Sunday, August 10, 2014

Dato` Sri Ismail Sabri Seru Anggota MOA Merasai Kesedihan Yang Dialami Oleh Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato` Sri Ismail Sabri bin Yaakob menyeru semua anggota di bawah jabatan dan agensi Kementerian supaya turut merasai kesedihan yang dialami oleh Malaysia akibat dari kehilangan penerbangan komersial Malaysia Airlines MH 370 yang sehingga kini tidak dijumpai dan disusuli pula oleh penerbangan MH17 yang telah ditembak jatuh di Ukraine.
Beliau yang mengagumi cara berurusan antara Perdana Menteri Malaysia dan pihak pemisah Ukraine berkata jamuan raya Kementerian akan diadakan secara tertutup untuk anggota Kementerian dan jabatan/agensi sahaja pada 21 Ogos ini memandangkan negara Malaysia masih dalam kesedihan dan juga selaras dengan kehendak kabinet dimana semua jamuan raya kerajaan dibatalkan.

Tambah beliau, kakitangan di jabatan dan agensi di bawah Kementerian juga harus mengambil berat dan bertindak sewajarnya akan kejadian keganasan di Gaza di mana tentera Israel dengan bantuan Amerika Syarikat terus melepaskan serangan darat dan udara, sehingga meragut nyawa golongan yang tidak berdosa terutamanya orang tua, wanita dan kanak-kanak, serta bayi.
Beliau berharap negara Malaysia terus dalam keadaan aman damai walaupun terdapat pelbagai insiden ringan yang berlaku dalam negara seperti perbalahan dalam hal-hal agama dan peghinaan terhadap Islam dan Melayu.
Katanya lagi, insiden tersebut hendaklah diselesaikan dan sebolehnya dielakkan dengan cara menghormati sensitiviti kaum dan agama agar keamanan negara Malaysia yang kini dinikmati dapat terus dikekalkan.
Beliau berkata demikian kepada hampir 300 anggota di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam perhimpunan bulanan Kementerian yang diadakan pada 5 Ogos 2014 di Wisma Tani, Putrajaya.
Di samping itu, beliau turut menyeru kepada semua anggota yang hadir dalam perhimpunan tersebut untuk terus menumpukan perhatian dan meningkatkan prestasi kerja dalam perkhidmatan walaupun masih di dalam suasana berhari raya.

Katanya lagi, anggota Kementerian hendaklah sentiasa bergerak aktif dalam apa-apa kerja yang diarahkan dan dilaksanakan agar dapat mencapai matlamat yang disasar oleh Kementerian dalam membantu golongan peladang, penternak dan nelayan meningkatan pendapatan sebanyak RM48,000 setahun menjelang tahun 2020.

Hadir sama dalam perhimpunan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato` Mohd Arif bin Ab Rahman, Pengurus Besar MADA, Tuan Haji Md Zuki bin Ismail, Pengarah Bahagian Perancang dan Teknologi Maklumat, Puan Robiah binti Lazim, Pengarah Bahagian Pengurusan Institusi Peladang, Tuan Haji Mustafa bin Haji Murat dan Pengarah Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air, Tuan Haji Aznan bin Ismail.


No comments:

Post a Comment