Saturday, June 20, 2015

Taska Permata Nur Kasih beri kemudahan anggota MADA

Taska Permata Nur Kasih memberi kemudahan kepada anggota MADA untuk menghantar anak-anak ke Taska yang ditempatkan berhampiran dengan tempat kerja.

Penaung Puspanita MADA, Datin Soliha binti Hisham berkata penubuhan taska tersebut merupakan inisiatif MADA dan dikendalikan oleh Puspanita MADA yang bertujuan bagi menjaga kebajikan anggota MADA.

Beliau yang juga isteri kepada Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berharap dengan adanya Taska yang ditubuhkan di perkarangan Ibu Pejabat MADA ini dapat memberi semangat kerja dan fokus dalam perkhidmatan setiap anggota MADA serta meningkatkan produktiviti kerja masing-masing.

Katanya, pewujudan taska di tempat kerja ini juga merupkana usaha kerajaan untuk menarik minat golongan wanita berpendidikan tinggi untuk kembali bekerja selaras dengan hasrrat kerajaan untuk mencapai sasaran sebanyak 59 peratus penyertaan tenaga kerja wanita dalam sektor pekerjaan sama ada swasta atau kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Taska Permata Nur Kasih pada 14 Jun 2015 sebelum melakukan gimik perasmian dan beramah mesra bersama anak-anak anggota MADA di Taska tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail dan Pengerusi Puspanita MADA, Hajah Raidzoh binti Md Akhir.



478 Penerima Insentif Projek Estet Padi NKEA EPP 10 Musim 1/2015

Seramai 478 penerima insentif Projek Estet Padi NKEA EPP 10 Bagi Musim 1/2015 yang keseluruhannya berjumlah RM 1.174 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato` Seri Jamil Khir bin Baharom berkata jumlah tersebut hanya merangkumi tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA iaitu PPK Bukit Besar, PPK Sungai Limau Dalam dan PPK Guar Chempedak yang melibatkan kawasan tanah sawah sebanyak 785.266 hektar.

Katanya, insentif tersebut merupakan salah satu program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meningkatkan hasil pendapatan dan padi di Kawasan MADA.

Tambah beliau, ia merupakan satu usaha berterusan dari kerajaan dan juga MADA sendiri dalam memberi galakkan kepada peladang-peladang di kawasan MADA dalam mengusahakan tanaman.

Katanya lagi, selain dari meningkatkan hasil pendapatan, projek estet padi juga bertujuan dalam mengatasi masalah peringkat operasi ladang, kekurangan tenaga buruh dan produktiviti yang rendah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Projek Estet Padi NKEA EPP 10 Musim 1/2015 di perkarangan PPK G-IV Guar Chempedak pada 4 Jun 2015.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Pengurus Wilayah IV, Tuan Haji Zainuddin bin Mat Zakaria dan Pengerusi PPK G-IV, Tuan Haji Jamaluddin bin Hussin.

Kempen Kawalan Penyakit dan Perosak Mampu Tingkat Hasil Padi 2015

Kempen Kawalan Penyakit dan Perosak yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melalui Bahagian Industri Padi MADA telah dilancarkan pada 3 Jun 2015 oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz di Grand Alora, Alor Setar.

Kempen tersebut dikatakan mampu meningkatkan hasil padi bagi agensi tersebut untuk tahun 2015 selain bertujuan membantu peladang-peladang di kawasan Muda untuk diberi gambaran yang jelas mengenai maklumat teknikal dan kaedah pengurusan yang efisyen dalam pengawalan penyakit dan perosak tanaman padi.

Antara faktor kempen tersebut diwujudkan adalah keadaan cuaca yang lembab pada masa kini di kawasan Muda yang menyebabkan penyebaran penyakit padi sehingga pertumbuhan kulat dan bakteria mula merebak dengan mudah dan cepat .

Penyakit utama padi akibat daripada pertumbuhan kulat adalah karah daun dan karah tangkai, hawar seludang dan bintik perang manakala bagi penyakit utama padi yang disebabkan oleh bakteria pula adalah hawar daun bakteria dan jalur daun bakteria.

Selain daripada penyakit tersebut,bena perang juga merupakan perosak tanaman padi yang boleh menyebabkan kerosakan dan pengurangan hasil padi.
Dalam memastikan kempen tersebut berjaya dijalankan, terdapat beberapa objektif kempen peningkatan hasil padi telah disenaraikan antaranya adalah meningkatkan hasil padi di kawasan Muda dan seterusnya meningkatkan pendapatan peladang dan menerapkan amalan pertanian dikalangan peladang.

Selain itu, ia juga dapat memastikan kesiapsiagaan peladang dalam menghadapi kemungkinan serangan perosak dan penyakit dengan melakukan langkah pencegahan dan meningkatkan hasil padi ke tahap 7 tan sehektar kualiti hasil padi di kawasan Muda.

