Monday, May 19, 2014

Majlis Perhimpunan Bulanan MoA

Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah diadakan pada 19 Mei 2014 di Wisma Tani, Putrajaya.

Dalam perhimpunan tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang telah mentadbir setahun kementerian tersebut berkata pelbagai dasar dan polisi beliau lakukan antaranya ialah memastikan peningkatan pengeluaran produk pertanian dan peningkatan pendapatan petani, nelayan dan penternak di dalam negara Malaysia.

Katanya, pihaknya telah melaksanakan penyeragaman harga padi kepada RM1200/tan di seluruh negara yang bertujuan semata-mata hanya untuk meningkatan pendapatan pesawah akan tetapi permasalahan kini adalah pemotongan klasifikasi gred beras yang agak tinggi dari BERNAS.

Tambah beliau yang juga sangat serius dalam jihad perangi orang tengah yang sememangnya dari dulu mengambil kesempatan kepada golongan petani, nelayan dan penternak dalam memastikan golongan tersebut tidak lagi ditindas sewenang-wenangnya.

Demi memastikan azam jihad perangi orang tengah dilaksanakan dengan jayanya, beliau berharap pembekal bahan-bahan mentah adalah terdiri daripada golongan petani-petani ataupun masyarakat tempatan yang mengusahakan pertanian, perikanan dan penternakan bagi membuktikan bahawa golongan tersebut mampu berusaha sendiri tanpa memerlukan pihak ketiga dalam urusan perniagaan.

Selain itu, beliau juga berkata pegawai-pegawai di bawah kementeriannya juga harus berusaha lebih keras dan memastikan peserta yang menyertai Agropreneur Muda bukanlah sekadar mendaftar sahaja tetapi hendaklah dididik dan dibentuk agar menjadi usahawan muda yang berjaya.

Tambah beliau, satu program yang amat penting dinamakan sebagai program Jom Bertani yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato` Sri Muhyiddin bin Yassin dalam masa terdekat.

Turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah, Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.

Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob menerima satu kejutan yang amat bermakna dimana beliau menerima sebuah coffee table book daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim bin Abdullah sebagai penghargaan usaha beliau selama setahun di kementerian tersebut.

No comments:

Post a Comment