Sunday, March 22, 2015

Program Pemulihan Tanah Jerlus Bantu Peladang MADA Mempertingkatkan Hasil Padi

Program Pemulihan Tanah Jerlus di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah membantu seramai 490 peladang-peladang MADA di Wilayah I dan Wilayah II yang akan memulakan proses penanaman padi pada hujung bulan ini atau Musim 1/2015.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata bagi Wilayah 1 (Kangar) dan Wilayah II (Jitra), membabitkan 13 peladang di PPK C-I, 270 peladang di PPK G-II dan 207 orang di PPK H-II.

Katanya, pada tahun 2013, MADA telah mengenalpasti seluas 8107 hektar kawasan sawah menghadapi masalah tanah jerlus, dengan seluas 2,853 hektar memerlukan tindakan pemulihan dan 5,254 hektar lagi berisiko akan mengalami fenomena tanah jerlus sekiranya tindakan pemulihan tidak diambil.
Tambah beliau, selama dua musim penanaman padi di dalam kawasan MADA dibatalkan bagi membolehkan kerja pemulihan tanah jerlus dijalankan dimana melibatkan empat wilayah iaitu Kangar, Jitra, Pendang dan Kota Sarang Semut dengan penglibatan seramai 668 peladang.

Katanya lagi, walaupun peladang tidak dapat mengusahakan sawah bagi dua musim tersebut akan tetapi peladang yang terlibat telah dibayar wang ihsan oleh kerajaan dengan kadar RM 2,645.50 sehektar.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Semula Kawasan Pembatalan Dua Musim Penanaman Padi Program Pemulihan Tanah Jerlus di Kawasan Muda pada 22 Mac 2015 di Perkarangan Masjid, Kampung Naga, Kepala Batas.

Dato` Othman berkata dengan adanya program pemulihan tanah jerlus ini, purata hasil padi bagi kawasan yang dipulihkan dapat ditingkatkan sebanyak 32 peratus berdasarkan maklumat data daripada musim 1/2013 sehingga musim 1/2014.

Di akhir ucapan, beliau memberi nasihat kepada peladang-peladang yang hadir mempunyai perasaan cemburu kepada tanah iaitu menjaga tanah sedia ada dengan sebaik mungkin daripada perkara-perkara yang merosakkan tanah.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar(Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip serta Pengarah-pengarah bahagian MADA.

Monday, March 16, 2015

Kempen Penggunaan Benih Padi Sah bantu tingkat hasil padi

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen mengenai penggunaan benih padi sah.

Pengerusi MADA, Dato' Othman bin Haji Aziz berkata kempen tersebut dilancarkan bertujuan bagi memberi penjelasan berkenaan maklumat penggunaan benih padi sah selain rawatan padi dan varieti padi kepada semua peladang-peladang MADA bagi membantu meningkatkan hasil padi.

Katanya, dianggarkan sebanyak 50% benih tidak sah telah digunakan oleh peladang MADA pada musim 2/2014 dan ia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan MADA menghadapi penurunan hasil tuaian padi sebanyak hampir 20%.

Tambah beliau, 48% dalam kawasan MADA tidak mengikut jadual tanaman padi sehingga menyumbangkan serangan penyakit padi yang serius pada
musim 2/2014.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Kempen Pengembangan Penggunaan Benih Padi Sah di perkarangan PPK E-II Kubang Sepat pada 13 Mac 2015.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada semua-semua peladang MADA digalakkan mendapat sumber benih padi dari pembekal yang sah sekiranya mahu hasil tuaian padi lebih banyak dari musim yang lalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar ( Teknikal) MADA, Ir Hor Tek Lip, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Syed Zainuddin bin Syed Zain dan Pengarah Bahagian Pengurusan Wilayah, Tuan Haji Mustaffa bin Murat.

Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Bagi Musim 1/2015

Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Bagi Musim 1/2015 telah diadakan padan 5 Mac 2015 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Tujuan mesyuarat tersebut diadakan bertujuan bagi menyampaikan maklumat mengenai prestasi penanaman padi musim 2/2014, menetapkan Jadual Penanaman Padi bagi Musim 1/2015 dan juga memperolehi maklumbalas daripada pemimpin-pemimpin peladang mengenai sistem penyampaian perkhidmatan MADA.

