Sunday, June 28, 2015

Kedah Sasar Anak Jati Pulang Bekerja Selaras Pertumbuhan Pesat Industri

SHAH ALAM, 24 Jun (Bernama) — Kerajaan Kedah menyasarkan lebih ramai anak jatinya dapat kembali bekerja di negeri itu selaras dengan pertumbuhan pesat industri yang dialami sekarang.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata usaha membangunkan industri berteknologi tinggi menjadi fokus utama dalam merancakkan ekonomi Kedah namun ia memerlukan lebih banyak tenaga kerja mahir.

“Tujuan utama kita adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak Kedah, maka saya harap adik-adik (mahasiswa) dapat membuat persiapan untuk mengejar peluang pekerjaan yang kita sediakan.

“Dengan ini, kita dapat sama-sama memperkasa ekonomi Kedah supaya tidak lagi dikenali sebagai negeri yang kurang maju,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama mahasiswa kelahiran Kedah bagi kawasan Lembah Klang di sini, Rabu.

Hampir 500 wakil mahasiswa kelahiran Kedah daripada pelbagai institusi pengajian tinggi hadir untuk mengambil peluang berbuka puasa bersama menteri besar berkenaan.

Mukhriz berkata dalam tempoh tiga tahun akan datang, pihaknya menyasarkan 7,000 peluang pekerjaan baharu dapat ditawarkan di Kedah dan keperluan itu mungkin bertambah mengikut perubahan semasa.

Menurutnya, kini terdapat kira-kira 12,000 mahasiswa kelahiran Kedah yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang dan pertemuan hari ini dilihat dapat memberi pendedahan berhubung peluang pekerjaan yang disediakan di negeri itu.

Tambahnya, pembangunan Taman Teknologi Tinggi Kulim adalah bukti kejayaan apabila 22,000 peluang pekerjaan pelbagai kemahiran dapat ditawarkan dengan purata gaji sebanyak RM6,000.

“Banyak lagi perancangan bidang industri sedang kita rangka dan gerakkan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Kedah berdaya saing dan dengan ini, mahasiswa sekarang dapat jangka bidang mana yang boleh mereka ceburi,” katanya.

Mukhriz turut memberi jaminan kepada golongan muda khususnya anak jati Kedah bahawa negeri itu mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan pada masa depan, setanding dengan negeri maju lain.

SUMBER : BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1147146

No comments:

Post a Comment