Wednesday, May 7, 2014

Cadang MADA Perluas Kawasan Tanaman Mangga

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah mencadangkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memperluaskan kawasan tanaman mangga.

Katanya, berikutan kawasan Muda mempunyai tanah yang amat sesuai bagi tanaman mangga yang kini menjadi salah satu produk yang amat digemari oleh penduduk dalam dan luar negara.

Tambah beliau, buah mangga merupakan salah satu produk yang mendapat sambutan luar biasa dari negara luar khususnya negara Dubai.

Beliau yakin dengan adanya tambahan kawasan bagi penanaman tersebut, ia dapat memenuhi permintaan dari pelbagai negara disamping dapat meningkatkan peningkatan pendapatan kementerian dan juga pengusaha tanaman mangga.

Beliau berkata demikian dalam sidang media setelah mengiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam lawatan ke Ladang Mangga Tobiar, Pendang pada 1 Mei 2014.

Dalam lawatan tersebut, Tan Sri Dr Ali Hamsa telah diberi penerangan mengenai penubuhan Ladang Mangga Tobiar dan kemudiannya dibawa melawat ke pameran yang disediakan oleh Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA untuk melihat proses pendebungaan bagi pokok mangga.

Seterusnya, beliau dibawa ke tapak bagi menanam pokok mangga sebagai satu simbol dalam lawatan tersebut.

Turut hadir sama dalam lawatan tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Audit Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin bin Buang,Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Rahamat Bivi binti Yusoff, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, YBhg. Tan Sri Haji Shukry bin Md Salleh, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dalam Malaysia, Timbalan Ketua Setiausaha ( Pembangunan), Dato’ Mohd Arif bin Ab Rahman, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Dato’ Haji Abdul Rahim bin Saleh.

No comments:

Post a Comment