Monday, February 17, 2014

Majlis Perasmian Program 'Road to MAHA 2014' Peringkat Pulau Pinang

Program 'Road to MAHA 2014' Peringkat Pulau Pinang telah diadakan selama tiga hari bermula 14 Februari dan berakhir 16 Februari 2014. Program 'Road to MAHA 2014' yang diadakan di AEON Seberang Prai City Shopping Centre, Pulau Pinang ini merupakan negeri kedua selepas program di Bera, Pahang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 15 Februari 2014. Beliau berkata tujuan Program 'Road to MAHA 2014' ini diadakan adalah menghebahkan serta mempromosikan penganjuran MAHA 2014 yang bakal diadakan pada 20 sehingga 30 November 2014 ke seluruh negara. Tambah beliau, program ini juga merupakan salah satu program turun padang yang dianjurkan oleh Kementerian untuk bertemu secara langsung dengan golongan sasar seperti peladang, penternak, dan nelayan serta memberi khidmat nasihat dan bimbingan menerusi jabatan dan agensi di peringkat negeri. Katanya lagi, usahawan tani serta bakal usahawan yang berada di semenanjung utara Malaysia ini khususnya di Pulau Pinang disarankan untuk merebut peluang-peluang yang sentiasa ditawarkan oleh Kementerian seperti geran pemadanan, insentif dan pinjaman mudah. MAHA merupakan satu program wajib oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diadakan setiap dua tahun sekali dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat khususnya dari golongan peladang, penternak, dan nelayan yang sememangnya matlamat kementerian untuk memberi kesedaran kepada golongan tersebut mengenai potensi yang ada dalam sektor pertanian dan industri asas tani. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh dan Ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

No comments:

Post a Comment