Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, YB Dato` Suraya bin Yaacob dan Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air dan Sumber Air Negeri Kedah, YB Dato` Badrul Hisham bin Hashim serta Ahli Dewan Undangan Pedu, YB Puan Kama Noriah bin Ibrahim telah melakukan lawatan ke Projek Pemuliharaan Menyeluruh Empangan Pedu pada 3 April 2015.
Tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk meninjau dan mengetahui status projek pemuliharaan empangan tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini.
Dato` Suraya dalam sidang media berkata Empangan Pedu sering mengalami masalah komponen mekanikal sebelum ini sehingga kadangkala menyebabkan proses penyaluran air ke kawasan sawah padi tidak menepati jadual bekalan air yang telah ditetapkan.
Katanya, dengan pemulihan Empangan Pedu yang bernilai RM 60 juta tersebut bukan sahaja menyalurkan bekalan air kepada kawasan Muda yang sedia ada malah ia juga akan menyalurkan air di kawasan tambahan sawah padi di pinggir MADA sebanyak 4,127 hektar.
Tambah beliau, kerja-kerja pemuliharaan tersebut dilakukan oleh syarikat tempatan dengan menggunakan kepakaran dari Australia bagi menjamin sepanjang kerja pemuliharaan Empangan Pedu tidak akan menggangu jadual pelepasan air oleh MADA bagi musim 1/2015 yang dijadualkan bermula pada 5 April.
Katanya lagi, teknologi yang diaplikasikan dalam pemuliharaan Empangan Pedu merupakan kali pertama di Malaysia dan juga di Asia Tenggara.
YB Dato` Suraya, YB Dato` Badrul Hisham dan YB Puan Kama Noriah telah mendapat taklimat sepenuhnya dari Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Ir. Hor Tek Lip, Pengarah Bahagaian Empangan dan Sumber Air MADA, Tuan Haji Aznan bin Ismail dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran MADA, Tuan Haji Nasiruddin bin Abdullah mengenai projek pemuliharaan empangan Pedu.
Turut mengiringi ahli-ahli yang berhormat sepanjang lawatan ini adalah Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail.
No comments:
Post a Comment