Tuesday, May 28, 2013

Ketua Setiausaha Negara Turun Padang Dekati Rakyat di Utara Semenanjung

Ketua Setiausaha Negara, Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa telah berkampung di utara semenanjung negeri Kedah Darul Aman selama dua hari bagi mengikuti Program Ramah Mesra Bersama Rakyat di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bermula pada 3 Mei 2013.

Tujuan program ramah mesra yang dilaksanakan oleh kementerian adalah untuk memberi bantuan berbentuk input-input pertanian dalam usaha menggalakkan masyarakat menceburi industri agromakanan yang akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran bahan makanan selain mampu meningkatkan pendapatan rakyat.

Pada 3 Mei 2013, Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa telah menghadiri program ramah mesra bersama rakyat di Dataran Pauh, Arau, Perlis dan sekaligus merasmikan program ramah mesra tersebut.
Dalam program tersebut, beliau juga menyatakan pertanian merupakan agen ketiga terpenting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Hal ini terbukti dengan peningkatan peruntukan sebanyak 20 % telah diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013 iaitu RM 5.86 billion berbanding tahun 2012 hanya RM 4.85 billion sahaja.

Seterusnya, Dato` Sri KSN beramah mesra bersama anggota jabatan / agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Gemilang, Darulaman Golf, Jitra, Kedah pada malam hari yang sama.

Dalam majlis makan malam tersebut, beliau telah melancarkan konsep pentadbiran bagi merakyatkan perkhidmatan awam untuk mengeratkan hubungan di antara penjawat awam dan gologan sasar. Di antara aktiviti yang boleh diamalkan  ialah dengan mempraktikkan aktiviti turun padang bagi mendengar secara langsung permasalahan rakyat dan mencari penyelesaian terbaik yang memberi manfaat kepada golongan tersebut.

Pada 4 Mei 2013 , Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa meneruskan aktiviti turun padang di Program Ramah Mesra bersama Rakyat peringkat Dun Kubang Rotan di mana beliau melawati Pasar Nelayan untuk beramah mesra bersama penduduk setempat, nelayan, penjual dan pembeli di situ dan beliau kemudiannya menikmati “Gulai Ikan Termenung” panas di kawasan tersebut sebelum mengumumkan peruntukan sebanyak RM 100 ribu bagi penambahbaikan pasar di situ.

Beliau juga menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM 5.086 juta telah diagihkan oleh Kementerian bagi majlis ramah mesra tersebut dan ia merupakan peruntukan yang paling tinggi setakat ini bagi program tersebut.

Seterusnya beliau ke Dataran Sena, Pokok Sena, bagi menyempurnakan Majlis Program Ramah Mesra bersama rakyat peringkat Parlimen Pokok Sena yang mensasarkan pengunjung seramai 3000 orang.

Setiap penerima insentif yang disampaikan oleh Dato` Sri Dr Ali bin Hamsa akan menerima bantuan berupa Projek NKEA EPP 10 : Penskalaan dan Pengukuhan Ke Atas Produktiviti Tanaman Padi Di Kawasan Muda, bantuan input pertanian dan peralatan bagi Program Touch Point MADA 2013, bantuan Program Azam Tani tahun 2013, serta bantuan dan insentif jabatan-jabatan dan agensi di bawah Kementerian, manakala pengunjung yang hadir menerima sepuluh (10) ekor anak ayam kampung, satu set alatan memancing, anak pokok kelapa dan jambu madu serta buah nenas secara percuma.


Program Ramah Mesra ini telah menunjukkan impak yang positif dari masyarakat berikutan program ini telah dijalankan dibeberapa negeri dan akan diteruskan sehingga tahun 2020.





















No comments:

Post a Comment