Tuesday, February 25, 2014

Kumpulan Kerja China-Malaysia Tingkatkan Eksport Produk Pertanian

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) — Satu kumpulan kerja bersama China-Malaysia akan dibentuk April depan bagi membincangkan perhubungan dua hala mengenai produk pertanian. Menyatakan demikian, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Tajuddin Abdul Rahman berkata perkara utama yang akan dibincangkan ialah kelulusan kerajaan China terhadap beberapa produk Malaysia untuk dieksport ke sana. “Kumpulan tersebut (pihak Malaysia) akan pergi ke China sempena lawatan kerja menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan perkara lain yang akan dibincangkan ialah pelaburan serta perkongsian kepakaran,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pertanian China, Yu Xinrong di pejabatnya di sini Selasa. Antara produk yang masih sukar untuk mendapat kelulusan ialah sarang burung walit, nangka dan nenas. Beliau berkata bagi produk sarang burung walit, pada penghujung tahun lepas sebanyak lapan loji telah diluluskan oleh China dan kini pihaknya sedang menunggu kelulusan untuk 15 lagi loji. Tajuddin berkata dalam perbincangan tersebut juga dilihat kerajaan China begitu berminat dengan produk Malaysia dan serius untuk menyelesaikan isu produk yang masih tidak diluluskan. “Diharap selepas masalah ‘pending’ ini selesai ia dapat meningkatkan nilai eksport ke China kerana pasaran mereka begitu besar iaitu hampir 1.9 bilion populasi penduduk,” katanya. Pihak kerajaan China juga ingin memperbanyakkan lagi kerjasama dengan sektor swasta yang mengeluarkan produk-produk pertanian untuk dipasarkan di negara itu, kata Tajuddin.
SUMBER : BERNAMA http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1017247

No comments:

Post a Comment