Sunday, August 10, 2014

AMANAT MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI SEMPENA HARI PELADANG 2014

Hari Peladang, Penternak dan Nelayan disambut pada tanggal 6 Ogos setiap tahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato' Sri Ismail Sabri di dalam amanat beliau sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan menyatakan bahawa tujuan hari peristiwa dalam kalendar tahunan Kementerian tersebut adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada masyarakat peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara.

Tambah beliau, ia juga sebagai bukti bahawa kerajaan yang sangat prihatin terhadap usaha dan jerih payah para peladang, penternak dan nelayan dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan demi mengeluarkan bahan makanan dalam memajukan sektor pertanian negara.

YB Dato' Sri Ismail Sabri juga turut menyeru kepada para peladang, penternak dan nelayan untuk terus meningkatkan produktiviti makanan dengan memastikan pengeluaran hasil pertanian negara berada pada tahap terbaik, terutamanya dari segi kualiti dan keselamatan melalui kaedah amalan pertanian baik atau good agricultural practice yang menekankan aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat dimakan.

Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berazam untuk melakukan transformasi yang paling mencabar pada tahun ini iaitu jihad memerangi orang tengah dimana pengusaha dalam bidang pengeluaran pertanian selama ini menghadapi masalah dibelenggu dan dimonopoli oleh orang tengah.

Katanya, walaupun para peladang telah berusaha meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran, tetapi sebahagian besar hasil keuntungan dikuasai orang tengah.

Demi memastikan transformasi yang dilancarkan oleh Kementerian berjaya, anggota di jabatan dan agensi Kementerian hendaklah berusaha dalam menggalakkan menggalakkan peladang sendiri mengusai semua rantaian nilai bidang pengeluaran pertanian yang berkaitan.

Tambah beliau yang juga berharap supaya lebih ramai lagi golongan muda atau belia di bawah umur 40 tahun menceburi bidang pertanian dimana pada masa kini masih diusahakan oleh golongan veteran yang berumur antara 50 tahun sehingga 70 tahun.

Oleh itu, Kementerian telah menubuhkan Unit Agroprenuer Muda yang akan melahirkan peladang muda yang progresif, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta berpendapatan tinggi yang kini telah mendapat pengiktirafan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Beliau juga telah menetapkan Indeks Kepuasan Prestasi (KPI) kepada jabatan dan agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melahiran seramai 1200 orang Agropreneuer Muda pada tahun 2014.

Di akhir amanat beliau berkata, Kementerian kini perlu melakukan perubahan yang radikal dengan segera agar pembangunan sektor pertanian akan terus mampan dalam jangka masa yang panjang bagi membolehkan negara Malaysia meraih status negara berpendapatan tinggi.



No comments:

Post a Comment