Oleh yang demikian, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak MADA dalam usaha menangani masalah penyakit dan perosak, antaranya adalah penubuhan pasukan pengawasan dan ramalan (P&R) MADA, memaklumkan amaran awal tentang kehadiran perosak dan penyakit melalui sms, media cetak dan radio dan pemantauan berkala dan perekodan data sistem maklumat pertanian (SMP) secara mingguan.

Di samping itu, MADA juga bekerjasama dengan agensi dan pihak swasta dalam menggunakan serta memperkenalkan teknologi terkini dalam pengawalan perosak dan penyakit contohnya “seed coating” dan “light trap” serta melaksanakan kajian dan demonstrasi bersama penyelidik dalam mecarai kaedah kawalan yang lebih efisyen.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK –PPK MADA Tahun 2015

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK-PPK MADA Tahun 2015 telah diadakan pada 3 Jun 2015 bertempat di Grand Alora, Alor Setar dan telah dirasmikan oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz.

Dato` Othman bin Haji Aziz berkata objektif utama majlis tersebut diadakan adalah mengumpulkan semua peladang-peladang di bawah bimbingan MADA dalam membincangkan agenda mempertingkatkan hasil padi dan juga pendapatan bagi tahun 2015.

Katanya, PPK MADA berperanan besar dalam membimbing dan mengembeling peladang-peladang supaya dapat meningkatkan pendapatan dan juga pengeluaran hasil pertanian untuk meningkatkan bahan makanan terutamanya padi supaya memenuhi keperluan negara serta mengekalkan sektor agro makanan yang mampu menyumbang kepada negara melalui penglibatan orang muda.

Tambah beliau, sebanyak enam buah PPK MADA telah memperolehi keuntungan melebihi RM 500,000 pada tahun kewangan belum beraudit 2014 merupakan pencapaian yang amat membanggakan jika dibandingkan awal penubuhan PPK MADA.

Katanya lagi, MADA kini sedang menghadapi cabaran utama iaitu meningkatkan purata hasil bersih Projek Estet Padi NKEA 10 dalam mencapai lapan tan sehektar menjelang tahun 2020 selain memasarkan sebnayak 70% hasil padi petani MADA melalui PPK.

Dato` Othman berkata bagi menyahut cabaran tersebut, PPK perlulah meningkatkan pengurusan Projek Estet Padi secara berpusat di samping membina pusat belian padi dengan sasaran dua buah pusat bagi setiap PPK.

Beliau di akhir ucapannya mencadangkan kepada pemimpin-pemimpin peladang menggiatkan lagi kempen-kempen yang dapat menarik minat semua ahli peladang yang terlibat dengan tanaman sawah padi di kawasan Muda menjadi ahli PPK.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir Hor Tek Lip dan Pengarah-pengarah bahagian MADA.

Dalam majlis tersebut juga, beliau merasmikan Kempen Peningkatan Hasil Padi- Pengurusan Perosak dan Penyakit yang bertujuan untuk memberi gambaran jelas tentang maklumat teknikal dan kaedah pengurusan yang efisyen dalam pengawalan penyakit dan perosak tanaman padi.

Asean Perlu Kerjasama Selesaikan Penyakit Padi

PUTRAJAYA - Negara anggota Asean perlu bekerjasama untuk mengekang penyebaran perosak dan penyakit yang menyerang sawah padi di rantau ini seperti penyakit hawar daun (BLB), kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Othman Aziz.

Beliau berkata, adalah penting untuk penyelidik di rantau ini bekerjasama untuk menyelesaikan masalah bersama untuk memastikan kestabilan bekalan beras yang menjadi makanan ruji kepada lebih 600 juta penduduk rantau ini.

"Tahun lepas Mada menanam 100,000 hektar dengan padi dan kami kerugian kira-kira RM120 juta kepada penyakit ini.

BLB dan penyakit lain adalah masalah berulang dan setakat ini kami tidak memiliki penyelesaian sebenar untuk mengatasi masalah ini. Jadi mereka (penyelidik) mesti menghasilkan benih baharu yang kebal terhadap penyakit ini," beliau memberitahu wartawan selepas merasmikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Rizab Keselamatan Makanan Asean ke-35 (AFSRB) di sini, hari ini.

Mesyuarat dua hari itu akan menumpukan kestabilan harga makanan, mengukuhkan asas pengeluaran makanan dan peluang perniagaan jangka panjang dalam kalangan negara Asean.

Mesyuarat itu juga dijangka membincangkan perkembangan terkini Program Rizab Beras Kecemasan Asean Campur Tiga dan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Asean (AFSIS).

AFSRB dihadiri 40 wakil dari 10 negara Asean iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.

Sumber : Bernama
http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/asean-perlu-kerjasama-selesaikan-penyakit-padi-1.397233