Sunday, August 10, 2014

Pesawah berhak bincang potong padi minimum bersama pengilang

Pesawah padi berhak berbincang atau berunding dengan pengilang-pengilang untuk mendapat had potongan padi minimum yang dikehendaki mereka.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Dato` Othman bin Haji Aziz berkata, pesawah boleh berunding dengan pengilang sehingga mereka mendapat peratus potongan yang dipersetujui bagi setiap satu metrik tan padi yang mereka jual kepada kilang tersebut.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah menaikkan harga jualan padi RM1,200 bagi satu metrik tan namun potongan hasil jualan padi tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh pengilang-pengilang.

Tambah beliau, pihak MADA telah memantau dan terdapat ada beberapa orang pesawah telah membuat aduan kerana tidak berpuas hati dengan hasil jualan padi apabila sesetengah pengilang mengambil kesempatan memotong sehingga lebih dari 20 kilogram bagi setiap tan padi yang dijual oleh pesawah.

Katanya lagi, jika petani menghadapi masalah potongan berlebihan, mereka diberi peluang untuk berunding dengan pengilang sehingga mencapai kata putus yang dipersetujui, dan sekiranya masih tidak berpuas hati dengan pemotongan yang dilakukan oleh pengilang tersebut, petani boleh beralih menggunakan pengilang yang lain.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat MADA yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Timbalan-Timbalan Pengurus Besar MADA dan Pengarah Bahagian Industri Padi MADA serta wakil dari BERNAS.

Beliau berkata kebanyakkan petani tidak hadir bersama lori yang menghantar padi mereka ke kilang tetapi hanya mengambil maklum balas daripada pemandu lori tersebut dan menyebabkan mereka tidak berpeluang melalui proses runding cara dengan pengilang.

Walaubagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kes potongan berlebihan mungkin disebabkan kualiti padi yang dijual adalah rendah akibat serangan serangga seperti penyakit bena perang yang menyebabkan kualiti padi tersebut sangat berkurangan.

Katanya lagi, dalam kawasan MADA kilang-kilang BERNAS secara puratanya memotong sebanyak 19.6 peratus untuk Musim Pertama 2014 (Fasa 1).

Beliau berharap semua pihak yang terlibat dalam industri padi dapat mengikuti dan mengamalkan Amalan Pertanian Baik (MyGAP) selain dapat memahami sistem pemutuan padi yang dipakai demi untuk memberi keuntungan kepada semua.

No comments:

Post a Comment