Kempen Kawalan Penyakit dan Perosak yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melalui Bahagian Industri Padi MADA telah dilancarkan pada 3 Jun 2015 oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz di Grand Alora, Alor Setar.
Kempen tersebut dikatakan mampu meningkatkan hasil padi bagi agensi tersebut untuk tahun 2015 selain bertujuan membantu peladang-peladang di kawasan Muda untuk diberi gambaran yang jelas mengenai maklumat teknikal dan kaedah pengurusan yang efisyen dalam pengawalan penyakit dan perosak tanaman padi.
Antara faktor kempen tersebut diwujudkan adalah keadaan cuaca yang lembab pada masa kini di kawasan Muda yang menyebabkan penyebaran penyakit padi sehingga pertumbuhan kulat dan bakteria mula merebak dengan mudah dan cepat .
Penyakit utama padi akibat daripada pertumbuhan kulat adalah karah daun dan karah tangkai, hawar seludang dan bintik perang manakala bagi penyakit utama padi yang disebabkan oleh bakteria pula adalah hawar daun bakteria dan jalur daun bakteria.
Selain daripada penyakit tersebut,bena perang juga merupakan perosak tanaman padi yang boleh menyebabkan kerosakan dan pengurangan hasil padi.
Dalam memastikan kempen tersebut berjaya dijalankan, terdapat beberapa objektif kempen peningkatan hasil padi telah disenaraikan antaranya adalah meningkatkan hasil padi di kawasan Muda dan seterusnya meningkatkan pendapatan peladang dan menerapkan amalan pertanian dikalangan peladang.
Selain itu, ia juga dapat memastikan kesiapsiagaan peladang dalam menghadapi kemungkinan serangan perosak dan penyakit dengan melakukan langkah pencegahan dan meningkatkan hasil padi ke tahap 7 tan sehektar kualiti hasil padi di kawasan Muda.
Oleh yang demikian, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak MADA dalam usaha menangani masalah penyakit dan perosak, antaranya adalah penubuhan pasukan pengawasan dan ramalan (P&R) MADA, memaklumkan amaran awal tentang kehadiran perosak dan penyakit melalui sms, media cetak dan radio dan pemantauan berkala dan perekodan data sistem maklumat pertanian (SMP) secara mingguan.
Di samping itu, MADA juga bekerjasama dengan agensi dan pihak swasta dalam menggunakan serta memperkenalkan teknologi terkini dalam pengawalan perosak dan penyakit contohnya “seed coating” dan “light trap” serta melaksanakan kajian dan demonstrasi bersama penyelidik dalam mecarai kaedah kawalan yang lebih efisyen.
No comments:
Post a Comment