Saturday, September 7, 2013
MADA Sertai Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke 56 Negeri Kedah
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyertai perbarisan kawad sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke 56 Negeri Kedah pada 31 Ogos 2013 di Perkarangan Pekan Rabu.
Seramai 30 pegawai MADA menyertai perbarisan ini dan diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar MADA (Bahagian Pengurusan Teknikal) Encik IR Hor Tek Lip.
Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke 56 Negeri Kedah ini dirasmikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman, Dato` Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almahrum Sultan Badlishah dan turut hadir bersama adalah Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar, Dato` Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu`adzam Shah, Menteri Besar Kedah, Dato` Paduka Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Exco-exco Negeri Kedah Darul Aman.
Program Jelajah Badan Bukan Kerajaan Seni Budaya Berkampung di Jeruju
Program Jelajah Badan Bukan Kerajaan Seni Budaya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah diadakan selama empat hari bermula pada 23 Ogos dan berakhir pada 27 Ogos 2013 di Homestay MADA Kampung Jeruju, Jerlun.
Seramai 100 orang peserta dengan 70 buah motosikal berkuasa tinggi dari negeri-negeri Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah sendiri telah berkonvoi ke Homestay MADA Kampung Jeruju yang dipilih sebagai pusat aktiviti dan penginapan di sepanjang program ini berlangsung.
Pelbagai aktiviti dijalankan dalam program tersebut seperti mengedarkan bendera jalur gemilang kepada penduduk setempat, aktiviti kemasyarakatan dan persembahan kebudayaan dari tiga buah negeri Pantai Timur dan Kedah kepada pengunjung dan penduduk tempatan di Parlimen Jerlun.
Majlis penutupan program ini disempurnakan oleh Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan & Warisan, dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah, Y.B. Aminuddin bin Omar pada sebelah malam 25 Ogos 2013.
Di awal pagi 26 Ogos para peserta dengan hati yang berat telah meninggalkan Homestay MADA Kampong Jeruju setelah tiga malam berkampong di rumah-rumah penduduk kampung dan berpeluang menikmati kehidupan kampung sebenar di Homestay MADA Kampung Jeruju.
Majlis Ramah Mesra bersama Pengerusi MPPP, Pemimpin Peladang dan Nelayan
Majlis Ramah Mesra bersama Pengerusi MPPP, Pemimpin Peladang dan Nelayan telah diadakan di Darulaman Golf Country Club pada 23 Ogos 2013.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata, tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menjelaskan tentang perkhidmatan atau fungsi kementerian kepada pemimpin peladang, dan nelayan yang hadir.
Dalam majlis tersebut, beliau berkata, kementerian pertanian dan industri asas tani merupakan salah satu kementerian yang terpenting di dalam negara, dimana membekalkan makanan kepada penduduk Malaysia.
Oleh yang demikian, pihak kementerian sentiasa memastikan bekalan makanan yang cukup kepada penduduk serta dapat mengeksport bekalan ke luar negara disamping akan memastikan pendapatan petani, penternak dan nelayan dapat di tingkatkan.
Tambah beliau, ia merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian dalam usaha menjamin keselesaan penduduk serta petani, penternak dan nelayan.
Selain itu, beberapa fokus sedang dibuat antaranya ialah meningkatkan pengeluaran, memberi fokus dalam pemasaran bekalan atau produk dan menambah perbelanjaan dalam promosi kepada agensi yang terlibat.
Tambah beliau, kementerian turut memberi fokus kepada penanaman padi dalam tenologi Padi Aerob, permasalahan nelayan dan orang tengah, penambahan pasar tani di seluruh negara, modal kepada petani untuk menanam semula buah-buahan dan menubuhkan Majlis Perundingan Usahawan Agro (MPUA) kepada generasi muda.
Di akhir majlis tersebut, beliau menyampaikan peruntukan sebanyak RM 80 ribu kepada semua Pengerusi MPPP yang mewakili parlimen di negeri Kedah.
Padi Aerob Jimat Penggunaan Air, Tingkat Pengeluaran Padi
Penanaman Padi Aerob merupakan satu teknologi pengeluaran padi inovatif yang didapati mampu menjimatkan penggunaan air sehingga 50% atau lebih berbanding penggunaan air untuk tanaman padi sawah bergantung kepada jenis tanah, taburan hujan dan pengurusan air.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata, penanaman Padi Aerob ini bertujuan supaya negara tidak bergantung kepada pengeluaran padi sawah yang memerlukan sistem pengairan.
Tambah beliau, dengan adanya penanaman Padi Aerob ini dijangka dapat meningkatkan pengeluaran hasil padi negara serta dapat membantu pesawah yang sering menghadapi masalah kekurangan air.
Beliau berkata, jenis padi tanaman Aerob ini telah ditanam di Brazil dan China dan Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang menanam padi dengan cara tersebut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Teknologi Pengeluaran Padi Aerob dan Perasmian Hari Bersama Pelanggan di MARDI Seberang Perai pada 22 Ogos 2013.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Exco Bayangan Pertanian Pulau Pinang, Yusof bin Mohd Noor dan Pengerusi Pengelola MARDI, Mohd Fadil bin Osman.
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MOA 2013
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah diadakan pada 20 Ogos 2013 di Dewan D, Maeps, Serdang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Tujuan majlis ini diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada warga kementerian atas sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas rasmi disamping penglibatan aktif di dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.
"Pegawai yang layak dipertimbangkan pemberian APC adalah dengan memperolehi markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85% dan keatas dan bebas dari tindakan tatatertib dalam tahun penilaian" kata beliau dlm majlis tersebut.
Pegawai yang menerima anugerah ini akan membawa pulang sijil perkhidmatan cemerlang, Sijil Simpanan Premium bernilai rm1000, peluang mengikuti program latihan bagi meningkatkan tahap konpetensi masing-masing dan peluang dalam pencalonan untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Persekutuan atau Negeri.
Majlis APC ini diadakan secara berperingkat dan pegawai-pegawai MADA akan menerima anugerah cemerlang peringkat kedua pada 19 September 2013 di Dewan D, Maeps, Serdang.
15 ribu pengunjung rai Jamuan Raya Moa 2013
Seramai 15 ribu pengunjung membanjiri Majlis Jamuan Raya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 21 Ogos 2013 di Dewan D, Maeps, UPM, Serdang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata jamuan tahun ini memberi sambutan yang luar biasa dari tahun sebelumnya.
Sebanyak 10 agensi dan jabatan di bawah kementerian mengambil bahagian dalam majlis jamuan kementerian pada tahun ini dengan menyediakan pelbagai juadah kepada pengunjung seperti kambing panggang, cendol, sate, nasi dagang, kebab, kuih-muih dan banyak lagi.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut mengambil bahagian dalam menyediakan hidangan Laksa Kedah, Laksa Perlis dan Mee Kari dan merupakan jabatan yang paling ramai dikunjungi tetamu untuk menikmati hidangan yang disediakan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Dato` Sri Mohamad Najib bin Tun Razak serta tetamu kehormat yang lain.
Subscribe to:
Posts (Atom)









.jpg)






















