Saturday, June 20, 2015

478 Penerima Insentif Projek Estet Padi NKEA EPP 10 Musim 1/2015

Seramai 478 penerima insentif Projek Estet Padi NKEA EPP 10 Bagi Musim 1/2015 yang keseluruhannya berjumlah RM 1.174 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato` Seri Jamil Khir bin Baharom berkata jumlah tersebut hanya merangkumi tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA iaitu PPK Bukit Besar, PPK Sungai Limau Dalam dan PPK Guar Chempedak yang melibatkan kawasan tanah sawah sebanyak 785.266 hektar.

Katanya, insentif tersebut merupakan salah satu program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meningkatkan hasil pendapatan dan padi di Kawasan MADA.

Tambah beliau, ia merupakan satu usaha berterusan dari kerajaan dan juga MADA sendiri dalam memberi galakkan kepada peladang-peladang di kawasan MADA dalam mengusahakan tanaman.

Katanya lagi, selain dari meningkatkan hasil pendapatan, projek estet padi juga bertujuan dalam mengatasi masalah peringkat operasi ladang, kekurangan tenaga buruh dan produktiviti yang rendah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Projek Estet Padi NKEA EPP 10 Musim 1/2015 di perkarangan PPK G-IV Guar Chempedak pada 4 Jun 2015.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Pengurus Wilayah IV, Tuan Haji Zainuddin bin Mat Zakaria dan Pengerusi PPK G-IV, Tuan Haji Jamaluddin bin Hussin.

No comments:

Post a Comment