Sunday, August 10, 2014

MADA sedia hulur bantuan bagi petani tingkat pendapatan

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sentiasa sedia membantu atau menghulurkan bantuan kepada petani-petani di Kawasan Muda bagi meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

Bagi memastikan sasaran MADA dalam membantu golongan petani yang mengusahakan industri padi, semua pegawai-pegawai dan juga ketua-ketua unit di setiap PPK MADA hendaklah sentiasa mengambil tindakan yang agresif dan sentiasa turun padang bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi oleh golongan tersebut selaras dengan kehendak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang mahukan kehendak dan kebajikan golongan petani dibela.

Beliau berkata MADA yang kini telah berusia 44 tahun sentiasa memberi perkhidmatan terbaik menyeru kepada petani khususnya yang mengusahakan industri padi agar menyertai projek NKEA yang dilaksanakan oleh Kementerian yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dan juga mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar serta menjamin keselamatan makanan negara.

Katanya lagi, dalam memastikan projek NKEA terus di sertai oleh para petani yang mengusahakan industri padi, satu kursus disediakan bagi memberi penerangan lebih terperinci akan kebaikan projek tersebut kepada peserta.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Advansia Tambah Beras Bersama PPK F-II Jerlun dan NKEA Kampung Tempayan Pecah , Jerlun pada 10 Ogos 2014.

Beliau yang mengumumkan bahawa PPK F-II Jerlun merupakan antara Pertubuhan Peladang Kawasan yang mencapai hasil tertinggi MADA berkata setiap petani juga perlu mengamalkan konsep 3M iaitu modal, mesin dan manusia untuk mengekalkan atau meningkatkan lagi hasil padi dan seterusnya dapat mengubah taraf kehidupan masing-masing.

Dalam majlis yang sama, Ketua Unit Kampung Tempayan Pecah, Encik Zulkifli bin Md Isa berkata majlis tersebut merupakan pertama kali diadakan di unit tersebut dan antara yang termuda menyertai projek NKEA.

Beliau berkata seramai 57 peserta yang terbahagi kepada dua kumpulan menyertai projek tersebut dengan keluasan tanah sebanyak 83.93 hektar.

Katanya lagi, pada musim 1/2014 unit tersebut telah mencapai hasil padi dengan puratanya sebanyak 8.4 tan per hektar dan unit tersebut masih memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan serta tunjuk ajar yang berterusan dari pihak MADA agar dapat mencapai hasil padi yang lebih tinggi dan seterusnya dapat mencapai kehendak kerajaan negeri Kedah menyumbang sebanyak 60% hasil padi kepada negara menjelang tahun 2020.

Bagi Pengarah Urusan Advansia, Encik Lam Chin Hee pula berkata tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi memperkenalkan produk-produk keluaran syarikat tersebut yang memberi fokus kepada tanaman padi selain memberi penyelesaian kepada petani dalam penggunaan racun makhluk perosak yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut.

Beliau berharap dengan kerjasama dari pihak MADA dalam mempromosikan penggunaan racun perosak dari syarikat tersebut, ia dapat meningkatkan hasil padi dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengurus Wilayah II MADA, Encik Dzulkifli bin Yaakob, Timbalan Pengurus Wilayah II (Pertanian) MADA, Encik Zairizal bin Zainol, Pengurus Syarikat Perniagaan Peladang MADA (SPPM), Encik Mohd Dhia Ul-Rahman bin Ab. Manan dan wakil dari BERNAS.


No comments:

Post a Comment