Tuesday, May 28, 2013

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Turun Padang Dekati Rakyat Negeri Kedah dan Perlis

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dato` Seri Mohd Hashim bin Abdullah telah turun padang di negeri Kedah bagi menjayakan Program Ramah Mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berlangsung selama empat (4) hari bermula pada 30 April 2013.


Antara destinasi yang dilawati oleh Dato` Seri Mohd Hashim bin Abdullah ialah Tapak Pasar Tani FAMA, Guar Chempedak peringkat Parlimen Jerai, Watt Titi Akar di Sungai Tiang,Perkarangan RTC Kedah, Pekan Napoh peringkat Parlimen Kubang Pasu, dan Sekolah Kebangsaan Panglima Awang, Nako Nambua peringkat Parlimen Padang Terap.



Destinasi seterusnya ialah beliau mengiringi Ketua Setiausaha Negara, Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa bagi Program Ramah Mesra Bersama Rakyat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dataran Pauh peringkat Parlimen Arau, Darulaman Golf Resort, Penempatan Nelayan Kuala Kedah peringkat Parlimen Kuala Kedah dan Dataran Sena peringkat Parlimen Pokok Sena.



Antara intipati yang dimaklumkan oleh Dato` Seri Mohd Hashim bin Abdullah kepada rakyat dan pengunjung yang menghadiri program tersebut ialah kerajaan tidak berkompromi kepada lima (5) perkara utama iaitu pendidikan, keselamatan, makanan, kesihatan dan keharmonian.
 
Selain itu, beliau juga memaklumkan kepada pengunjung bahawa negeri Kedah pernah menghadapi cabaran besar pada tahun 2010 di mana pada ketika itu bencana banjir besar yang telah memusnahkan hampir 90% kawasan pertanian. Kejadian ini telah menyebabkan pengeluaran hasilan pertanian di negeri Kedah dan negara amnya terjejas.



Tambah beliau, pihak kementerian telah berusaha membangunkan semula kawasan-kawasan yang terjejas akibat kejadian banjir melalui peruntukan khas berjumlah RM 60 juta dalam usaha memastikan pengeluaran hasilan pertanian di Kedah dapat dipulihkan. Keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan adalah tepat kerana peruntukan tersebut berjaya memulihkan kawasan pertanian yang terjejas akibat banjir dan hasil pengeluaran pertanian di negeri Kedah dapat ditingkatkan semula.



Di samping itu, dengan pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan di dalam bidang pertanian seperti pelaksanaan Projek NKEA EPP 10: Penskalaan dan Pengukuhan ke Atas Produktiviti Tanaman Padi di Kawasan Muda,  beliau menjangkakan pesawah akan memperolehi pendapatan sebanyak RM 2400 sebulan menjelang tahun 2020.



Beliau juga menyarankan para petani di negeri Kedah supaya mengembeling tenaga sepenuhnya bagi memastikan pengeluaran padi sentiasa konsisten untuk mengelakkan berlakunya masalah ketidakcukupan makanan yang dijangka pada tahun 2050.


Dalam program-program ramah mesra tersebut, beliau menyampaikan bantuan kepada peserta berupa Projek NKEA EPP 10 : Penskalaan dan Pengukuhan Ke Atas Produktiviti Tanaman Padi Di Kawasan Muda, bantuan input pertanian dan peralatan bagi Program Touch Point MADA 2013, bantuan Program Azam Tani tahun 2013, serta bantuan dan insentif jabatan-jabatan dan agensi di bawah Kementerian.


Setiap pengunjung yang hadir ke Program Ramah Mesra Kementerian Pertanian dan Industri Tani ini menerima sepuluh (10) ekor anak ayam kampung, satu set alatan memancing, anak pokok kelapa dan jambu madu serta buah nenas secara percuma. 

















No comments:

Post a Comment