Tuesday, February 10, 2015

Jerami bakal beri pendapatan baru kepada peladang

Petani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah bimbingan MADA bakal menjana pendapatan baru dengan membekalkan jerami padi kepada Syarikat Perniagaan Peladang MADA (SPPM).

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata SPPM melalui kerjasama MADA akan mengadakan proses pengumpulan jerami terbuang ini sebelum diserahkan kepada Diyou Future Biomass Sdn Bhd sebagai pengilang pellet bahan api.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif SPPM berkata, dengan cara yang efisen tersebut ia berupaya mengelakkan terjadinya masalah pencemaran alam sekitar dan juga gangguan ekologi.

Tambah beliau, proses pegumpulan jerami tersebut juga akan menambah aktiviti-aktiviti petani serta penduduk sekitar dengan aktiviti ekonomi yang menambah hasil serta menambah peluang pekerjaan.

Katanya lagi, kilang bagi memproses Biomas Pellet Plant akan dibina di kawasan PPK B-II Sanglang, Kedah dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100 ribu tan metrik setahun dan ini merupakan kapasiti terbesar dalam negara Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara SPPM Services Sdn Bhd dan Diyou Future Biomass Sdn Bhd pada 27 Januari 2015 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Menteri Besar Kedah, Dato` Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir yang turut hadir sama dalam majlis tersebut berasa amat berbangga dengan kerjasama antara SPPM dan Diyou Future Biomass dalam menjadikan jerami sebagai pellet bahan api.

Selain itu, beliau berkata pertanian merupakan satu sektor yang besar dan amat penting kepada semua kerana sektor tersebut merupakan makanan ruji harian kepada rakyat.

Oleh demikian, beliau berharap rakyat negeri Kedah khususnya peladang-peladang akan terus berusaha terutamanya dalam menyumbangkan hasil padi kepada negeri dan juga negara kerana negeri Kedah merupakan satu-satunya negeri yang bergantung akan hasil pertanian yang memberikan pendapatan yang lumayan kepada peladang sendiri dan juga Kerajaan negeri.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Pengarah MIDA Negeri Kedah dan Perlis, Encil Abdul Mukti bin Abu Bakar, Pengarah Urusan Diyou Future Biomass Sdn Bhd, Encik Lim Choo Hock, Ketua Pegawai Eksekutif Diyou Future Biomass Sdn Bhd, Encik Rosly bin Yaakob, Naib President Kuala Lumpur SME Bank, Encik Hashafari Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPPM, Encik Shakir Jamil bin Fisal.

No comments:

Post a Comment