Monday, April 7, 2014

Pertanian Disasar Sumbang Tujuh Peratus Kepada Kdnk

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan sumbangan sektor pertanian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat kepada tujuh peratus berbanding 6.7 peratus tahun lepas. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehubungan itu kerajaan akan memberi tumpuan kepada bidang yang mampu memberi pulangan tinggi seperti rumpai laut, sarang burung walit, herba dan akuakultur. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Denmark Mengenai Makanan dan Pertanian, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pertanian, Makanan dan Perikanan Denmark, Dan Jorgensen dan Duta Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge. Ismail berkata, bagi meningkatkan pendapatan daripada bidang herba, kerajaan telah menubuhkan majlis herba yang memberikan fokus kepada tanaman itu. Di sektor akuakultur pula, katanya, kerajaan telah mengubah polisi terdahulu, iaitu 80 peratus bekalan daripada hasil laut dan 20 peratus dari akuakultur kepada 50-50. Untuk sektor lain, kerajaan akan memberi tumpuan kepada produk berkualiti tinggi yang boleh dieksport. Mengulas hubungan Malaysia-Denmark, Ismail Sabri berkata, negara Scandinavia itu merupakan rakan dagang ke-12 terbesar negara. Bagaimanapun, katanya dagangan dua hala dalam sektor pertanian menunjukkan penurunan sejak 2011. Pada 2011, katanya, ia berjumlah AS$165 juta, bagaimanapun ia menurun kepada AS$128 juta pada 2012 dan seterusnya AS$114 juta bagi tempoh Januari hingga November tahun lepas. “Diharapkan kedua-dua negara berusaha meningkatkan perdagangan dalam produk pertanian dan makanan,” katanya. Katanya, kerajaan Malaysia mengalu-alukan pelaburan dari Denmark dalam bidang pertanian yang mampu membawa teknologi moden seperti di dalam sektor akuakultur. Ismail Sabri berkata, kementeriannya juga sedang berbincang untuk bekerjasama dalam beberapa bidang selain mengenal pasti produk yang boleh dieksport ke negara berkenaan. Beliau tidak menolak kemungkinan menjadikan Denmark sebagai gerbang untuk produk Malaysia menembusi pasaran Scandinavia. Sebelum itu, Jorgensen dalam ucapannya berkata, Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya yang strategik di Asia Tenggara bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah kepada produk makanan tambah nilai di rantau ini. Menurutnya, pertanian adalah satu daripada bidang ekonomi utama nasional dalam Program Pembaharuan Ekonomi bagi mengalih sektor itu ke arah perniagaan pertanian tambah nilai dan lebih inovatif. Jorgensen yang mengetuai delegasi 12 syarikat terkemuka Denmark dijadualkan melawat beberapa syarikat di negara ini, antaranya United Plantation Bhd di Perak dan Palsgaard Malaysia Sdn Bhd di Johor. SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1028512

No comments:

Post a Comment