPK B-II Sanglang, Kedah dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100 ribu tan metrik setahun dan ini merupakan kapasiti terbesar dalam negara Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara SPPM Services Sdn Bhd dan Diyou Future Biomass Sdn Bhd pada 27 Januari 2015 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Menteri Besar Kedah, Dato` Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir yang turut hadir sama dalam majlis tersebut berasa amat berbangga dengan kerjasama antara SPPM dan Diyou Future Biomass dalam menjadikan jerami sebagai pellet bahan api.

Selain itu, beliau berkata pertanian merupakan satu sektor yang besar dan amat penting kepada semua kerana sektor tersebut merupakan makanan ruji harian kepada rakyat.

Oleh demikian, beliau berharap rakyat negeri Kedah khususnya peladang-peladang akan terus berusaha terutamanya dalam menyumbangkan hasil padi kepada negeri dan juga negara kerana negeri Kedah merupakan satu-satunya negeri yang bergantung akan hasil pertanian yang memberikan pendapatan yang lumayan kepada peladang sendiri dan juga Kerajaan negeri.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Pengarah MIDA Negeri Kedah dan Perlis, Encil Abdul Mukti bin Abu Bakar, Pengarah Urusan Diyou Future Biomass Sdn Bhd, Encik Lim Choo Hock, Ketua Pegawai Eksekutif Diyou Future Biomass Sdn Bhd, Encik Rosly bin Yaakob, Naib President Kuala Lumpur SME Bank, Encik Hashafari Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPPM, Encik Shakir Jamil bin Fisal.

Majlis Pengubahalihan Saham PPK MADA Dalam SPPM

Majlis Pengubahalihan Saham Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Dalam Syarikat Pertubuhan Peladang (MADA) Sdn Bhd (SPPM) telah disempurnakan oleh Pengerusi MADA, Dato’ Othman bin Haji Aziz pada 22 Januari 2014 di TH Hotel Convention Centre.

Dato’ Othman yang juga Pengerusi Eksekutif SPPM berkata majlis tersebut diadakan bertujuan bagi memberi penerangan tentang cadangan pengubahalihan saham PPK MADA dalam SPPM serta langkah-langkah pengubahalihan supaya mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Selain itu, ia bertujuan bagi mendapatkan kelulusan AJK PPK MADA tentang cadangan pengubahalihan saham PPK MADA dalam SPPM.

Katanya lagi, cadangan dan proses pengubahalihan saham PPK dalam SPPM oleh MADA amat penting untuk dijayakan bagi memastikan Pelan Transformasi SPPM dapat direalisasikan.

Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat dalam proses pengubahalihan tersebut hendaklah mengambil serius bagi menjayakan cadangan ini.
Sehubungan dengan itu, kesemua 27 buah PPK MADA telah bersetuju dengan cadangan pengubalihan tersebut.

Dalam majlis tersebut juga YB Dato` Othman bin Haji Azizi telah menyampaikan cek-cek bernilai RM 50,000 kepada Pengerusi- Pengerusi PPK MADA bagi tujuan kerja-kerja penyenggaraan infrastruktur kecil di peringkat kawasan masing-masing.

Selain itu,SPPM juga menyampaikan sebanyak RM882,872 kepada 23 buah PPK MADA bagi tujuan bayaran komisen input pertanian dan ia merupakan bayaran fasa pertama dan akan diteruskan secara berperingkat- peringkat di masa hadapan.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SPPM, Encik Shakir Jamil bin Fisal, Pengerusi dan ahli-ahli jemaah pengarah 27 buah PPK MADA.


Monday, February 9, 2015

Lebih Fokus dan Serius dalam Bekerja – YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob

Semua pegawai dan anggota jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hendaklah lebih fokus dan ambil serius dalam bekerja demi memastikan apa yang disasar olehKementerian dapat dicapai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata tahun 2015 bukanlah tahun besenang-lenang dimana tahun 2015 adalah tahun yang serius dimana setiap jabatan dan agensi di bawah Kementerian hendaklah memastikan peningkatkan pengeluaran hasil sebanyak 10% berbanding tahun lepas.

Katanya, demi memastikan peningkatan pengeluaran hasil yang disasarkan, pihak Kementerian menyatakan hasrat dalam membantu Kerajaan dengan memberi penekanan dengan mengurangkan kebergantungan dan import barangan dan melebihkan pengeluaran produk tempatan ke luar negara.

Tambah beliau lagi, terdapat beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian antaranya adalah menetapkan pendapatan golongan sasar sekurang-kurangnya RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Selain itu, beliau juga meminta semua pegawai dan anggota di bawah Kementerian memberi lebih perhatian kepada jihad memerangi orang tengah kerana kebanyakkan golongan sasar masih berurusan dengan golongan tersebut.

Katanya, bagi mencapai sasaran dalam jihad memerangi orang tengah dalam sektor padi, semua pegawai dan anggota yang terlibat hendaklah turun padang sendiri bagi mengubah persepsi golongan sasar terhadap orang tengah sememangnya yang mengaut keuntungan yang lebih selain mendidik golongan sasar mendisiplinkan diri dalam mengusahakan tanaman padi.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat YB Menteri 2015 di MAEPS, Serdang pada 26 Januari 2015.

Dalam pada itu, Dato` Sri Ismail Sabri turut menyatakan bahawa negara Malaysia tidak akan mengalami krisis ekonomi dimana Kerajaan Persekutuan masih mampu menguruskan keadaan ekonomi negara.

Katanya, fenomena penurunan harga minyak memberi faedah kepada pengguna dimana setiap pengguna mendapat keuntungan dan penjimatan melalui subsidi yang telah dikurangkan.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Tajuddin bin Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato`Mohd Arif bin Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Haji Raihan bin Sharif, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Tuan Haji Azini bin Mohd Shahid, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz dan Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.