Wednesday, August 17, 2011

GOTONG ROYONG MEMASAK BUBUR LAMBUK

Sempena menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak tahun ini, Pejabat Wilayah IV telah mengadakan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Antara tujuan mengadakan aktiviti ini ialah mengeratkan silaturahim antara pegawai MADA Wilayah IV, mewujudkan semagat kekitaan disamping meraikan bulan Ramadhan. Gotong-royong memasak bubur lambuk ini diketuai oleh Encik Abdul Wahab salah seorang pemandu di Wilayah IV. Aktiviti ini dimulakan dengan penyediaan tempat memasak, penyediaan bahan mentah untuk memasak,(merewang), mengacau bubur lambuk sehingga pengagihan bubur kepada kakitangan MADA Wilayah IV.




Tuesday, May 3, 2011

IKLAN JAWATAN KOSONG MADA BIL 1/2011

Pemohon-Pemohon warganegara Malaysia yang berkelayakan adalah dipelawa untuk mengisi jawatan-jawatan berikut di dalam perkhidmatan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda:-


A.      JAWATAN/KELAYAKAN



1.      JAWATAN                                   :     JURUTERA GRED J41

         1.1     Kumpulan Perkhidmatan      :     Pengurusan dan Profesional

         1.2     Klasifikasi Perkhidmatan      :     Perkhidmatan Kejuruteraan

       
2.      JAWATAN                                   :     PEG. TEKNOLOGI MAKLUMAT GRED F41

         2.1     Kumpulan Perkhidmatan      :     Pengurusan dan Profesional

         2.2     Klasifikasi Perkhidmatan      :     Perkhidmatan Sistem Maklumat

       
3.      JAWATAN                                   :     JURUTEKNIK (AWAM) GRED J17

3.1     Kumpulan Perkhidmatan       :     Kumpulan Sokongan
         3.2     Klasifikasi Perkhidmatan      :     Perkhidmatan Kejuruteraan


4.      JAWATAN                                   :     PEMANDU KENDERAAN (EMPO) GRED R3

4.1     Kumpulan Perkhidmatan       :     Kumpulan Sokongan
        4.2     Klasifikasi Perkhidmatan      :     Perkhidmatan Mahir/Separuh Mahir/Tidak Mahir
       


B.      SYARAT LANTIKAN DAN LAIN-LAIN MAKLUMAT:
       
          Sila layari Laman Web MADA seperti berikut:



C.    TARIKH TUTUP PERMOHONAN :

        12 Mei 2010 (Permohonan yang lewat diterima tidak akan dilayan)

       
        NO. FAIL : MADA(A2)PSM/502101/Jld.IV-e(22)

Sunday, March 20, 2011

Permohonan Menjadi Ahli Pertubuhan Peladang (PPK) MADA

LATAR BELAKANG

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA ditubuhkan pada awalnya dengan nama Persatuan Peladang dan didaftarkan di bawah Akta Persatuan Peladang Kawasan 1967. Ia kemudiannya telah ditukarkan kepada nama Pertubuhan Peladang Kawasan apabila Akta Pertubuhan Peladang 1973 diluluskan oleh Parlimen. Persatuan Peladang atau Pertubuhan Peladang Kawasan MADA telah ditubuhkan pertama kalinya pada tahun 1968 dengan penubuhan Persatuan Peladang Kubang Sepat di mana keahliannya seramai 215 orang dan saham bernilai RM500.00. Penubuhan Persatuan Peladang semakin meningkat sehinggalah pada tahun 1974 dimana kesemua 27 buah Pertubuhan Peladang telah ditubuhkan.



OBJEKTIF PENUBUHAN

MENGIKUT PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN PELADANG
  1. Meningkatkan taraf ekonomi dan sosial ahli
  2. Menambahkan pengetahuan dan kemahiran ahli-ahli
  3. Meningkatkan hasil dan pendapatan ahli
  4. Membaiki cara hidup ahli
  5. Mewujudkan masyarakat tani yang progresif, berdikari, makmur dan bersatu padu.

