Monday, September 23, 2013

Mesyuarat Bekalan Air Peringkat MADA

Mesyuarat Bekalan Air Peringkat MADA telah diadakan pada 12 September 2013 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Aziz berkata mesyuarat tersebut diadakan dua kali setahun sebelum penanaman padi bermula. Tambah beliau, tujuan utama mesyuarat diadakan adalah menyampaikan maklumat berkaitan prestasi Penanaman Padi Musim 1/2013 yang telah memberi hasil tuaian sebanyak 53.3 % sehingga 28 Ogos 2013 dan menetapkan Jadual Penanaman Padi Musim 2/2013 yang akan bermula pada 19 September 2013. Selain itu, beliau berkata turunan hujan bagi tahun 2013 memuaskan dan takungan air di Empangan Pedu berada di tahap 59.0% daripada takungan penuh. Beliau berharap sebanyak 55 ribu petani akan mengikut jadual bekalan air dan juga sentiasa sensitif serta peka akan keadaan persekitaran terutamanya terhadap tanaman padi. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bekalan Air Peringkat MADA. Turut hadir sama pada mesyuarat tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar ( Pertanian) MADA, Dato` Haji Roslee bin Baharom dan Timbalan Pengurus Besar ( Teknikal) MADA, IR. Hor Tek Lip.

Bengkel ‘Change Acceleration Process (CAP)’ MADA

Bengkel ‘Change Acceleration Process (CAP)’ MADA telah diadakan pada 5 dan 6 September 2013 di Hotel Copthorne Orchid, Pulau Pinang. Bengkel ini dikendalikan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri dengan menggunakan modul dan kepakaran dari General Electric (GE). Bengkel CAP ini dilaksanakan hasil dari Program ‘Public Service Delivery Transformation’ yang mana Aspirasi Transformasi PSD ini adalah bertujuan untuk mencapai satu tahap penyampaian perkhidmatan terbaik, berkesan, cekap dan telus, malah berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang sentiasa memenuhi aspirasi rakyat. Majlis Perasmian Penutupan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Dr Baharom bin Jani. Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip dan Pengarah Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md. Zuki bin Ismail.

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif MADA 2013

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengadakan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MADA 2013 pada 4 dan 5 September 2013 bertempat di Hydro Hotel, Pulau Pinang. Seramai 100 peserta yang terdiri daripada pegawai MADA telah menyertai konvensyen ini yang dibahagikan kepada sembilan kumpulan dan telah membentangkan 9 tajuk kepada panel juri. Cawangan Teknologi Maklumat dan Cawangan Perkhidmatan Mekanikal telah memenangi konvensyen ini dan akan mewakili MADA ke Konvenysen Kumpulan Inovatif dan Kreatif peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Tani tidak lama lagi. Secara dasarnya, Program KIK ini menyediakan teknik-teknik untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam organisas yang juga merangkumi kaedah untuk membolehkan ahli-ahli KIK bertindak secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk yang baru melalui kemahiran imaginasi yang membawa kepada peningkatan perkhidmatan di jabatan, agensi dan organisasi. Majlis Penutup Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif MADA 2013 telah disempurnakan oleh Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh.

Saturday, September 7, 2013

Selamat Datang Dato` Othman bin Aziz ke MADA

Dato` Othman bin Aziz merupakan Pengerusi MADA yang baru menggantikan Mantan Pengerusi MADA terdahulu, Dato` Seri Mahawangsa Dato` Seri Diraja Dato` Mahdzir bin Khalid. Beliau memegang jawatan rasmi tersebut pada 15 Julai 2013 yang lalu setelah namanya dicadangkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob serta diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Al-Muadzam Shah. “ Terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional yang memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan ini dan akan meneruskan perjuangan serta menyahut cabaran Perdana Menteri Malaysia dalam meningkatkan pendapatan petani sebanyak RM 48 ribu setahun pada tahun 2020.” Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Sambutan Aidilfitri MADA 2013 pada 1 September 2013 di Ibu Pejabat MADA.

Sambutan Aidilfitri MADA Meriah

Sambutan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diadakan pada 1 September 2013 di Konkos, Ibu Pejabat MADA telah berlangsung dengan meriahnya. Pelbagai juadah disediakan kepada tetamu yang hadir seperti Nasi Tomato, Laksam, Laksa, Lontong, Satay Ayam dan Daging, kuih-muih tradisional, minuman panas dan buah-buahan tempatan. Sambutan tersebut diserikan dengan kehadiran Pengerusi MADA baru iaitu Dato` Othman bin Aziz. Beliau menyampaikan duit raya kepada Anak-anak Yatim Pusat Jagaan Baitul Ahmad sebelum mendendangkan beberapa lagu kepada tetamu yang hadir. Sambutan Aidilfitri MADA turut diserikan dengan kehadiran, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato` Seri Shahidan bin Kassim dan Exco Pertanian dan Industri Tani Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob.