Sunday, April 13, 2014

MAHA 2014 Mensasarkan 3.5 Juta Pengunjung

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menganjurkan acara dwi-tahunan bertaraf antarabangsa iaitu Malaysia Agriculture, Horticulture dan Agrotourism (MAHA) 2014 pada 20 sehingga 30 November 2014, bertempat di Malaysia Agro-Exposition Park (MAEPS), Serdang, Selangor.

MAHA 2014 ini juga akan diadakan bersama dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2014. MAHA merupakan platform terbaik menemukan peniaga, pembekal, pengedar, pembeli selain menjadi tempat yang strategik untuk mendapatkan informasi-informasi terkini dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani.

Selain itu, MAHA juga sebagai ruang bagi menawarkan peningkatan pengeluaran, keselamatan makanan, nilai tambah sekaligus dapat meningkatkan pendapatan petani ke satu paras yang lebih tinggi.

MAHA 2014 yang diselaraskan oleh MARDI dan FAMA dengan dibantu oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun ini bertemakan “Agroteknologi Pemangkin Transformasi” dan akan memaparkan lebih banyak transformasi sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani yang melibatkan aspek inovasi dan teknologi terkini; dan ia sejajar dengan hasrat kerajaan mewujudkan industri pertanian yang lestari sebagai pemangkin kemajuan ekonomi demi untuk kesejahteraan rakyat.

Bagi memastikan MAHA 2014 mencapai matlamat yang ingin disampaikan, Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2014 telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 10 April 2014, bertempat di MAEPS, Serdang sebagai simbol bermulanya promosi acara MAHA edisi tahun 2014 ini.

Objektif utama Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2014 adalah bagi memperkenalkan konsep baru MAHA 2014 yang melibatkan lapan fokus utama sektor pertanian iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Agri Trade, Industi Agro-Makanan, Industri Asas Tani, Agro Youth, Malaysian Agriculture and Innovation Challenges (MAgIC), Agro-pelancongan dan juga Agri Lifestyle.

Beliau berkata, melalui lapan fokus utama tersebut, moto ‘Pertanian adalah Perniagaan’ akan dapat diterapkan dalam minda rakyat khususnya golongan muda yang akan menggalas tanggungjawab memajukan industri pertanian di masa hadapan.


Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam sidang media pula berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan seramai 3.5 juta pengunjung akan hadir memeriahkan program MAHA 2014. Katanya, seramai 3.3 juta pengunjung telah hadir pada MAHA 2012 dan beliau yakin dengan peningkatan kehadiran pengunjung bagi MAHA 2014 berikutan tahun ini juga merupakan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Tajuddin Abd Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Arif bin Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Haji Raihan bin Sharif, Pengurus Besar MADA, Dato’ Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.


No comments:

Post a Comment