Saturday, October 19, 2013
Kerjasama Jaminan Bekalan Makanan ASEAN Topik Utama Mesyuarat AMAF Ke 35 Di Kuala Lumpur
Kerjasama mengenai jaminan bekalan makanan di antara negara-negara Asean adalah antara topik utama yang akan dibincang dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan Asean (AMAF) ke-35 di sini bermula hari ini hingga 29 Sept.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata Malaysia yang mempengerusikan mesyuarat ini akan membincangkan lebih lanjut usaha di bawah kerjasama AMAF dan tiga negara rakan dialog yang turut serta iaitu China, Jepun, dan Korea Selatan, terutamanya di bawah Rizab Beras Kecemasan Asean+3 (APTERR) dan Sistem Maklumat Jaminan Makanan Asean (AFSIS).
“APTERR ditubuhkan bagi memberi bantuan makanan iaitu kuantiti beras yang diperlukan semasa kecemasan akibat bencana alam atau bencana buatan manusia untuk tempoh sementara, manakala AFSIS berfungsi untuk mengukuhkan jaminan bekalan makanan di rantau Asean melalui pengumpulan sistematik, analisis dan penyebaran maklumat yang berkaitan dengan jaminan bekalan makanan.
“Malaysia berharap akan ada banyak lagi kerjasama yang akan diwujudkan selepas AMAF diadakan agar mampu memperoleh pencapaian lebih besar pada masa depan dan mengukuhkan jaminan bekalan makanan di rantau Asean,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, mesyuarat ini akan dianjurkan secara berturut-turut dengan Mesyuarat ke-13 Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan Asean+3, yang akan disertai China, Jepun, dan Korea pada 27 September, serta Mesyuarat ketiga Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan Asean-India yang akan diadakan pada 28 September.
“Penyertaan negara-negara rakan dialog seperti China, Jepun, Korea dan India adalah penting kepada Asean dan Malaysia terutamanya dalam menyediakan bantuan dari segi modal, teknikal, dan lain-lain program bina upaya.
“Mesyuarat itu juga akan dihadiri seramai 186 delegasi dari negara-negara Asean serta negara-negara rakan dialog itu, ” katanya.
Katanya, mesyuarat di peringkat pegawai-pegawai kanan kerajaan bagi negara-negara anggota Asean dan Asean+3 diadakan pada tiga hari pertama bermula hari ini hingga 25 September bagi mengadakan perbincangan dalam bidang pertanian dan perhutanan di peringkat pegawai seterusnya dibawa kepada peringkat menteri untuk persetujuan dan membuat keputusan.
Mesyuarat peringkat Menteri pula akan bermula pada 26 September yang dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, selain daripada mesyuarat berjadual, pertemuan dua hala antara negara-negara yang hadir juga diadakan bagi membincangkan isu-isu spesifik berkaitan dengan pertanian, penternakan dan perhutanan.
“Dijangkakan juga akan terdapat perjanjian persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani sempena mesyuarat ini iaitu antara Asean dengan China mengenai kerjasama Makanan dan Pertanian yang dijadual ditandatangani pada 27 Sept bagi mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Asean dengan China dalam pembangunan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi dalam sektor makanan dan pertanian serta jaminan bekalan makanan,” katanya.
Mohd Hashim berkata Malaysia yakin bahawa dengan sokongan dan bimbingan rakan-rakan negara Asean melalui mesyuarat ini, semua cadangan bernas yang dikemukakan akan mendapat sokongan sewajarnya dan beroperasi sepenuhnya bagi menangani isu-isu jaminan bekalan makanan dan kelestarian alam sekitar secara bersama.
SUMBER : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment