ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Perdagangan makanan global menyediakan peluang kepada negara-negara pengeksport makanan untuk mendapatkan pertukaran asing, meningkatkan status ekonomi mereka dan taraf hidup rakyat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata akses kepada pasaran eksport akan terus bergantung kepada kapasiti untuk memenuhi keperluan peraturan negara-negara pengimport.
"Matlamat kolektif untuk mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN dengan pasaran tunggal dan asas pengeluaran pada 2015 akan meletakkan kita pada trajektori pertumbuhan yang lebih tinggi.
"Pasaran tunggal akan membuka peluang kepada perniagaan dan negara-negara anggota ASEAN, membenarkan barangan bergerak bebas dalam pasaran yang mempunyai penduduk seramai 600 juta orang," katanya pada Forum Perdagangan Makanan ASEAN Ke-3 di sini hari ini.
Azizan berkata gabungan penduduk ASEAN telah mewujudkan pasaran ketiga terbesar di dunia, selepas China dan India.
Beliau berkata ASEAN menjadi ekonomi kedua paling pesat berkembang di Asia sejak sedekad yang lalu dengan gabungan keluaran dalam negara kasar hampir US$2.8 trilion (US$1 = RM4.28) pada 2014 dan asas pelanggan sebanyak 625 bilion.
Rantau ini dijangka menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia dalam tempoh 15 tahun, katanya.
Pelaburan langsung asing ke ASEAN mencecah US$136 bilion pada tahun lepas, naik 15.7 peratus berbanding tahun sebelumnya dan perdagangan sebanyak US$42.53 trilion, meningkat sebanyak 0.8 peratus, katanya.
"Aliran meningkat ini dijangka terus menghalang kejutan seperti krisis ekonomi global," katanya.
SUMBER : BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1193059
No comments:
Post a Comment