Syarat-syarat Menjadi Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)
  • Berumur 18 tahun dan ke atas
  • Warganegara Malaysia
  • Bermastautin dalam kawasan pengendalian PPK
  • Mengambil bahagian dalam pengeluaran pertanian/ternakan atau
  • Mendapat pendapatan daripada aktiviti pertanian/ternakan atau
Menguasai mana-mana daripada faktor-faktor pertanian dan ternakan

Proses Menjadi Ahli PPK MADA


Cara Memohon

Permohonan boleh dibuat melalui cara berikut;

  • Muat turun borang di URL berikut;

  • Permohonan secara atas talian (online) di URL berikut;

Saturday, March 19, 2011

Kawalan Padi Angin

Sebagai persediaan bagi menghadapi Musim 1/2011, berikut dikongsikan langkah-langkah kawalan padi angin yang dapat digunakan oleh peladang.


MADA KINI DI FACEBOOK DAN TWEETER


Seiring dengan dunia cyber tanpa sempadan MADA kini telah mempunyai akaun FACEBOOK dan TWEETER. Laman sosial ini diwujudkan adalah bertujuan untuk membolehkan orang awam khasnya pelanggan MADA dapat berhubung dengan MADA di mana - mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Anda boleh melayari laman berikut :

Akaun Facebook











"carian" Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)





Akaun Tweeter















"carian" @Mada




PENAFIAN

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda(MADA) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Friday, March 4, 2011

Menyingkap Tabir Sejarah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda

Seimbas Lalu Di Zaman Lampau
Padi telah berabad-abad lamanya ditanam di tanah dataran barat Kedah dan Perlis. Perubahan yang berlaku ke atas peredaran Bintang Ketiga, arah tiupan angin, tumbuh-tumbuhan, gelagat beberapa jenis haiwan dan sebagainya diteliti dengan penuh minat oleh penduduk desa. Semua perubahan yang berlaku ini dibahagikan kepada dua belas musim pendek yang dinamakan bulan piama. Bulan piama ini pula dijadikan panduan kepada mereka dalam mengusahakan sawah bendang serta berbagai kegiatan harian yang lain.
Pengusahaan sawah dilakukan dengan menggunakan alat-alat tradisional. Padi hanya ditanam sekali setahun. Rata-ratanya penduduk desa ini mendiami kediaman yang serba uzur dalam persekitaran yang mundur.

Perubahan Dasar
Berikutan dengan kejatuhan harga dalam pasaran timah dan getah di dalam tahun dua puluhan. Kerajaan kolonial British telah mula mengambil langkah ke arah meningkatkan pengeluaran beras tempatan. Sebelum itu, kerajaan di dalam perdagangan timah dan getah hanya membuat kerajaan Kolonial British lebih mengutamakan mengimport beras daripada memajukan perusahaan padi tempatan.

