Saturday, June 20, 2015

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK –PPK MADA Tahun 2015

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK-PPK MADA Tahun 2015 telah diadakan pada 3 Jun 2015 bertempat di Grand Alora, Alor Setar dan telah dirasmikan oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz.

Dato` Othman bin Haji Aziz berkata objektif utama majlis tersebut diadakan adalah mengumpulkan semua peladang-peladang di bawah bimbingan MADA dalam membincangkan agenda mempertingkatkan hasil padi dan juga pendapatan bagi tahun 2015.

Katanya, PPK MADA berperanan besar dalam membimbing dan mengembeling peladang-peladang supaya dapat meningkatkan pendapatan dan juga pengeluaran hasil pertanian untuk meningkatkan bahan makanan terutamanya padi supaya memenuhi keperluan negara serta mengekalkan sektor agro makanan yang mampu menyumbang kepada negara melalui penglibatan orang muda.

Tambah beliau, sebanyak enam buah PPK MADA telah memperolehi keuntungan melebihi RM 500,000 pada tahun kewangan belum beraudit 2014 merupakan pencapaian yang amat membanggakan jika dibandingkan awal penubuhan PPK MADA.

Katanya lagi, MADA kini sedang menghadapi cabaran utama iaitu meningkatkan purata hasil bersih Projek Estet Padi NKEA 10 dalam mencapai lapan tan sehektar menjelang tahun 2020 selain memasarkan sebnayak 70% hasil padi petani MADA melalui PPK.

Dato` Othman berkata bagi menyahut cabaran tersebut, PPK perlulah meningkatkan pengurusan Projek Estet Padi secara berpusat di samping membina pusat belian padi dengan sasaran dua buah pusat bagi setiap PPK.

Beliau di akhir ucapannya mencadangkan kepada pemimpin-pemimpin peladang menggiatkan lagi kempen-kempen yang dapat menarik minat semua ahli peladang yang terlibat dengan tanaman sawah padi di kawasan Muda menjadi ahli PPK.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir Hor Tek Lip dan Pengarah-pengarah bahagian MADA.

Dalam majlis tersebut juga, beliau merasmikan Kempen Peningkatan Hasil Padi- Pengurusan Perosak dan Penyakit yang bertujuan untuk memberi gambaran jelas tentang maklumat teknikal dan kaedah pengurusan yang efisyen dalam pengawalan penyakit dan perosak tanaman padi.

No comments:

Post a Comment