Wednesday, June 18, 2014

MADA Terima Peruntukan Bantuan Bencana Alam

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda ( MADA) menerima peruntukan bantuan bencana bagi kemarau, banjir dan tanah jerlus daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan diagihkan kepada petani-petani yang terlibat dalam kawasan Muda.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata sebanyak RM 1,750,778 peruntukan diberikan kepada agensi tersebut yang melibatkan seramai 1037 petani yang terlibat dalam keluasan 1134 hektar.

Bagi masalah tanah jerlus pula, sebanyak RM 2,724,264 diperuntukan kepada 715 petani yang melibatkan keluasan 1029 hektar.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban sara hidup petani yang selama ini terjejas akibat bencana yang melanda dan juga masalah tanah jerlus yang dihadapi di negeri Kedah.

Katanya lagi, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM4.77 juta pada tahun 2012 dan tahun 2013 untuk menambahbaik sistem saliran di kawasan yang terlibat permasalahan tanah jerlus manakala pada tahun 2014 peruntukan sebanyak RM11.42 juta dan bagi tahun 2015 pula sebanyak RM 13.6 juta dalam usaha mengatasi masalah tanah jerlus dalam Kawasan MADA.

Selain dari menghadapi cabaran bencana yang tidak menentu yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, kerajaan dan kementerian juga sedang menghadapi satu transformasi yang mencabar dan ingin dilaksanakan bagi membantu golongan peladang, penternak dan nelayan untuk tidak terus dimonopoli dan ditindas oleh orang tengah.

Dato’ Sri Ismail Sabri berkata sehingga kini golongan orang tengah mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang berlebihan dari petani-petani walaupun golongan tersebut telah berusaha dalam mempertingkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran hasil.

Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada petani-petani yang mengusahakan industri padi untuk menjual terus hasil pengeluaran kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berdekatan bagi memperolehi keuntungan ataupun dividen yang setimpal dengan hasil padi yang dikeluarkan tanpa perlu menerima sebarang pemotongan yang dilakukan selama ini oleh golongan orang tengah.

Tambah beliau, MADA kini telah mempunyai tiga Pusat Pengumpulan Padi dan akan membuka sebanyak lapan pusat bagi memudahkan petani-petani berurusan dalam proses hasil keluaran padi secara terus bersama pegawai-pegawai PPK yang terlibat.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Bagi Tanaman Padi Di Negeri Kedah pada 18 Jun 2014 bertempat di Dewan Sultan Abdul Halim Mu'azam Shah, Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah, Datuk Suraya binti Yaacob, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Dato' Mohd Arif bin Ab Rahman, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato' Arpan Shah bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar ( Pertanian) MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail dan Pengerusi Jemaah Pengarah PPN Kedah, Dato' Haji Badri bin Haji Yunus.


No comments:

Post a Comment