Monday, February 17, 2014

KSU MoA Hadiri Taklimat Pembangunan Terusan Wan Mat Saman

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah menerima taklimat Pembangunan Terusan Wan Mat Saman dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bertempat di kaki Gunung Jerai, pada 14 Februari 2014. Tujuan taklimat tersebut diadakan adalah untuk mendapat kelulusan daripada pihak kementerian bagi projek menaiktaraf dan pembangunan Terusan Wan Mat Saman. Taklimat tersebut disampaikan oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pengairan dan Saliran MADA, Tuan Haji Nasiruddin bin Haji Abdullah. Objektif projek pembangunan Terusan Wan Mat Saman ini adalah mengembalikan fungsi terusan sebagai nadi aktiviti komuniti tempatan, menghidupkan kembali nilai-nilai sejarah di terusan tersebut, mewujudkan produk pelancongan baru di Negeri Kedah dan mempromosikan Negeri Kedah sebagai Birth Place of Paddy Irrigation System in Malaysia. Tuan Haji Nasiruddin bin Haji Abdullah berkata, pembangunan Terusan Wan Mat Saman akan dilaksanakan dari segi pembinaan infrastruktur, pengindahan terusan, pembinaan galeri dan pusat jualan produk usahawan serta penganjuran promosi dan program kesedaran. Tambahnya, hasil yang dijangka dari projek pembangunan ini adalah membantu menjana ekonomi kepada 10,000 penduduk yang berada di sepanjang Terusan Wan Mat Saman, mewujudkan satu produk pelancongan yang baru di Negeri Kedah, pemuliharaan satu warisan negara yang berpontensi tinggi untuk generasi masa hadapan dan memulihkan biodiversiti bagi mewujudkan ekosistem yang seimbang di sepanjang Terusan Wan Mat Saman. Terusan Wan Mat Saman mula dibina pada 13 Ogos 1885 dan siap dibina pada 12 Julai 1896. Terusan ini dinamakan sempena nama Perdana Menteri Kedah pada masa itu iaitu Dato' Wan Muhammad Saman Wan Ismail, yang menjadi pelopor pembinaan terusan ini. Terusan ini menghubungkan Sungai Kedah di Alor Setar hingga ke kaki Gunung Jerai di Gurun, yang berfungi untuk mengairi kawasan sawah padi di Negeri Kedah. Terusan yang kini sudah berusia 118 tahun merupakan antara terusan buatan manusia yang terpanjang di dunia dan juga diiktiraf sebagai sistem pengairan padi yang pertama di Malaysia.

No comments:

Post a Comment