Wednesday, May 27, 2015

2,000 pengunjung banjiri Hari Keluarga MADA 2015

Seramai 2,000 pengunjung telah membanjiri Ibu Pejabat MADA pada 23 Mei 2015 sempena Hari Keluarga MADA 2015 yang diterajui oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia MADA.

Anggota-anggota MADA berserta ahli keluarga telah mula membanjiri perkarangan ibu pejabat MADA seawal jam 8.00 pagi dengan menyertai senamanrobik keluarga dan kemudiannya menyertai acara perasmian yang disempurnakan oleh Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, dan ianya sebagai tanda bermulanya aktiviti-aktiviti yang telah disediakan di sepanjang program Hari Keluarga MADA 2015 ini.

Tuan Haji Md Zuki dalam ucapannya berkata dengan ada Hari Keluarga MADA 2015 ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan kemesraan di kalangan warga kerja MADA berserta keluarga masing-masing melalui aktiviti-aktiviti yang telah disediakan selaras dengan tagline program ini ‘MADA Penyatu Institusi Keluarga’.

Antara aktiviti-aktiviti pelbagai kategori yang disediakan sepanjang program Hari Keluarga MADA 2015 berlangsung adalah pertandingan mewarna, musang berjanggut, MADA Chef Junior, sukaneka kanak-kanak dan stylista couple fashion show.

Bagi kategori riadah pula acara yang disediakan adalah boat riding, kereta kuda, bouncing car, buih besar, yang disediakan kepada pengunjung secara percuma.

Bagi Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz pula berkata, program Hari Keluarga MADA 2015 memberi makna yang cukup mendalam kepada semua anggota MADA kerana selain mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain ia juga dapat menyuntik semangat kekitaan, kebersamaan dan juga berbangga dalam berkhidmat di MADA.

Katanya, sebagai anggota MADA hendaklah bersama-sama memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan dan memberi perkhidmatan sebaik mungkin dalam membantu peladang di Kawasan Muda meningkatkan pendapatan dan hasil padi.

Beliau berkata demikian dalam majlis penutup Hari Keluarga MADA 2015 sebelum menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan juga hadiah-hadiah kepada pemenang setiap kategori yang dipertandingkan.




Monday, May 18, 2015

Konvensyen Peladang MADA Perkasakan Peranan Pertubuhan Peladang Kawasan

Konvensyen Peladang MADA yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berperanan dalam memperkasakan pertubuhan peladang kawasan (PPK) masing-masing khususnya di kawasan Muda menjelang tahun 2020.

Objektif konvensyen tersebut diadakan adalah bertujuan bagi mentransformasikan sikap dan minda di kalangan Pemimpin Peladang MADA supaya sentiasa berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa selain meningkatkan komitmen Pemimpin Peladang MADA dalam pergerakan PPK selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (Tahun 2011 – 2020) melalui pelaksanaan Pelan Korporat PPK MADA serta membentuk jaringan kerjasama yang bersepadu di kalangan Pemimpin Peladang MADA dalam usaha membangunkan sosioekonomi peladang di Kawasan Muda.

Majlis Perasmian Konvensyen Peladang tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 13 Mei 2015 di Grand Alora, Alor Setar dan dihadiri seramai 1,125 peladang-peladang dalam kawasan Muda.

Beliau juga turut melancarkan Pelan Korporat MADA 2015-2020 yang diterbitkan dengan mempunyai lapan strategik iaitu peningkatan produktiviti sektor padi, peningkatan produktiviti sektor industri asas tani dan bukan padi, pemantapan pengurusan organisasi PPK MADA, pemantapan pengurusan pernigaan dan perkhidmatan PPK MADA dan pemantapan pengurusan dan kawalan kewangan PPK MADA.

Dalam majlis itu juga, Dato` Sri Ismail Sabri turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Projek Kerjasama Peningkatan Hasil Padi Antara MADA dan Bayer Crop Science dan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) bagi Projek Pengkomersilan Bayer Seed Growth Antara MADAcorp dan Bayer Crop Science.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut adalah Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp, Encik Shakir Jamil bin Fisal dan Pengarah-pengarah Bahagian MADA.

