Sunday, February 15, 2015

Rake Power Tiller - Inovasi Pelatih MRTC untuk Tingkat Kualiti Tanah Sawah

Tiga pelatih MADA Rice Trainning Center (MRTC) telah mengambil langkah proaktif dengan menginovasikan ‘rake power tiller’ bagi meningkatkan kualiti tanah sawah dan seterusnya dapat menghasilkan tanaman padi yang berkualiti.

‘Rake Power Tiller’ adalah implemen yang dipasangkan pada jentera dua roda bagi menjalankan kerja putaran dan penyisiran tanah sawah serta digunakan untuk meratakan tanah sawah selepas kerja-kerja putaran dijalankan dengan menggunakan traktor empat roda.

Dengan menggunakan ‘rake power tiller’ ini, saiz kelumatan tanah sawah yang dikehendaki dapat dicapai pada saiz kurang dari 2.5 sentimeter selain menyisir segala bendasing yang tertinggal dalam petak sawah selepas kerja pembajakan dan putaran oleh traktor empat roda.

Antara kelebihan menggunakan ‘rake power tille’r ini adalah masa bekerja di sawah dapat dijimatkan dimana kerja menyisir dan meratakan tanah dijalankan serentak, pengurusan sawah yang lebih berkesan dengan tanah sawah yang rata, pengurusan bekalan air sawah yang optima, kecekapan pembajaan terhadap tanaman lebih efisyen apabila tanah sawah rata dan pengawalan rumpai lebih berkesan sekiranya kawasan sawah rata dan landai.

Selain itu, kelebihan menggunakan rake power tiller ini adalah mewujudkan pertapakan pokok padi yang seragam dan sekata, dapat mengawal secara menyeluruh terhadap serangan siput gondang emas bagi kawasan berlopak serta bebanan tanah akibat penggunaan jentera dapat dikurangkan.

Secara kesimpulannya, alat ini dapat membantu peladang dalam menangani masalah tanah sawah tidak rata, terutama sekali ketika musim basah selain ringan dan mudah untuk dikendalikan berbanding traktor 4-roda dan ini dapat meminimakan kemasukan jentera berat.

Ia juga mampu memberi peladang peluang mengawal paras air sawah secara optima dan ini akan meningkatkan kecekapan pembajaan apabila kawalan air sempurna.

Idea ‘rake power tiller’ dari inovasi pelatih MRTC ini sememangnya memberi kemudahan kepada peladang di mana ianya mampu mengurangkan bebanan kepada peladang dalam penggunaan jentera lain yang memberi permasalahan kepada tanah serta memberi peluang kepada peladang untuk meningkatkan hasil tanaman padi mereka.

No comments:

Post a Comment