Monday, March 16, 2015

Kempen Penggunaan Benih Padi Sah bantu tingkat hasil padi

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen mengenai penggunaan benih padi sah.

Pengerusi MADA, Dato' Othman bin Haji Aziz berkata kempen tersebut dilancarkan bertujuan bagi memberi penjelasan berkenaan maklumat penggunaan benih padi sah selain rawatan padi dan varieti padi kepada semua peladang-peladang MADA bagi membantu meningkatkan hasil padi.

Katanya, dianggarkan sebanyak 50% benih tidak sah telah digunakan oleh peladang MADA pada musim 2/2014 dan ia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan MADA menghadapi penurunan hasil tuaian padi sebanyak hampir 20%.

Tambah beliau, 48% dalam kawasan MADA tidak mengikut jadual tanaman padi sehingga menyumbangkan serangan penyakit padi yang serius pada
musim 2/2014.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Kempen Pengembangan Penggunaan Benih Padi Sah di perkarangan PPK E-II Kubang Sepat pada 13 Mac 2015.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada semua-semua peladang MADA digalakkan mendapat sumber benih padi dari pembekal yang sah sekiranya mahu hasil tuaian padi lebih banyak dari musim yang lalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar ( Teknikal) MADA, Ir Hor Tek Lip, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Syed Zainuddin bin Syed Zain dan Pengarah Bahagian Pengurusan Wilayah, Tuan Haji Mustaffa bin Murat.

No comments:

Post a Comment