MADACorp Kembali Mencatat Keuntungan Sebanyak RM1.8 juta Bagi Tahun 2014

Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd atau kini dikenali sebagai MADACORP telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 bersama para pemegang saham bagi melaporkan kewangan beraudit tahun 2014 dan pencapaian syarikat.

Syarikat yang ditubuhkan pada 28 Jun 1975 ini bertujuan menjaga kepentingan peladang MADA di dalam sektor perniagaan. Pemegang saham adalah terdiri dari 27 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

MADACORP telah mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.79 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding kerugian sebanyak RM2.48 juta untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya (2013).

Pencapaian mencatat keuntungan dikira memberangsangkan disebalik penurunan perolehan sebanyak RM0.54 juta berdasarkan perolehan sebanyak RM31.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dibandingkan dengan perolehan sebanyak RM31.7 juta pada tahun sebelumnya (2013).

Perolehan disumbangkan melalui lima aktiviti utama syarikat iaitu pengeluaran dan pembekalan benih padi sah, pemasaran input pertanian, pembekalan jentera ladang, kontraktor pembinaan dan perniagaan bakeri serta produk kuih tradisional.

MADACORP telah menunjukkan prestasi kewangan baik dan pemulihan dana pemegang saham hasil dari Pelan Transformasi syarikat yang dilaksanakan pada awal tahun 2014. MADACORP telah merangka seterusnya melaksanakan Pelan Transformasi selama tiga tahun merangkumi tiga fasa utama iaitu konsolidasi, perkembangan dan pertumbuhan.

Hasil dari tahun pertama Pelan Transformasi menyaksikan MADACORP telah berjaya mencatat keuntungan dan mengubahalih dana pemegang saham MADACORP dari negatif RM6.04 juta kepada positif RM5.35 juta.

Oleh itu, pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 ini, pihak MADACORP telah mencadangkan pembayaran dividen sebanyak 3.5% dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM252,772.33 dibayar kepada semua pemegang saham.

Penghargaan juga harus diberikan kepada kakitangan yang telah bekerja keras untuk tempoh 12 bulan lalu dan menghasilkan keputusan kewangan memberangsangkan yang telah dicatatkan ini.

Manakala bagi prospek tahun 2015, MADACORP menjangkakan peningkatan perolehan sekali ganda iaitu pada nilai RM61.2 juta dengan keuntungan bersih sebanyak RM3.80 juta. Prospek peningkatan perolehan ini bersandarkan kepada peningkatan kuota pengeluaran benih padi sah MADACORP di bawah Program Benih Padi Sah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) sebanyak 67% iaitu dari 8,000MT setahun kepada 13,352MT setahun bagi tahun 2015 sehingga 2016.

MADACORP juga telah dilantik sebagai pembekal racun di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi bermula tahun 2015. Selain itu, MADACORP juga telah disenarai akhir sebagai salah satu syarikat yang akan melaksanakan projek pembangunan sistem pengairan tersier di bawah program NKEA (Pertanian) EPP10 di kawasan MADA.

MADACORP juga berbesar hati mengumumkan bahawa mereka telah menukar logo dan menjenamakan syarikat kami dari “SPPM” kepada “MADACORP”. Identiti baru syarikat adalah salah satu proses transformasi bagi menunjukkan kematangan, fungsi dan kepelbagaian syarikat. Tahun 2015 juga merupakan tahun ulangtahun penubuhan MADACORP ke-40.

Perancangan rapi yang di atur menunjukkan bahawa MADACORP sedang berada di landasan terbaik untuk merealisasikan Pelan Transformasi seterusnya mengembalikan kepercayaan para pemegang saham iaitu PPK yang mewakili peladang di kawasan MADA dan menyahut seruan kerajaan dan bersama-sama meningkatkan pendapatan peladang melalui jalinan kerjasama erat semua pihak yang berkepentingan di dalam industri padi negara.

