Monday, February 17, 2014

Majlis Pelancaran Operasi Pemulihan Kualiti Air

Majlis Pelancaran Operasi Pemulihan Kualiti Air Sungai Kedah telah diadakan pada 16 Februari 2014 di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah. Majlis anjuran bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri Kedah dirasmikan oleh Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz. Dato` Othman bin Haji Aziz berkata tujuan operasi pemulihan kualiti air sungai ini dilakukan adalah untuk mengembalikan keindahan dan kebersihan Sungai Kedah khususnya kualiti air Sungai Kedah dengan mengubah Prosedur Operasi Tandop Pasang Surut Ampang Jajar bagi membolehkan aliran air di Sungai Kedah kembali kepada keadaan semula jadi dengan kawalan yang minima. Katanya, kesan-kesan positif dapat diperolehi daripada perlaksanaan perubahan operasi tandop ini seperti keadaan Sungai Kedah bebas daripada pencemaran sampah sarap, indeks kualiti air bertambah baik, warna air sungai bertambah jernih dan air sungai tidak busuk, sehingga telah mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada aktiviti rekreasi seperti aktiviti memancing dan bersantai. Katanya, pihak MADA telah memulakan Program Pemulihan Kualiti Air Sungai Kedah pada 20 Februari sehingga 15 April 2013 dan ia memberi kesan postif terhadap kesihatan dan kualiti air sungai serta alam sekitarnya. Beliau menyeru kepada masyarakat setempat khususnya di Bandaraya Alor Setar bersama-sama memupuk kesedaran sivik dalam diri dengan menjaga kebersihan sungai seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai selaras dengan kempen “Cintai Sungai Kita” Dalam majlis yang sama, Datuk Bandar Bandaraya Alor Setar, Dato` Haji Mat Noh bin Ahmad berbangga dengan kualiti air sungai di Kedah dimana negeri Kedah antara negeri yang mencatatkan kualiti terbaik dalam negara. Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Dato` Haji Abdul Rahim bin Saleh, Pengarah Jabatan Kimia Negeri Kedah, Dr. Abdul Rahim bin Ahmad dan Jurutera Daerah Kota Setar, JPS Negeri Kedah, Encik Nazri bin Hamzah.

No comments:

Post a Comment