Pegawai Pengembangan PenggerakTransformasi Utama Kepada Peladang-Peladang MADA

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melalui kerjasama Bahagian Industri Padi,Cawangan Pengurusan Sumber Manusia dan Seksyen Latihan telah menganjurkan Kursus Pengenalan Pengembangan bagi pegawai-pegawai MADA.

Kursus tersebut diadakan bertujuan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengembangan kepada pegawai-pegawai pertanian dan teknikal di dalam organisasi MADA.

Semasa merasmikan kursus ini, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata kursus pengembangan merupakan salah satu inisiatif MADA dalam memastikan setiap pegawai yang terlibat akan berupaya menjadi saluran perhubungan utama kepada peladang-peladang MADA.

Katanya, setiap pegawai pengembangan akan terus berhubung dengan peladang-peladang MADA dalam menyampaikan maklumat dengan berkesan kepada peladang-peladang untuk meningkatkan hasil padi dan meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

Tambah beliau, selain itu ia juga dapat membantu sebahagian peladang-peladang di Kawasan Muda keluar dari kepompong miskin tegar.

Sementara itu, semasa menutup kursus ini, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail berkata seorang pegawai pengembangan perlulah mempunyai ciri-ciri seperti mempunyai pengetahuan yang meluas, mempunyai ciri kepimpinan dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang yang dikerjakan.

Beliau berkata kursus pengembangan tersebut merupakan salah satu inisiatif MADA dalam menambahbaik kaedah bagi membantu dan juga beliau berharap dengan adanya kursus pengembangan tersebut setiap pegawai dapat memanfaatkan setiap ilmu yang diterima dan juga dapat digunapakai ketika bertemu dengan peladang-peladang di Kawasan Muda.




Peranan Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan Penting dalam Memerangi Orang Tengah

Peranan pertubuhan peladang dan persatuan nelayan adalah penting dalam memerangi orang tengah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata dalam memastikan peranan pertubuhan peladang dan persatuan nelayan diperkasakan, pegawai-pegawai jabatan dan agensi di bawah Kementerian harus memberi penerangan secara terperinci dan jelas mengenai dasar-dasar dan program Kementerian agar golongan tersebut bersama-sama meninggikan lagi martabat golongan sasar.

Katanya, jihad perangi orang tengah bukanlah semata-mata dalam skop jual beli sahaja tetapi hendaklah menindas peranan orang tengah dari peringkat mula sebaliknya golongan sasar dan juga pertubuhan peladang kawasan perlu menguasai keseluruhan rantaian nilai.

Beliau berkata, hasil pengeluaran hanya akan kekal sebanyak 20% sekiranya golongan sasar mahupun pertubuhan peladang masih tidak menguasai keseluruhan rantaian nilai.

Oleh yang demikian, semua pihak terutamanya pertubuhan peladang dan persatuan nelayan perlu memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kesedaran kepada petani dan nelayan dan seterusnya membuktikan kepada golongan orang tengah bahawa golongan sasar mampu berdiri sendiri tanpa perlu bantuan dari mereka.

Beliau berkata demikian kepada lebih seribu pemimpin-pemimpin peladang dalam Program Bersama YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2 Mac 2015 di Bukit Gambang Resort, Kuantan, Pahang.

Dato` Sri Ismail Sabri berkata Kementerian terus memberi keistimewaan kepada golongan sasar dimana memberi peluang kepada golongan tersebut meluaskan pasaran dalam produk-produk penternak, peladang dan nelayan ke pasar tani seterusnya produk-produk tersebut mendapat tempat dan tidak perlu lagi bersaing dengan orang tengah atau pemborong.


Beliau juga telah mengumumkan dengan menaiktaraf kedai-kedai yang dimiliki oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian dimana kedai-kedai tersebut menjual produk-produk pertanian dan bumiputera.

Dalam pada itu, beliau juga meminta pesawah mengubah cara penanaman padi dan seterusnya dapat meningkatkan pemutuan padi bagi mengelakkan potongan pemutuan padi sebenar yang banyak.

Hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato` Haji Zainal bin Dahlan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Tuan Haji Azini bin Mohd Shahid dan Pengarah Pengurusan Wilayah MADA, Tuan Haji Mustafa bin Murat yang mewakili Pengurus Besar MADA.


