Sunday, May 11, 2014

My Kampung My Future Tarik Minat Golongan Belia Menetap di Kampung

Program My Kampung My Future adalah sebuah aspirasi kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Industrri Asas Tani dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk membangunkan kawasan luarbandar di mana tumpuan utama adalah kepada usaha menggalakkan golongan muda untuk tinggal di kampung dengan memberi perhatian kepada aspek pembangunan ekonomi dan sosial.

Terdapat empat komponen dalam prgram My Kampung My Future antaranya ialah Back to the Future in the Kampung, Agribusiness Competition, 1 Kampung 1 Mission dan Entertainment and Sports.

Kampung Perik dipilih sebagai salah satu program tersebut kerana berdasarkan beberapa kriteria yang perlu ada termasuklah kemudahan infrastruktur yang cukup, mempunyai sumber tanah dan aktiviti ekonomi yang berpotensi dikembangkan serta komposisi belia yang sangat aktif.

My Kampung My Future ini disasarkan akan terus memberi faedah kepada negara dalam aspek peningkatan pengeluaran hasil pertanian dan bukan pertanian bernilai komersial yang berkualiti dan dapat meningkatkan pendapatan usahawan belia di samping menggalakkan belia untuk terus kekal di kampung dan membangunkan sendiri kampung mereka demi kepentingan mereka dan generasi yang akan datang.
Karnival My Kampung My Future di Kampung Perik, Padang Terap telah diadakan selama tiga hari dua malam bermula pada 8 Mei 2014 sehingga 10 Mei 2014 dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan, antaranya ialah senamrobik “kampungku lestari”, pertandingan mewarna, pertandingan melukis poster, explorace belia, sukaneka kanak-kanak, seminar, program pemindahan teknologi dalam penternakan lembu dan ikan, program pemindahan teknologi dalam pemprosesan makanan bebola ikan dan keropok lekor, klinik pertanian dan usahawan, pemeriksaan kesihatan percuma dan juga ceramah ugama.

Karnival tersebut juga turut disertakan dengan pameran dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta jualan produk-produk usahawan. Di samping itu Program Bakti Siswa Universiti Putra Malaysia (UPM) juga telah dilangsungkan sempena karnival ini.

Majlis perasmian karnival tersebut oleh Timbalan Menteri Teknologi Hijau dan Air, Dato` Seri Diraja Mahadzir bin Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap telah disempurnakan pada 10 Mei 2014 dengan dihadiri bersama oleh YB Badrol Hisham bin Hashim Exco Kerajaan Negeri Kedah dan Dato’ Haji Raihan bin Sharif Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.





No comments:

Post a Comment