Sunday, June 28, 2015

Petani Ceroboh Tanah Tidak Diberi Bantuan – Dato` Sri Ismail Sabri

BERA, 28 Jun (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan menyalurkan sebarang bantuan kepada mana-mana petani yang mengusahakan tanah secara menceroboh di mana-mana kawasan di negara ini termasuk di Cameron Highlands.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelbagai bantuan dan insentif disediakan kerajaan hanya layak diberi kepada golongan petani yang mengusahakan pertanian di tanah milik sah.

“Kita tidak akan bantu petani yang meneroka di tanah haram termasuk semasa bencana. Jadi, saya menyeru penanam-penanam sayur ini supaya mendapatkan kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu (sebelum mengusahakan tanaman),” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada warga emas dan golongan miskin di Kampung Durian Tawar di sini, Ahad.

Menurutnya kesan daripada kegiatan pencerobohan haram itu bukan sahaja menyebabkan mereka dikena tindakan undang-undang malah turut menjejaskan alam sekitar.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai keadaan di Cameron Highlands yang semakin tenat berikutan aktiviti pertanian secara haram.

Menurut laporan itu pencerobohan tanah untuk aktiviti pertanian masih dilakukan menyebabkan Cameron Highlands terus berdepan dengan ancaman hakisan.

Ismail Sabri berkata penerokaan tanah untuk pertanian adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri manakala penanaman di kawasan cerun tidak dibenarkan pula di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar.

SUMBER : BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1148068

No comments:

Post a Comment