MADA Bersedia Menghadapi Fenomena Ekuinoks

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah bersedia untuk menghadapi fenomena Ekuinoks yang dijangka akan melanda negara Malaysia pada bulan Mac 2015.
Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata pelbagai perancangan dari pengurusan MADA telah diatur rapi bagi menghadapi fenomena tersebut.

Katanya, fenomena ekuinoks yang dikatakan berlaku pada bulan Mac ini tidak akan memberi kesan kepada penanaman padi di Kawasan Muda kerana sehingga kini kemajuan penuaian padi telahpun melebihi 96%.

Tambah beliau, keadaan takungan air di empangan-empangan yang dikendalikan oleh MADA adalah berada di paras yang tinggi dan tersedia bagi menjayakan penanaman padi musim 1/2015 yang dijangka bermula pada akhir Mac 2015.

Oleh yang demikian, masyarakat di negeri Kedah dan Perlis terutamanya peladang-peladang di Kawasan Muda tidak perlu berasa bimbang akan fenomena ini yang diharapkan tidak memberi kesan yang mendalam terhadap tanaman padi yang akan diusahakan dalam Musim 1/2015 ini.

Beliau berkata demikian dalam wawancara RTM, Selamat Pagi Malaysia pada 2 Mac 2015 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Fenomena Ekuinoks dikatakan berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada bulan Mac dan September ketika matahari berada tegak di atas garisan khatulistiwa di mana lokasi negara ini berada.

Situasi ini hanya akan menjurus kepada peningkatan suhu antara 1 atau 2 darjah celsius dan ini masih dikira normal dan tidak akan memberi kesan besar secara keseluruhan kerana perubahan suhu banyak dipengaruhi pelbagai faktor seperti pergerakan angin, hujan dan lain-lain.
Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari didedahkan cahaya matahari ketika fenomena ini berlaku dan juga digalakkan minum lebih banyak air.





Bantu Rakyat Mengurangkan Tekanan Harga Barang


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil inisatif bagi membantu rakyat dalam mengurangkan tekanan harga barang yang meningkat walaupun berikutan isu harga minyak turun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun Kementerian tidak terlibat pengawalan harga barang tetapi ia tidak bermakna Kementerian tidak boleh masuk campur dalam membantu rakyat dengan mengurangkan tekanan harga barang.

Oleh yang demikian, Kementerian melalui pasar tani telah memperkenalkan program turun harga pasar tani dimana sebanyak 73 jenis barangan dijual lebih murah pada kadar 5 sehingga 20 peratus.

Kata beliau yang mahu buktikan bahawa harga barang boleh diturunkan apabila harga minyak turun dan ia semestinya menjadi pilihan kepada pengguna apabila program turun harga pasar tani dilancarkan.

Beliau berkata hasil daripada program tersebut sedikit demi sedikit golongan peniaga mula turunkan harga dan akan terus melaksanakan program bagi membantu rakyat dalam menghadapi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tambah beliau, semua peniaga di pasar tani tidak boleh lagi mengambil barangan dariapada orang tengah mulai Jun 2015.

Dato` Sri Ismail Sabri berkata semua peniaga perlu mengambil terus daripada pengeluar peladang, nelayan atau pusat pengumpulan yang kini sudah mempunyai 100 pusat pengumpulan.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Wisma Tani, Putrajaya pada 24 Februari 2015.

Dalam pada itu, Dato` Sri Ismail Sabri juga turut menyatakan perkembangan Kementerian dimana pada tahun 2014 sub sektor agromakanan telah berkembang baik pada kadar 5.3 peratus atau RM6.5 billion berbanding tahun sebelumnya.

Bagi prestasi dagangan jumlah eksport bahan makanan negara adalah bernilai RM21.2 billion bermula pada januari sehingga oktober 2014 berbanding RM18.1 billion pada tempoh yang sama pada tahun 2013.

Tambah beliau, ia merupakan sumbangan sebanyak 23.2 peratus kod keseluruhan jumlah eksport pertanian negara.

Walaubagaimanapun, beliau masih menegaskan kepada semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menambah pengeluaran negara sebanyak 10 peratus pada tahun 2015 berbanding tahun 2014.

Hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Mohd Arif bin Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Tuan Haji Azini bin Mohd Shahid, dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Syed Zainuddin bin Syed Zain.