Monday, March 16, 2015

Pegawai Pengembangan PenggerakTransformasi Utama Kepada Peladang-Peladang MADA

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melalui kerjasama Bahagian Industri Padi,Cawangan Pengurusan Sumber Manusia dan Seksyen Latihan telah menganjurkan Kursus Pengenalan Pengembangan bagi pegawai-pegawai MADA.

Kursus tersebut diadakan bertujuan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengembangan kepada pegawai-pegawai pertanian dan teknikal di dalam organisasi MADA.

Semasa merasmikan kursus ini, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata kursus pengembangan merupakan salah satu inisiatif MADA dalam memastikan setiap pegawai yang terlibat akan berupaya menjadi saluran perhubungan utama kepada peladang-peladang MADA.

Katanya, setiap pegawai pengembangan akan terus berhubung dengan peladang-peladang MADA dalam menyampaikan maklumat dengan berkesan kepada peladang-peladang untuk meningkatkan hasil padi dan meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

Tambah beliau, selain itu ia juga dapat membantu sebahagian peladang-peladang di Kawasan Muda keluar dari kepompong miskin tegar.

Sementara itu, semasa menutup kursus ini, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail berkata seorang pegawai pengembangan perlulah mempunyai ciri-ciri seperti mempunyai pengetahuan yang meluas, mempunyai ciri kepimpinan dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang yang dikerjakan.

Beliau berkata kursus pengembangan tersebut merupakan salah satu inisiatif MADA dalam menambahbaik kaedah bagi membantu dan juga beliau berharap dengan adanya kursus pengembangan tersebut setiap pegawai dapat memanfaatkan setiap ilmu yang diterima dan juga dapat digunapakai ketika bertemu dengan peladang-peladang di Kawasan Muda.




No comments:

Post a Comment