Dari Dasar Ke Perlaksanaan Projek
Dasar mengenai beras telah tertumpu terhadap pengeluaran yang dapat menampung sebahagian besar daripada keperluan Negara. Bermula dari tahun 1955 dan berlanjutan sehingga beberapa tahun selepas kemerdekaan, kecukupan beras menerusi pengeluaran tempatan telah menjadi dasar utama kerajaan.
Selaras dengan dasar kecukupan beras tersebut, kerajaan telah melancarkan beberapa projek pertanian di bawah Rancangan Malaysia Pertama (1965 – 1970), yang terbesar diantara projek-projek tersebut ialah Rancangan Pengairan Muda.
Cadangan awal Projek Pengairan Muda ini telah diutarakan oleh Jabatan Parit dan Taliair Persekutuan dalam tahun 1950an. Di antara tahun 1960 hingga 1964, firma perunding Sir William Halcrow and Partner (United Kingdom) telah diberi tugas menjalankan kajian kemungkinan terhadap pelaksanaan Projek Pengairan Muda. Laporan akhir kajian telah diserahkan kepada kerajaan dan juga kepada Bank Dunia pada awal tahun 1965.
Seawal September 1964, Kerajaan telah memohon pinjaman daripada Bank Dunia bagi membiayai sebahagian daripada kos pembinaan projek dengan sebahagian lagi ditanggung oleh kerajaan sendiri. Bank Dunia menyiapkan penilaian akhir terhadap cadangan Projek Pengairan Muda antara Februari – Mac 1965. Seterusnya pada 16 November 1965 pinjaman sebanyak US$45 juta telah diluluskan dan perjanjian ditandatangani pada hari berikutnya. Pinjaman tersebut mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1966.
Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan dalam bulan April 1966. Pada awal tahun 1970, peringkat pertama pengairan telah dimulakan di kawasan seluas kira-kira 33,600 hektar bagi tanaman luar musim. Pengairan ke kawasan-kawasan selebihnya telah dilaksanakan dalam empat peringkat yang diselesaikan dalam tahun 1974.
Dasar Kerajaan pula telah telah berubah daripada semata-mata mengeluarkan beras yang cukup kepada satu lagi dasar bagi meningkatkan pendapatan serat kesejahteraan masyarakat tani.

Konsep Rancangan Pengairan Muda
Di bawah Rancangan Pengairan Muda, satu sistem pengairan dan penyaliran disediakan di sebahagian kawasan daratan Barat Kedah dan Perlis bagi membolehkan penanaman padi diusahakan dua kali setahun. Punca-punca air yang ada adalah terdiri dari hujan yang turun terus di bendang, air yang mengalir dari sungai-sungai semulajadi dan air yang ditakung di kolam-kolam takungan Muda dan Pedu. Punca-punca air ini diintegrasikan ke dalam satu sistem bagi memenuhi keperluan untuk tanaman kedua-dua musim.
Pembinaan dua buah empangan di hulu Sungai Muda dan hulu Sungai Pedu, iaitu kira-kira 80 km ke Timur kawasan projek, telah membentuk kolam-kolam takungan Muda dan Pedu. Air dari Kolam Muda dialirkan ke Kolam Pedu melalui Terowong Saiong yang dibina dibawah tanah sepanjang kira-kira 7.2 km. Air dilepaskan dari Empangan Pedu ke Sungai Pedu dan mengalir melalui Sungai Padang Terap sehingga sampai di Alator Pelubang. Di Alator Pelubang aliran air dipecahkan kepada dua saluran, iaitu Terusan Besar Utara dan Terusan Besar Selatan. Air dari terusan ini pula akan memasuki terusan-terusan cabang dan ke taliair-taliair agihan sekunder sebelum memasuki kawasan sawah. Selain daripada itu sistem perparitan, jalan-jalan ladang, permatang-permatang pantai disamping berbagai binaan lain yang berkaitan juga telah dibina. Keseluruhan projek telah menelan belanja sebanyak kira-kira $238 juta.

