Monday, April 13, 2015

4,500 Pengunjung Banjiri Jom Turun Bendang MADA 2015

Seramai 4,500 pengunjung telah membanjiri program Jom Turun Bendang MADA 2015 yang diadakan selama tiga hari bermula pada 9 sehingga 11 April 2015 bertempat di Tanah Merah, Pendang.

Program tersebut diadakan bertujuan untuk memberitahu pesawah padi khususnya di Kawasan Muda bahawa musim baru tanaman padi telah bermula dan juga untuk menggalakkan petani turun awal dan mengikut jadual tanaman yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata peladang-peladang di Kawasan Muda hendaklah mematuhi jadual yang telah ditetapkan sekiranya tidak mahu sebarang masalah bakal dihadapi sepanjang musim penanaman padi.

Beliau berkata sekiranya peladang tidak akur kepada jadual tanaman, peladang berkemungkinan akan menghadapi pelbagai masalah seperti serangan penyakit padi dan juga pertumbuhan padi mungkit terbantut.

Katanya, MADA dan peladang sendiri akan mengalami kerugian wang ringgit yang boleh mencecah ratusan ribuan ringgit sekiranya tidak mengikut jadual tanaman.

Tambah beliau, air dari empangan Pedu, Muda dan Ahning yang berada pada tahap 86 peratus adalah mencukupi untuk disalurkan kepada 100,000 hektar kawasan sawah padi di bawah pengurusan MADA.

Beliau berkata demkian dalam Majlis Penutup Jom Turun Bendang MADA 2015 pada 11 April 2015 di Dewan Belia, Tanah Merah, Pendang.

Di akhir ucapannya Dato’ Othman berasa yakin sekiranya semua pihak iaitu MADA dan juga peladang bekerjasama dalam aktiviti penanaman sawah padi bagi musim 1/2015, adalah mudah untuk mencapai sasaran hasil padi iaitu 7 tan sehektar selaras dengan KPI Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tahun 2015.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada semua pegawai-pegawai MADA yang terlibat dalam menganjurkan acara ini pada kali ini, terutamanya kepada Bahagian Pengurusan Pengairan dan Saliran MADA yang telah menyahut cabaran untuk melaksanakan tanggungjawab menjayakan Jom Turun Bendang MADA 2015 ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir Hor Tek Lip, Pengarah Bahagian Pengurusan Wilayah, Tuan Haji Mustaffa bin Murat dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran MADA, Tuan Haji Nasiruddin bin Haji Abdullah.


No comments:

Post a Comment