Enam Strategi Utama Dalam Tingkat Hasil Padi

Terdapat enam strategi utama dalam meningkatkan hasil padi dan juga pendapatan peladang melalui kempen pengembangan MADA.

Pengurus Wilayah IV MADA, Tuan Haji Zainuddin bin Mat Zakaria berkata enam strategi tersebut adalah mematuhi jadual tanaman padi, menggunakan benih padi sah, mengaplikasikan kupon racun, kualiti hasil padi dijaga, sistem penyampaian yang berkesan oleh pegawai-pegawai MADA kepada peladang dan penubuhan estet padi melalui NKEA.

Kata beliau sekiranya peladang dan juga pihak MADA mengamalkan kesemua strategi tersebut, hasil padi dan juga hasil pendapatan peladang dapat ditingkatkan.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanngan dan Kempen Pengembangan PPK 2015 di perkarangan PPK C-IV Kangkong MADA pada 22 April 2015.

Tambah beliau tujuan majlis tersebut diadakan bertujuan bagi menarik peladang-peladang di kawasan Muda menambah ilmu pengetahuan dalam pertanian khususnya padi selain beramah mesra dengan pegawai-pegawai MADA dalam membincangkan masalah tanaman padi yang dihadapi.

Katanya, pelbagai pameran disediakan oleh syarikat racun dan baja yang berdaftar dalam program tersebut bagi menjelaskan penggunaan racun yang betul dan tepat kepada peladang.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peladang-peladang muda yang mendapat tempat kedua dalam Liga Bola Sepak Wilayah IV dan juga sijil kepada ahli-ahli NKEA.

Lawatan Exco Pertanian dan Exco Sumber Air Negeri serta Adun Pedu ke Projek Pemuliharaan Menyeluruh Empangan Pedu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, YB Dato` Suraya bin Yaacob dan Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air dan Sumber Air Negeri Kedah, YB Dato` Badrul Hisham bin Hashim serta Ahli Dewan Undangan Pedu, YB Puan Kama Noriah bin Ibrahim telah melakukan lawatan ke Projek Pemuliharaan Menyeluruh Empangan Pedu pada 3 April 2015.

Tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk meninjau dan mengetahui status projek pemuliharaan empangan tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini.

Dato` Suraya dalam sidang media berkata Empangan Pedu sering mengalami masalah komponen mekanikal sebelum ini sehingga kadangkala menyebabkan proses penyaluran air ke kawasan sawah padi tidak menepati jadual bekalan air yang telah ditetapkan.

Katanya, dengan pemulihan Empangan Pedu yang bernilai RM 60 juta tersebut bukan sahaja menyalurkan bekalan air kepada kawasan Muda yang sedia ada malah ia juga akan menyalurkan air di kawasan tambahan sawah padi di pinggir MADA sebanyak 4,127 hektar.

Tambah beliau, kerja-kerja pemuliharaan tersebut dilakukan oleh syarikat tempatan dengan menggunakan kepakaran dari Australia bagi menjamin sepanjang kerja pemuliharaan Empangan Pedu tidak akan menggangu jadual pelepasan air oleh MADA bagi musim 1/2015 yang dijadualkan bermula pada 5 April.

Katanya lagi, teknologi yang diaplikasikan dalam pemuliharaan Empangan Pedu merupakan kali pertama di Malaysia dan juga di Asia Tenggara.
YB Dato` Suraya, YB Dato` Badrul Hisham dan YB Puan Kama Noriah telah mendapat taklimat sepenuhnya dari Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip, Pengarah Bahagaian Empangan dan Sumber Air MADA, Tuan Haji Aznan bin Ismail dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran MADA, Tuan Haji Nasiruddin bin Abdullah mengenai projek pemuliharaan empangan Pedu.

Turut mengiringi ahli-ahli yang berhormat sepanjang lawatan ini adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.