Detik-detik Kelahiran MADA
Di peringkat awal pelaksanaan, Rancangan Pengairan Muda adalah sebagai projek kejuruteraan semata-mata. Tanggapan umum dikala itu ialah pembangunan yang berasaskan pertanian akan tercetus dengan sendirinya dengan adanya kemudahan-kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan. Tiada perancangan yang teliti dibuat untuk menyelaraskan secara terperinci peranan yang perlu dimainkan oleh beberapa Jabatan Parit dan Taliair serta Jabatan Pertanian.
Pada pertengahan tahun 1967, iaitu setelah kerja-kerja pembinaan berjalan selama satu setengah tahun, barulah disedari tentang ketidaklengkapan perancangan awal. Ekoran daripada itu sebuah Pejabat Pegawai Penyama Projek telah ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian pada bulan Ogos 1967 dan ditadbirkan di Kuala Lumpur. Oleh kerana pejabat ini tidak dapat berperanan dengan berkesan, pentadbiran pejabat ini telah berpindah ke Alor Star pada tahun 1969. Sungguhpun demikian, program pembangunan tidak dapat dirancang dan dilaksana dengan sempurna kerana kuasa eksekutif yang ada pada Pegawai Penyama adalah terbatas disebabkan perbezaan bidang kuasa yang wujud di antara beberapa Jabatan Negeri dan Persekutuan. Sementara itu pula, kedua-dua Kerajaan Negeri Kedah dan Negeri Perlis menghadapi kesulitan untuk menanggung perbelanjaan pembangunan serta perbelanjaan operasi dan penyenggaraan projek.
Oleh itu, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah badan berkanun bagi menggantikan Pejabat Pegawai Penyama Projek. Pada 30 Jun 1970 lahirlah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda di bawah satu dekri darurat dengan nama mula Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Muda. Perasmiannya telah dilakukan oleh Allahyarham Tun Hj. Abdul Razak Hussein selaku Pemangku Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengarah Gerakan di dalam satu upacara di Bangunan Balai Besar, Alor Star, Kedah Darul Aman.

Penubuhan MADA telah diluluskan oleh Parlimen di bawah Akta 70, Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Tahun 1972. Dibawah Akta tersebut, tugas-tugas MADA telah digariskan seperti berikut :-
  • Memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan projek pembangunan ekonomi dalam Kawasan Muda.
  • Merancang dan mengusahakan dalam Kawasan Muda apa-apa Kamajuan Pertanian mengikut sebagaimana yang diperuntukkan kepadanya oleh pihak berkuasa Negeri bagi Negeri Kedah Darulaman dan Perlis.

Dua matlamat utama dibentuk oleh MADA, yang diasaskan kepada aspek-aspek kemanusiaan dan komoditi. Matlamat-matlamat tersebut ialah:
Memajukan kesejahteraan hidup sebilangan besar penduduk desa.

Melebihkan hasil untuk keperluan Negara.

Struktur Organisasi
Peranan utama yang dimainkan oleh MADA ialah mendorong, menggerak dan menyatukan petani-petani ke dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif yang akan mencetuskan pembangunan pertanian, ekonomi dan sosial adalah satu proses yang sentiasa menubuhkan keperluan-keperluan serta peluang-peluang baru, struktur organisasi MADA telah dibentuk menggabung perkhidmatan-perkhidmatan pentadbiran, kejuruteraan, pertanian dan latihan ke dalam satu pengurusan yang fleksibel.

Perancangan yang bersepadu yang menggabung tenaga kepakaran dari dalam dan luar jabatan telah menjadi amalan utama bagi mencari kata sepakat terhadap menentukan program yang terbaik untuk dilaksana. Menerusi konsep Pembangunan Kawasan, Kawasan Muda telah dibahagikan kepada 27 lokaliti pembangunan yang pengawasannya dikendalikan menerusi pejabat-pejabat di empat daerah MADA. Di setiap lokaliti pula didirikan kompleks geraktani yang juga menjadi pusat gerakan pertubuhan peladang kawasan.

Friday, February 25, 2011

SEMINAR USAHAWAN TANI MADA

Seminar Usahawan Tani MADA telah diadakan pada 20 Februari 2011 (Ahad) bertempat di dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Objektif seminar ini adalah mempertingkatkan daya saing usahawan bagi melahirkan usahawan Berjaya serta membuka minda para peserta agar lebih bersedia dan komited terhadap cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam usaha untuk menjadi usahawan yang berjaya. Secara tidak langsung turut memberi dorongan/motivasi kepada peserta untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam memajukan perniagaan mereka masing-masing. Seminar ini telah dihadiri oleh 270 orang yang terdiri daripada golongan usahawan dan pegawai pembimbing MADA.
Antara slot yang dimuatkan adalah taklimat adalah :
      
