Monday, April 13, 2015

Majlis Perhimpunan MADA Bulan April 2015

Majlis Perhimpunan MADA Bulan April 2015 telah diadakan pada 12 April 2015 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA dan perhimpunan ini merupakan kali kedua diadakan bagi tahun 2015.

Dalam majlis tersebut, Pengerusi MADA, Dato` Othman Haji Aziz menyatakan bahawa musim tanaman padi bagi musim 1/2015 telah bermula dan meminta semua kakitangan MADA yang terlibat hendaklah bersama-sama membantu golongan peladang di Kawasan Muda terutamanya dalam pemilihan penggunaan benih padi dan penggunaan kimia pertanian yang disahkan bagi meningkatkan hasil padi di Kawasan muda yang telah disasarkan puratanya sebanyak 7.0 tan bagi setiap hektar.

Selain itu, beliau menerangkan peranan Parlimen Malaysia di dalam menggubal rang undang-undang di Malaysia. Beliau seterusnya memberi penjelasan mengenai Akta POTA 2015 atau Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 yang telah di bahaskan di Parlimen. Ia merupakan satu undang-undang untuk mencegah perlakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas dari sesuatu negara asing serta bagi kawalan terhadap orang yang terlibat dengan perbuatan sedemikian selain memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan.

Bagi Rang Undang-undang Akta Hasutan pula, beliau menerangkan bahawa pindaan tersebut diluluskan dan dilakukan berikutan mengikut tuntuan semasa setelah 40 tahun rang undang-undang tersebut tersebut tidak dipinda.

Katanya, akan kecenderungan sesetengah pihak untuk menyebarkan fitnah dan hasutan termasuk melalui media sosial mendorong kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan melakukan beberapa pembaharuan dan diperjelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato` Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seterusnya Dato’ Othman menyentah tentang Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) pula, beliau menyarankan kepada semua kakitangan MADA agar sentiasa berbelanja secara berhemah dan berhati-hati dalam membeli barangan, serta melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Kastam atau KPDNKK apabila dikenakan harga yang tidak munasabah ataupun dikenakan GST secara tidak sepatutnya.

Beliau berkata demikian di dalam Ucaptama Majlis Perhimpunan Bulanan MADA pada 12 April 2015 di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Dalam majlis itu juga, Pengerusi MADA, Dato` Othman Aziz bersama Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail menyaksikan majlis menandatangani Key Performance Index (KPI) Pengarah-pengarah Bahagian MADA dan Dato’ Othman menerima KPI tersebut daripada Pengurus Besar MADA.
KPI merupakan kayu pengukur yang telah di tetapkan kepada semua bahagian di MADA dalam melaksanakan dan seterusnya menjayakan agenda yang telah diarahkan.

Di samping itu, beliau juga turut menyampaikan piala & hadiah kepada pasukan perahu MADA yang berjaya merangkul Juara Antara Jabatan & Agensi Kerajaan sempena Temasya Sukan Sungai 2015.

Di akhir ucapannya, beliau berharap semua kakitangan MADA memainkan peranan masing-masing dan saling bekerjasama sebagai 1MADA dalam memastikan KPI bagi tahun 2015 dicapai .

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir Hor Tek Lip, Pengarah-pengarah Bahagian dan anggota-anggota MADA dari semua pejabat-pejabat MADA.

No comments:

Post a Comment