Monday, February 15, 2016

Kerjasama MADA-swasta Tingkatkan Hasil Dan Pendapatan Petani

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan sektor swasta dalam usaha meningkatkan hasil padi dan pendapatan petani.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata kerjasama itu penting kerana ia melibatkan kajian berkaitan benih, racun, tanah serta peralatan dan jentera dalam industri padi bermula dari membajak, menanam, menuai serta memproses padi.

Tambah beliau dengan hasil kerjasama ini akan berbalik kepada petani yang meraih untung. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penuaian padi yang menggunakan teknologi 'Bayer SeedGrowth' di Kampung Sungai Berembang, Kangar pada 4 Februari 2016.

Bayer SeedGrowth ialah sistem bersepadu penuh dan menyeluruh bagi aplikasi atas benih yang menggabungkan kekuatan teras Bayer dalam produk, salutan, perkhidmatan dan peralatan.

Menurut Dato` Othman, sawah seluas 2,000 hektar yang ditanam dengan benih tersebut oleh 600 petani di Perlis dan Kedah selama empat musim pada 2014 dan 2015 meraih hasil dan pendapatan sekitar 22 dan 28 peratus lebih bagi satu hektar berbanding menggunakan benih sedia ada.

Katanya lagi, benih hasil teknologi Bayer itu yang disalut dengan bahan kimia juga berkeupayaan menghadapi wabak penyakit selepas 50 hingga 60 hari disemai.

Tambah beliau, MADA menerusi anak syarikatnya, Syarikat Perniagaan Peladang MADA (MADACorp), akan berusaha menghasilkan benih bagi menampung keperluan sehingga 10,000 hektar atau 10 peratus daripada jumlah keluasan sawah MADA.

Mesin baharu untuk menghasilkan benih itu berharga RM700,000 sebuah dijangka tiba loji MADACorp di Teluk Chengai dekat Alor Setar pada Julai ini.

Katanya, benih Bayer SeedGrowth walaupun lebih mahal iaitu RM69 bagi sekampit 20 kilogram berbanding benih padi sah antara RM30 hingga RM35 namun hasilnya lebih tinggi.

Menurut beliau lagi, benih padi tidak sah pula mengundang penyakit padi angin, serangan penyakit kulat dan serangga dan hasil yang rendah.

Beliau juga berharap para petani mendapatkan benih daripada pihak yang boleh dipercayai.

Mengenai petani miskin tegar dalam kawasan MADA, beliau berkata golongan itu tidak sampai satu peratus atau kira-kira 9,000 keluarga sahaja berpendapatan kurang RM1,000 sebulan daripada sebanyak 57,000 keluarga.


No comments:

Post a Comment