Sunday, February 20, 2011

MAJLIS PENYERAHAN JENTERA MENANAM DAN DULANG SEMAIAN PADI NCIA KEPADA MADA


Bertempat di Konkos, Ibu Pejabat MADA telah berlangsung Majlis Penyerahan Jentera Menanam dan Dulang Semaian oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada PPK-PPK di dalam Kawasan Muda. Majlis yang disaksikan oleh YB Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani ini dihadiri hampir 500 orang peladang-peladang MADA dan anggota MADA. Turut hadir bersama ke majlis ini ialah Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq dan Pengurus Besar MADA, Dato’ Haji Abdul Rahim Saleh.

Majlis ini yang diadakan oleh pihak NCIA ini merupakan satu usaha murni dan keprihatinan pihak NCIA dalam membantu PPK-PPK MADA memulakan Projek Penanaman Padi Menggunakan Jentera. Sebanyak 20 buah unit jentera menanam dan 50,000 unit dulang semaian bernilai lebih daripada RM1 juta diserahkan kepada PPK yang terlibat. PPK Tambun Tulang menerima 4 buah jentera manakala PPK Tunjang dan PPK Bukit Besar masing-masing menerima 8 buah jentera. Bagi dulang semaian pula, PPK yang menerima dulang semaian adalah PPK Tunjang, PPK Kayang dan PPK Tambun Tulang. Pemberian Mesin Yanmar VP6X yang berharga RM41,750 setiap unit itu dijangka dapat membantu meningkatkan hasil padi sebanyak 10% bagi setiap hektar.
Melalui Projek Penanaman Padi Menggunakan Jentera ini, penggunaan teknologi penanaman padi menggunakan jentera dapat diperluaskan di Kawasan Muda. Secara rasionalnya, teknologi tersebut dapat membantu mengurangkan infestasi padi angin dan rumpai serta serangan siput gondang emas seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil  serta kualiti padi.

No comments:

Post a Comment