   1. Strategi Pemasaran Produk-Produk Usahawan oleh Prof Madya Dr.   
        Mohd Sobry  Minai, UUM

   2.  Zakat Mengikut Perspektif Perniagaan oleh En. Mohd Sani bin Harun,
         Jabatan Zakat Negeri Kedah

        3.  Pengurusan Perniagaan Secara Berkesan oleh Dato’ Zubir b. Hj.
              Zabidi, Zuza Food Industries
         
        4.  Bicara petang bersama Usahawan Berjaya oleh Yg. Bhg. Datuk Dr.
              Maznah bt. Hamid






Seminar ini juga turut menyelitkan klinik usahawan bagi membantu usahawan menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka. Antara agensi yang terlibat didalam klinik ini adalah kaunter Pegawai pembimbing MADA, Tekun, Agrobank, Jabatan Zakat, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Manakala, gerai jualan produk-produk IAT disertai oleh PPK A-I, C-I, E-I, H-II, A-III, C-III dan F-IV serta Gerai jualan buku motivasi Datuk Dr. Maznah bt Hamid.

Kesimpulannya, seminar ini dapat membantu melahirkan Masyarakat Bumiputera dalam bidang Industri Asas Tani dan Asas Tani. Seterusnya, merealisasikan hasrat kerajaan menambah bilangan usahawan Bumiputera yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Sunday, February 20, 2011

MAJLIS PENYERAHAN JENTERA MENANAM DAN DULANG SEMAIAN PADI NCIA KEPADA MADA


Bertempat di Konkos, Ibu Pejabat MADA telah berlangsung Majlis Penyerahan Jentera Menanam dan Dulang Semaian oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada PPK-PPK di dalam Kawasan Muda. Majlis yang disaksikan oleh YB Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani ini dihadiri hampir 500 orang peladang-peladang MADA dan anggota MADA. Turut hadir bersama ke majlis ini ialah Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq dan Pengurus Besar MADA, Dato’ Haji Abdul Rahim Saleh.

Majlis ini yang diadakan oleh pihak NCIA ini merupakan satu usaha murni dan keprihatinan pihak NCIA dalam membantu PPK-PPK MADA memulakan Projek Penanaman Padi Menggunakan Jentera. Sebanyak 20 buah unit jentera menanam dan 50,000 unit dulang semaian bernilai lebih daripada RM1 juta diserahkan kepada PPK yang terlibat. PPK Tambun Tulang menerima 4 buah jentera manakala PPK Tunjang dan PPK Bukit Besar masing-masing menerima 8 buah jentera. Bagi dulang semaian pula, PPK yang menerima dulang semaian adalah PPK Tunjang, PPK Kayang dan PPK Tambun Tulang. Pemberian Mesin Yanmar VP6X yang berharga RM41,750 setiap unit itu dijangka dapat membantu meningkatkan hasil padi sebanyak 10% bagi setiap hektar.
Melalui Projek Penanaman Padi Menggunakan Jentera ini, penggunaan teknologi penanaman padi menggunakan jentera dapat diperluaskan di Kawasan Muda. Secara rasionalnya, teknologi tersebut dapat membantu mengurangkan infestasi padi angin dan rumpai serta serangan siput gondang emas seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil  serta kualiti padi.

Friday, February 11, 2011

Laman Rasmi Blog Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)

Selamat Datang ke Laman Rasmi Blog Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).


Laman ini berperanan sebagai media alternatif kepada semua pelanggan MADA dan orang awam di dalam menyampaikan maklumat berkaitan MADA. Semua pengunjung adalah dialu-alaukan untuk mengemukakan komen dan berkongsi pendapat dengan MADA di dalam semua topik yang dipaparkan di laman ini.


Walaubagaimana pun adalah dipohon agar semua pengunjung tidak pengenalan anonymous. Pengunjung adalah disarankan untuk menggunakan nama sebenar atau nama samaran yang bersesuaian.Elakkan juga perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, atau fitnah. Semoga capaian anda ke blog ini dapat memberikan info yang bermanfaat kepada anda..


Terima kasih atas kunjungan ada ke laman ini.