Monday, September 1, 2014

Kupon RM200 sehektar subsidi pembelian racun melalui Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) kepada petani - YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata sebanyak RM200 subsidi pembelian racun akan diberikan kepada peladang yang mengusahakan industri pertanian bagi memilih & membeli sendiri jenis racun bersubsidi mengikut jenis kesesuaian tanah dan padi mulai musim penanaman yang akan datang.

Kata beliau, hanya peladang sahaja yang tahu jenis racun yang terbaik untuk digunakan terhadap penanaman yang mereka usahakan dan kupon tersebut hanya boleh digunakan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sahaja.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Memerangi Orang Tengah yang melibatkan Perasmian Pusat Belian Padi PPK H-II Kepala Batas, Kempen Peningkatan Hasil Padi dan Pelancaran Pembiayaan Jentera dan Mesin (MAEF-i) Agrobank pada 16 Ogos 2014 bertempat di Kampung Baru, Telok Malik, Jitra.

Dato' Ismail Sabri berkata pihak Kementerian bercadang akan mengujudkan beberapa buah kilang padi pada masa akan datang selepas melihat kejayaan MADA yang kini telah mempunyai tiga buah Pusat Belian Padi yang bertujuan bagi meningkatkan hasil padi dan menolong golongan peladang di bawah bimbingan MADA meningkatkan pendapatan selain mengelakkan permasalahan pemotongan padi yang tidak menentu oleh pengilang-pengilang swasta.

Beliau berkata, sebanyak lapan Pusat Belian Padi akan dibina lagi dalam Kawasan MADA yang dijangka siap hujung tahun ini dan menampung 4,000 tan hasil padi dalam satu musim di setiap pusat.

Dalam majlis yang sama, beliau turut memberi amaran kepada pengilang-pengilang tempatan yang melibatkan diri dalam operasi penyeledupan beras Thailand, dimana mereka mencampurkan beras tempatan dengan beras dari Thailand. Sekiranya mereka didapati terlibat dalam aktiviti lesen mereka akan ditarik balik oleh Kementerian.

Tambahnya, pihak Kementerian ada menerima aduan di mana beberapa pengilang tempatan telah melakukan aktiviti tersebut dan tindakan pengilang tersebut sebenarnya akan merugikan peladang-peladang tempatan dan seterusnya pihak Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan aktiviti tersebut terus berleluasa.

Dalam majlis ini, Dato' Sri Ismail telah melihat dan mengalami sendiri proses penjualan dan pemutuan padi yang dilakukan di pusat belian tersebut, di samping melawat ke gerai-gerai pameran yang disediakan sempena majlis ini.

Lebih 1,000 orang telah menghadiri majlis tersebut.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, YB Datuk Suraya binti Yaacob, Pengerusi MADA, YB Dato' Othman bin Haji Aziz, Pengerusi NAFAS, Dato' Seri Saiful Bahari bin Haji Shuib, Setiusaha Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Naimah binti Ramli dan Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.


No comments:

Post a Comment