Sunday, April 12, 2015

Agrobazaar Rakyat 1Malaysia Beri Keuntungan Kepada Semua

Penubuhan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia dijangka dapat memberi keuntungan kepada semua pihak dengan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dan membantu golongan sasar memperluaskan pemasaran produk pertanian mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato` Sri Ismail Sabri Yaakob berkata antara golongan yang akan mengaut keuntungan adalah petani, penternak dan nelayan serta pengguna-pengguna di Negara ini.

Katanya, golongan petani, penternak dan nelayan boleh memasarkan hasil pertanian secara terus kepada pembeli tanpa perlu melalui orang tengah lagi manakala pengguna pula dapat membeli barangan dengan harga yang berpatutan.

Tambah beliau, harga barangan di kampung dan pinggir bandar biasanya lebih mahal dari bandar disebabkan faktor logistik tetapi dengan adanya Agrobazaar Rakyat 1Malaysia ini pengguna dapat membeli barang dengan harga 5 – 20 % lebih murah berbanding pasar biasa.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 6 April 2015 di Wisma Tani, Putrajaya.

Dato` Sri Ismail Sabri berkata Kementerian akan memastikan produk-produk bumiputera berkualiti akan dipasarkan dalam Agrobazaar tersebut.

Beliau berharap semua kakitangan jabatan dan agensi di bawah Kementerian bergerak dengan lebih pantas sekiranya mahu terus maju dalam Kemneterian.

Agrobazaar Rakyat 1Malaysia merupakan ilham daripada Dato` Sri Ismail Sabri yang memberi fokus dalam menjual produk-produk segar di mana sebanyak 40% jualan segar atau basah secara terus dari ladang dan sebanyak 60% jualan produk-produk kering dari bumiputera ataupun usahawan-usahawan tempatan.

Agrobazaar Rakyat 1Malaysia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2015 di Indera Mahkota, Kuantan Pahang.

Hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Syed Zainuddin Syed Zain.




No comments:

Post a Comment