Monday, April 28, 2014

Perdana Menteri Merasmikan RTC Kedah

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) pertama di Negeri Kedah telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Razak di Napoh, Kubang Pasu pada 24 April 2014.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan supaya rakyat terus mendapat manfaat daripada Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) termasuk kemungkinan menghubungkannya dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Tambah beliau, kerajaan akan terus melaksanakan program latihan kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan kemahiran, termasuk kepada mereka yang berhasrat membabitkan diri dengan agro-perniagaan, menjadi petani moden atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Beliau berkata RTC mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, di mana harga jualan barangan yang berpatutan menyebabkan tiada langsung aduan oleh pembeli diterima pihak berkuasa dan ini selaras dengan tujuan sebenar penubuhan RTC.

Katanya, RTC Kedah di Napoh merupakan yang kelima ditubuhkan dalam Malaysia dan yakin RTC tersebut akan berjaya kerana kedudukannya yang strategik di tepi laluan utama yang mudah dikunjungi, termasuklah oleh kira-kira 2,000 pelajar antarabangsa yang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berurusan dengan Jabatan Imigresen.

RTC diperkenalkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tidak bermakna pembangunan prasarana di luar diketepikan dengan hanya membina pusat tersebut.

RTC Napoh yang terletak di tepi lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, hampir 15 kilometer dari sempadan Malaysia/Thailand di Bukit Kayu Hitam, mempunyai 44 ruang niaga tetap dengan sembilan agensi kerajaan serta 18 kios pameran dan bengkel IKS, beroperasi di atas tapak seluas empat hektar dan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Turut hadir sama dalam Majlis Perasmian RTC Kedah adalah Menteri Besar Kedah, YAB Dato` Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom.


No comments:

Post a Comment