Monday, February 15, 2016

MADA Mencipta Sejarah Dinobatkan Juara KIK Peringkat Kebangsaan

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya dinobatkan sebagai juara kategori pengurusan dalam di Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Tahun 2015.

Kumpulan X-Pert yang membawa tajuk projek Pengurusan Rekod Projek Estet Padi (NKEA) Kurang Bersistematik telah berentap dan bersaing bersama 14 kumpulan lain yang mewakili Kementerian masing-masing telah diisytiharkan johan bagi kategori pengurusan.

KumpulanX-pert yang merupakan satu-satunya kumpulan yang mewakili Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menerima Anugerah Ketua Setiausaha Negara berserta wang tunai sebanyak RM10,000 dari Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang mewakili Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.

Sebanyak 62 kumpulan mewakili Kementerian masing-masing dalam pelbagai kategori telah berkampung selama tiga bermula pada 24 sehingga 26 November 2015 di Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Tahun yang diadakan di Kuantan, Pahang.

Menurut Tan Sri Zabidi Zainal, kreativiti dan inovasi dapat mengilhamkan perubahan pendekatan dan gerak kerja penyampaian perkhidmatan kakitangan awam dengan lebih berkesan.

Buktinya menerusi pendekatan itu, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilancarkan kerajaan enam tahun lalu telah berhasil mewujudkan inisiatif bernilai tinggi dan berkos rendah, katanya.

Sementara itu, Tan Sri Ali melalui ucapannya yang dibacakan oleh Tan Sri Zabidi berkata penganjuran Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam yang dahulu dikenali sebagai Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam dilihat mampu mengekalkan keunggulan Perkhidmatan Awam sepanjang masa menerusi kreativiti dan inovasi yang diilhamkan oleh setiap jabatan dan agensi yang bertanding.

Katanya kreativiti dan inovasi penting untuk dihayati oleh penjawat awam bagi menyampaikan idea-idea baharu dalam perkhidmatan sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa rakyat.

Tahniah Kumpulan X-pert yang diwakili oleh anggota-anggota Bahagian Perancang dan Teknologi Maklumat MADA.

No comments:

Post a Comment